Rabu, 29 Disember 2010

Analisis Soalan Semantik dan Cadangan Jawapan Bahasa Melayu kertas 1 STPM 2010

Hanya 3 soalan dikemukakan untuk tajuk Semantik pada tahun ini.
Perincian mengikut tajuk adalah seperti yang berikut:

1. Perkaitan makna perkataan dari segi leksikal: 2 soalan
2. Peribahasa :1 soalan (kiasan)

Analisis dan cadangan jawapan bagi soalan 58 hingga soalan 60:

Soalan 58:
Mereka tinggal di hulu sungai itu sejak dahulu lagi.
Hulu parang ayah diperbuat daripada besi.

Kata hulu dalam ayat di atas merupakan
A polisemi - (satu perkataan yang mempunyai banyak makna)
B hiponim (perkataan yang mempunyai satu lingkungan makna/ beberapa perkataan yang masuk dalam kelompok yang sama)
C sinonim - (perkataan yang sama makna, tetapi tidak semua yang betul-betul sama makna)
D antonim - (perkataan yang bertentangan makna)

Jawapan untuk soalan 18 - A (polisemi)

Soalan 59 : Yang manakah pasangan kata majmuk yang kedua-duanya merupakan kiasan sandar?

A kaki botol, mentega laut
B jinak merpati, tidur ayam
C menanak nasi, kutu embun
D harimau berantai, mmenjahit baju

Catatan:
Kiasan sandar - kiasan yang dikaitkan dengan benda lain kerana keupayaan sifat atau perbuatan benda tersebut mempunyai persamaan dengan perkara yang hendak dikiaskan.
Contoh: Mandi kerbau, tidur ayam, hangat-hangat tahi ayam, jinak merpati, pening lalat dan sebagainya

Jawapan : B (jinak merpati, tidur ayam)


Soalan 60:

Segar: sihat, subur, nyaman

Perkataan di atas menggambarkan konsep
I sinonim (sama makna)
II polisemi (satu perkataan yang mempunyai banyak makna)
III hiponim (beberapa perkataan yang termasuk dalam kelompok yang sama)
IV homonim (

Jawapan: B (I dan III)

Jumaat, 24 Disember 2010

Analisis Soalan dan Cadangan Jawapan Soalan Sintaksis Kertas 1 BM STPM 2010

Untuk tajuk Sintaksis Bahasa Melayu, 15 soalan telah dikemukakan pada tahun ini (soalan nombor 43 - soalan 57). Perincian mengikut tajuk adalah seperti berikut:

1. Frasa: 3 soalan
2. Klausa: 1 soalan
3. Konsep ayat/ ayat dasar : 3 soalan
4. Ayat majmuk: 4 soalan
5. Ayat terbitan: 4 soalan

Analisis soalan:

Soalan 43 : Yang manakah ayat dasar?


I Murid-murid berdoa sebelum makan. (ayat majmuk, bukan ayat dasar)
II Budak-budak itu sedang mempelajari tulisan Jawi. (ayat dasar : FN + FK)
III Gadis yang bertudung hitam itu pelajar cemerlang. (ayat majmuk relatif)
IV Rumah Puan Salimah di Bandar Baharu Salak Tinggi. (ayat dasar: FN + FSn)


Jawapan: : D (II dan IV)

Soalan 44 : Yang manakah ayat gabungan yang susunan faktanya berurutan?

I Salim memejamkan mata lalu memicit dahinya.
II Pak Atan bercadang untuk membeli ikan atau udang.
III Mak Uda menganyam tikar manakala anaknya membaca buku.
IV Dia memandang tetamunya itu lantas menghulurkan tangan untuk bersalam.


Jawapan : B (I dan IV)



Soalan 45: Soalan ini memerlukan calon menganalisis proses yang berlaku dalam ayat terbitan yang diberi, sama ada ayat-ayat tersebut mengalami proses pendepanan seluruh predikat, pendepanan frasa kerja, pendepanan frasa adjektif, atau pendepanan frasa sendi nama.


I. Seluruh predikat : Sungguh pandai pelajar itu. (Ayat asal: Pelajar itu sungguh pandai)
II. Frasa kerja : Tersentak orang tua itu apabila diusiknya. (Ayat asal: Orang tua itu tersentak apabila diusiknya)
III. Frasa adjektif: Lucu sekali cerita orang tua itu. (Ayat asal: Cerita orang tua itu lucu sekali)
IV. Frasa Sendi nama: Ke dalam periuk ubi itu dimasukkannya. (Ayat asal: Ubi itu dimasukkannya ke dalam periuk.)


Jawapan: A (Q, R, P, S)

Soalan 46: kata bantu + kata kerja transitif + keterangan

Ayat yang manakah yang mengandungi binaan predikat di atas?

A Dia sekeluarga masih di Johor Bahru. (Binaan predikat: kata bantu + kata sendi nama)
B Kakak ingin menjadi usahawan yang berjaya. (Binaan predikat : kata bantu + kata kerja tak transitif + pelengkap)
C Budak-budak itu sedang tidur di anjung rumah. (Binaan predikat: kata bantu + kata kerja tak transitif + keterangan)
D Pelajar itu sedang mengulang kaji pelajarannya. (Binaan predikat: kata bantu + kata kerja transitif + objek)

Jawapan: C


Soalan 47: Yang manakah padanan yang betul antara pola ayat dasar dengan contohnya?

I FN + FN : [Pemuda itu] [ tukang gunting rambut].
II FN + FK: [Ombak ][memutih di Pantai Chenang].
III FN = FA : [Pokok jambu itu][ sungguh rendang].
IV FN = FSN : [Pusat pentadbiran negara][ di Putrajaya].

Jawapan: C (Q, R, S,P)


Soalan 48: Semasa berlakunya penjajahan Jepun di negara ini sekitar tahun 1940-an, darurat telah diisytiharkan.

Yang manakah klausa bebas dalam ayat di atas?

Jawapan: A ( darurat telah diisytiharkan)
Catatan:
klausa ialah unsur dalam ayat dan mempunyai subjek dan predikat. Klausa terbahagi kepada dua jenis, iaitu klausa bebas dan klausa tak bebas. Klausa bebas boleh menjadi ayat jika diucapkan dengan intonasi yang sesuai.


Soalan 49: Yang manakah ayat yang mengandungi frasa sendi nama sebagai keterangan frasa kerja?

A Pelajar itu bijak dalam mata pelajaran Kimia. (keterangan frasa adjektif)
B Isteri pembesar itu datang dengan anak perempuannya. (frasa sendi nama : dengan anak perempuannya)
C Persatuan itu mengumpulkan kain cadar, selimut, dan pakaian. (kata kerja dengan objek)
D Rombongan peminangan dari Melaka membawa tujuh dulang barang perhiasan. (kata kerja dengan objek)

Jawapan: B


Soalan 50: Yang manakah ayat majmuk gabungan?

A Ali sangat kaya di kampung itu tetapi dia kedekut. (gabungan)
B Sungguhpun usianya masih muda, pemikirannya seperti orang dewasa. (keterangan pertentangan)
C Dia turut serta dalam aktiviti gotong-royong itu walaupun dia tidak sihat. (keterangan pertentangan)
D Perlawanan bola jaring itu tetap diteruskan meskipun hujan turun dengan lebat. (keterangan pertentangan)

Jawapan: A


Soalan 51: Ayat yang manakah yang bukan ayat terbitan?

A Buah rambutan datuk telah ranum. (ayat dasar, ayat penyata)
B Saudara tunggulah kedatangannya di pejabat (ayat terbitan : ayat suruhan)
C Bungkusan hadiah itu diterima pagi semalam (ayat terbitan: ayat pasif)
D Hantar borang penyertaan kepada pihak urus setia. (ayat terbitan : ayat suruhan)

Jawapan: A
Catatan:
Ayat terbitan ialah ayat yang telah mengalami proses pengguguran, penyusunan semula, dan proses peluasan.


Soalan 52: Yang manakah ayat yang mengalami proses pendepanan predikat?

Jawapan: D (Berkahwin dengan siapakah anak saudaranya?) Ayat asal: Anak saudaranya berkahwin dengan siapa?/ Dengan siapakah anak saudaranya berkahwin?)

Soalan 53: Padanan yang betul antara jenis unsur keterangan dalam frasa adjektif dengan contoh ayat:

I Cara : Badannya lemah dengan tiba-tiba.
II Tempat: Pisau itu tajam pada bahagian matanya.
III Keadaan: Abang selalu sibuk dengan tugasnya.
IV Tujuan: Murid-murid mesti rajin demi masa depan mereka.

Jawapan: C (X, Y, W, Z)


Soalan 54: Yang manakah ayat yang menggunakan kata nafi dengan betul?

A Bangunan itu bukan tinggi sangat.
B Rombongan itu bukan pergi ke Pulau Tioman.
C Bas pelancongan itu bukan dari Cameron Highlands.
D Teks ucapan pengetua bukan disediakan olehnya.

Jawapan : C
Catatan:
Kata nafi bukan menjadi unsur inti FN dan FSN.
Kata nafi tidak menjadi unsur inti bagi FK dan FA.

Soalan 55: Yang manakah padanan yang betul antara X dengan Y?

I Jenis ayat: S: Ayat penyata, ayat perintah, ayat seruan, dan ayat tanya
II Ragam ayat: Q: Ayat aktif dan ayat pasif
III Bentuk ayat: P: Ayat tunggal dan ayat majmuk.
IV Susunan ayat: R: Ayat biasa dan ayat songsang.

Jawapan: B (S, P, Q, S)

Soalan 56:
I mempunyai dua kata hubung atau lebih
II mempunyai lebih daripada satu jenis ayat
III mempunyai sekurang-kurangnya dua konstituen subjek dan dua konstituen predikat

Pernyataan di atas menepati citi-ciri ayat

Jawapan: B (majmuk campuran)


Soalan 57: Yang manakah ayat yang gramatis?

A Pada masa kini, kebajikan warga emas mula dibseri perhatian.
B Hingga ke hari ini belum lagi dijumpai vaksin untuk penawar penyakit demam denggi.
C Penyakit darah tinggi, kencing manis, dan jantung adalah merupakan punca utama kematian di Malaysia.
D Isu hangat yang diuar-uarkan melalui media massa pada hari ini sebenarnya berkisarkan isi ekonomi dan politik negara anggita ASEAN.

Jawapan: D
Catatan:
Maksud ayat yang gramatis ialah ayat yang sempurna, lengkap dan tepat tatabahasanya.

Jumaat, 17 Disember 2010

Analisis Soalan dan Cadangan Jawapan Soalan Morfologi Kertas 1 BM STPM 2010

Untuk tajuk Morfologi Bahasa Melayu, 10 soalan telah dikemukakan pada tahun ini (soalan nombor 33 - soalan 42). Perincian mengikut tajuk adalah seperti berikut:

1. Bentuk kata (kata tunggal, kata terbitan, kata ganda, kata majmuk) : 2 soalan
2. Golongan kata adjektif : 2 soalan
3. Golongan kata kerja : 3 soalan
4. Golongan kata tugas : 3 soalan

Cadangan jawapan:

Soalan 33 : Padanan yang betul antara contoh kata ganda dan kata terbitan:

Kata terbitan - Kata ganda
I Seruling - lelabi ( seruling - kata terbitan dengan imbuhan sisipan er, lelabi kata ganda separa)
II berdikari - jemari (berdikari ialah akronim/ kata tunggal, jemari kata terbitan imbuhan em)
III belantara - gerigi (belantara ialah kata tunggal, gerigi ialah kata terbitan imbuhan er)
IV gelanggang - sesiku (gelanggang ialah kata terbitan imbuhan sisipan el, sesiku kata ganda separa)

Jawapan untuk soalan nombor 33 : B (I dan II)

Soalan 34 : Kata hakis (daripada perkataan hapus kikis), halaju (daripada perkataan hal laju), dan ucaptama (daripada perkataan ucapan utama) merupakan kata tunggal dan akronim.

Jawapan : C (II dan IV)

Soalan 35: Yang manakah ayat yang menggunakan kata kerja aktif transitif berawalan teR-?

A Abang tersandar di tepi dinding. (kata kerja tak transitif tanpa pelengkap)
B Ayah tidak terbeli kereta mewah itu. (kata kerja transitif, kereta mewah itu ialah objek (kata nama) yang boleh dipasifkan)
C Kakak terduduk seketika setelah membaca surat itu. (kata kerja tak transitif tanpa unsur pelengkap)
D Saya tersenyum sendirian apabila mengingati peristiwa itu. (kata kerja transitif tanpa unsur pelengkap)

Jawapan: B (Ayat yang mengandungi kata kerja transitif boleh dipasifkan, iaitu mengedepankan objek. Ayat pasif : Kereta mewah itu tidak terbeli oleh ayah)

Soalan 36: Yang manakah ayat yang menggunakan kata penegas? Kata penegas atau partikel ialah sejumlah perkataan yang memberikan penekanan pada bahagian-bahagian tertentu dalam ayat, contohnya:
i. -kah, -tah, -lah (menegaskan hanya frasa predikat atau bahagiannya)
ii. juga, jua, pun, sahaja, lagi, memang

Pilihan jawapan:
I Peserta debat itu mengemukakan hujah dengan lantangnya. (kata pembenda)
II Abu seorang sahaja yang memiliki kemhairan membuat wau di kampungnya. (kata penegas)
III Pak Midun sejak awal-awal lagi tidak berkenan dengan pemuda yang merisik anaknya. (Kata penegas)
IV Pokok kelapa muda yang ditanam oleh ayah nampaknya akan mengeluarkan buah yang lebat. (kata penekan)

Jawapan: C (II dan III)


Soalan 37: Yang manakah ayat yang mempunyai pascakata yang berfungsi sebagai penekan? Kata penekan ialah bentuk yang memberikan penegasan kepada kata yang berhubung dengannya. Contoh; sesungguhnya, nampaknya, bahawasanya.

A Semua pelawat tidak dibenarkan masuk ke biliknya. (-nya ialah kata ganti nama diri ke-3)
B Pokok nangka madu itu nampaknya akan berbuah lagi. (kata penekan)
C pada kami, kejayaannya ialah hasil tunjuk ajar guru-guru. (-nya ialah kata ganti nama diri ke-3)
D Rumah neneknya terletak di antara sungai dengan kebun getah itu. (kata ganti nama diri ke-3)

Jawapan: B


Soalan 38: Contoh kata adjektif yang betul mengikut jenis kata adjektif.

Jawapan: B ( KA cara - deras, KA jarak - nyaris, KA bentuk - leper, KA ukuran - kerdil)


Soalan 39: Yang manakah ayat yang mempunyai kata kerja yang berapitan meN-...-kan yang membawa maksud membuat sesuatu?
I Encik Dolah memendekkan tempoh cutinya. (kausatif- menyebabkan jadi pendek)
II Kemalangan jalan raya itu sungguh mengerikan kami. (kausatif- menyebabkan jadi ngeri)
III Penduduk kampung itu bergotong-royong mendirikan balai raya. (membuat sesuatu)
IV Persatuan Nelayan Teluk Permai melaksanakan projek ternakan ikan secara berkelompok untuk ahli-ahlinya. (membuat sesuatu)

Jawapan: D (III dan IV)

Soalan 40: Kata yang berapitan beR-...-an yang mendukung makna berterusan ialah
I berlelehan (berterusan)
II berkibaran (berterusan)
III bertangisan (bersalingan)
IV bertempiaran (jumlah subjek yang banyak)

Jawapan: A (I dan II)

Soalan 41: Semenjak pulang dari Eropah, gaya hidupnya kebarat-baratan.

Kata yang berapitan ke-...-an dalam ayat di atas tergolong dalam

A kata nama
B kata kerja
C kata adjektif
D kata keterangan

Jawapan: C (Kata adjektif)

Soalan 42: Penggunaan kata sendi nama yang tepat:

Salam : Imran adalah di antara pelajar cemerlang sekolah itu. ( kesalahan kata sendi nama di)
Ramon: Dia baru pulang dari Jabatan Alam Sekitar.
Joseph: Daripada saat itu, mereka tidak lagi mengunjungi Tasik Biru. (kata sendi nama daripada tidak boleh hadir di hadapan kata nama yang menerangkan waktu)
Rusliza: Rumusan penyelidik tentang sikap penduduk desa itu adalah negatif.

Pelajar yang menggunakan kata sendi nama dengan betul dalam ayat di atas ialah

Jawapan: C (Ramon dan Rusliza)

Khamis, 16 Disember 2010

Analisis Soalan Penyebutan dan Pengejaan Kertas 1 BM STPM 2010

Tahun ini sebanyak 8 soalan telah dikemukakan untuk tajuk ini dan perincian mengikut subtajuk adalah seperti yang berikut:

1. Bunyi-bunyi vokal : 1
2. Bunyi-bunyi diftong/ vokal rangkap : 3
3. Bunyi-bunyi konsonan : 4

Soalan 25: Lidah diletakkan sebagaimana menghasilkan bunyi vokal belakang separuh sempit dan dengan pantas lidah digeluncurkan ke arah membunyikan vokal hadapan sempit. Keadaan bibir berubah daripada bundar menjadi hampar.

Yang manakah kata yang mengandungi bunyi yang terhasil dengan cara di atas?

Jawapan: A Kaloi

Soalan 26 : Padanan yang betul antara jenis vokal dengan kata yang mengandungi vokal tersebut;

i. vokal depan sempit : bilik, pilih
ii. vokal belakang sempit : buluh, suluh
iii. vokal depan separuh sempit : cetek, belek
iv. vokal belakang separuh sempit : bolos, borong

Jawapan: D (X, Y, W, Z)

Soalan 27: Yang manakah kata yang dimulai oleh konsonan letupan dua bibir bersuara [ b ] dan diakhiri oleh vokal belakang sempit [ u ]?

Jawapan : A (Bantu)

Soalan 28: Yang manakah kata yang mengandungi vokal rangkap?

I Paut - vokal rangkap
II Kain - vokal rangkap
III Taubat - diftong
IV Amboi - diftong

Jawapan: A (I dan II)

Soalan 29:
X: Letupan dua bibir bersuara : [ b ]
Y: letupan lelangit lembut bersuara : [ g ]

Kata yang mengandungi konsonan yang diwakili oleh X dan Y ialah:

Jawapan: A (bagus)

Soalan 30: Yang manakah ayat yang mempunyai kata yang mengandungi diftong?

I Kemerduan suaranya mengagumkan. (vokal rangkap)
II Biarkan dia berpaut pada dahan pokok. (vokal rangkap)
III Ikatan persaudaraan mereka erat sekali. (diftong)
IV Penonton kehairanan menyaksikan pertunjukan sarkas itu. (diftong)

Jawapan : D (III dan IV)

Soalan 31:
X: Letupan gusi tak bersuara: [ t ]
Y: letupan lelangit lembut tak bersuara : [ k ]

Padanan yang betul bagi X dan Y ialah:

Jawapan: C [ t ], [ k ]

Soalan 32: Yang manakah pasangan kata yang kedua-duanya mengandungi konsonan sengauan?

A batuk, nakal
B Lebah, tolong
C Simpan, gagah
D Masuk, bangkit

Jawapan: D (Masuk, bangkit)

Semoga jawapan dan analisis di atas dapat dimanfaatkan.

Analisis Soalan Dinamika Bahasa Melayu Kertas BM1 STPM 2010

Untuk tajuk Dinamika Bahasa, 7 soalan telah dikemukakan dalam soalan Bahasa Melayu Kertas 1 pada tahun ini (soalan nombor 18 hingga soalan 24). Perincian mengikut tajuk adalah seperti yang berikut:

1. Variasi bahasa - 1 soalan
2. Laras bahasa - 2 soalan
3. Wacana - 1 soalan
4. Retorik - 2 soalan
5. Kesantunan Berbahasa - 1 soalan

Analisis dan cadangan jawapan bagi soalan 18 hingga soalan 24:

Soalan 18: Padanan yang betul antara bahasa biasa dengan bahasa istana:

bahasa biasa - bahasa istana

pergi - berangkat
hadiah - persembahan
sakit - gering



Jawapan untuk soalan 18 - A (berangkat, hadiah, gering)

Soalan 19 : Faktor yang menentukan pemilihan sesuatu laras bahasa ialah konteks, kosa kata khusus, fokus atau tajuk perbincangan. Latar belakang penutur sama ada dia seorang yang kaya, miskin, berkedudukan dan sebagainya tidak menentukan pemilihan laras.

Jawapan : D (latar belakang penutur)



Soalan 20: Ciri-ciri laras iklan dan perbezaannya dengan laras akademik. Antara ciri laras iklan ialah menggunakan ayat yang ringkas dan terdapat penyimpangan dari aspek tatabahasa, manakala ciri laras akademik pula ialah laras ini menggunakan ayat yang lengkap dan betul susunan tatabahasanya. Laras akademik menggunakan bahasa baku.

Jawapan : C (II dan III)



Soalan 21: Yang manakah padanan yang betul antara fungsi penanda wacana dengan contohnya?

A. menunjukkan maksud pertentangan : malahan, sebaliknya, namun
B. menunjukkan maksud musabab: oleh sebab, dengan itu, bahkan
C. menunjukkan maksud waktu: ketika, sementara itu, lantas
D. menunjukkan maksud tambahan: di samping itu, selanjutnya, lebih-lebih lagi

Jawapan : D
(Catatan: perkataan yang berwarna merah ialah contoh penanda wacana yang tidak tepat)

Soalan 22: Nyatakan jenis retorik P yang mempunyai ciri-ciri berikut:
i. mempunyai takrifan dan huraian
ii. bertujuan untuk memindahkan idea atau maklumat daripada seseorang kepada seseorang
iii. terdapat contoh untuk menjelaskan maklumat

Jawapan: B (pendedahan)


Soalan 23: Petikan yang menggunakan retorik penghujahan ialah petikan di bawah:

Jawapan: D: Virus misteri radang paruparu akibat Sindrom Pernafasan Yang Teruk telah mengorbankan nyawa yang banyak (fakta). Sindrom ini menyebabkan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia. Oleh sebab itu, penyakit ini mudah berjangkit dan tiada penawarnya. Kerajaan mestilah mengambil tindakan tegas dengan mengkuarantinkan mereka yang baru pulang dari negara yang dilanda penyakit tersebut (hujah).


Soalan 24: Padanan yang betul antara rujukan kehormat dengan orang yang disapa;

Yang Teramat Mulia - Tengku Mahkota
Tuan Yang Terutama - Yang Dipertua Negeri
Yang Amat Berhormat - Ketua Menteri
Yang Berhormat - Pegawai Kewangan Negeri

Jawapan : A (Q, R, S, P)

Rabu, 15 Disember 2010

Cadangan jawapan soalan Bahasa Melayu Kertas 1 STPM Tahun 2010 (Asal Usul dan sejarah Perkembangan Bahasa Melayu)

Untuk tajuk Asal Usul, Rumpun dan Perkembangan Bahasa Melayu, 7 soalan telah dikemukakan pada tahun ini (soalan nombor 11 - 17). Perincian mengikut tajuk adalah seperti berikut:

1. Asal usul dan rumpun kekeluargaan BM - 2 soalan
2. Bahasa Melayu Kuno - 1 soalan
3. Bahasa Melayu Moden - 2 soalan
4. Perancangan Bahasa - 2 soalan

Cadangan jawapan:

Soalan 11 adalah tentang cabang bahasa Austris, iaitu bahasa Austroasia, Bahasa Austronesia dan Bahasa Tiber-Chino.
Jawapan untuk soalan 11 - D (Tibet-China)

Soalan 12 : Golongan bahasa Nusantara yang diwakili oleh golongan Sumatera, antaranya ialah Bahasa Nias, Batak, Lampung dan Orang Laut.
Jawapan : C (Sumatera)

Soalan 13: Susunan batu bersurat mengikut tarikh penemuan ialah Batu bersurat di Kedukan Bukit, Palembang, batu bersurat di Kota Kapur, Pulau Bangka, batu bersurat di Gandasuli, Jawa tengah, dan batu bersurat di Minye Tujuh, Acheh.
Jawapan : D (IV, III, II, I)

Soalan 14: Dalam perancangan bahasa melayu, penerbitan buku Tatabahasa Dewan, Kamus Dewan dan Daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia merupakan bukti kejayaan usaha pengekodan.
Jawapan : C

Soalan 15: Tujuan penubuhan organisasi X (Pejabat Karang Mengarang) ialah, menambah bahan bacaan umum, memperbanyak buku sekolah Melayu, mengadakan perkhidmatan perpustakaan bergerak ke kampung-kampung. Ketua Pengarang dan Penterjemah Kanan organisasi ini ialah Pendeta Za'ba (Zainal Abidin bin Ahmad)
Jawapan: C (Pejabat Karang Mengarang)

Soalan 16: Dalam perancangan bahasa, proses pengekodan merujuk kepada proses penghasilan satu variasi bahasa standard yang sempurna dari aspek sebutan, ejaan, tatabahasa, dan makna.
Jawapan : A (pengekodan)

Soalan 17: Susunan sistem ejaan bahasa Melayu yang betul mengikut kronologi:
Ejaan Wilkinson, Ejaan Za'ba, Ejaan Kongres, Sistem Ejaan Baharu Bahasa Malaysia.
Jawapan : B (II, IV, III, I)

Analisis Soalan Bahasa Melayu Kertas 1 STPM 2010

Hari ini selesailah sudah peperiksaan STPM untuk tahun 2010 dengan kertas Bahasa Melayu 1 sebagai subjek yang menutup tirai STPM tahun ini. Apabila melihat wajah pelajar yang keluar dari dewan peperiksaan setelah selesai peperiksaan dengan penuh ceria, saya mengandaikan bahawa mereka dapat menjawab soalan dengan baik. Syukur Alhamdulillah.

Analisis keseluruhan mengikut bahagian:
1. Pemahaman - 10 soalan (2 petikan, 1 carta alir)
2. Asal usul dan sejarah perkembangan BM - 7 soalan
3. Dinamika BM - 7 soalan
4. Sistem penyebutan dan pengejaan - 8 soalan
5. Morfologi - 10 soalan
6. Sintaksis - 15 soalan
7. Semantik - 3 soalan

JUMLAH - 60 soalan

sambungan.. cadangan jawapan untuk setiap bahagian.

Khamis, 10 Jun 2010

Cadangan Jawapan Soalan Rumusan Ujian OTI1 2010

Idea Utama (IU):
Pendidikan bermula sejak kewujudan manusia. (1) Manusia membina kemajuan dalam hidup (2) yang menjadi nadi kehidupan mereka / manusia. (3) Pendidikan mencakupi aspek persekolahan, latihan dan pembentukan sahsiah (4) yang saling berkait. (5)

Isi Sokongan (IS):

IS1: Pendidikan melibatkan ’pendidik’ dan ’anak didik’ (1) melalui proses penyampaian dan penggunaan ilmu (2) secara langsung. (3)

IS2: Proses pengajaran juga diperoleh melalui pengamatan kejadian alam (1) pemikiran (2) dan pengalaman. (3)

IS3: Di sekolah rendah murid didedahkan dengan pengalaman awal (1) supaya mereka dapat membezakan perkara baik dan buruk. (2)

IS4: Dengan peredaran zaman, lama-kelamaan unsur negatif menjadi amalan hidup (1) kerana mereka sering mengejar kemewahan hidup (2)

IS5: Sekolah dan guru menerima tanggungjawab yang berat (1) untuk menyampaikan ilmu kepada murid (2) kerana funsgi sekolah telah berubah. (3) Setelah masyarakat meletakkan peranan ini kepada sekolah dan guru. (4)

IS6: Nilai murni yang diterapkan oleh pihak sekolah (1) menjadi panduan kepada murid (2) untuk membentuk sahsiah. (3)

Kesimpulan (K):

Setiap individu perlu diberi peluang menimba ilmu pengetahuan. (1) Bakat dan kreatiiviti mereka perlu dipandu (2) supaya mereka berada di landasan yang betul. (3)

Soalan Rumusan Bahasa Melayu Kertas 2 STPM Ujian OTI1 JPN Terengganu

Fahami petikan di bawah ini, dan kemudian rumuskan petikan ini dengan padat dan ringkas tanpa menjejaskan isi kandungannya. Rumusan hendaklah dibuatdengan menggunakan tidak lebih daripada tiga perenggan dan panjangnya antara 190 hingga 200 patah perkataan. Jumlah perkataan dalam jawapan hendaklah ditulis pada akhir jawapan. [20]


Sejak kewujudan manusia, pendidikan sudah bermula. Melalui pendidikan, manusia membina tamadun, kemajuan, dan meningkatkan taraf hidup. Pendidikan menjadi nadi kehidupan manusia dari dahulu, sekarang, dan akan datang. Pengertian pendidikan tidak dilihat dari satu sudut semata-mata, tetapi mencakupi aspek persekolahan formal, latihan, dan proses pembentukan sahsiah. Pada masa yang sama, semua proses berkenaan saling berkait secara berterusan.

Secara umum, pendidikan melibatkan dua belah pihak, iaitu “pendidik” dan “anak didik”. Pendidik ialah kumpulan atau individu yang menyampaikan ilmu dan pengetahuan, manakala anak didik menerima ilmu yang disampaikan. Dalam bidang pendidikan berlaku proses penyampaian dan penggunaan ilmu pengetahuan secara langsung. Oleh sebab itu, segala bentuk ilmu yang melibatkan proses pengajaran dan pengajaran dikategorikan sebagai pendidikan. Proses pengajaran tidak hanya tertumpu kepada pendidik, tetapi boleh diperoleh melalui kejadian alam, pemikiran, perkongsian idea, serta hasil daripada pengamatan dan pengalaman.

Pendidikan bermula dari rumah hingga sekolah. Di sekolah rendah, murid itu didedahkan dengan pengalaman awal dan dididik untuk membezakan perkara yang buruk atau yang baik. Namun begitu, pada zaman kanak-kanak, seseorang itu belum mampu menimbangkan perkara baik dan buruk secara matang. Tanpa bimbingan, lama-kelamaan unsur negatif akan menjadi amalan hidup mereka. Peredaran zaman juga membawa perubahan hidup kepada manusia. Kemajuan dunia menyebabkan manusia bertambah maju dan mereka sering mengejar kemewahan hidup.

Akibat tuntutan hidup inilah, sekolah dan guru menerima tanggungjawab yang cukup berat. Jika dahulu, sekolah menjadi tempat guru menyampaikan ilmu dan pengetahuan kepada murid, namun sekarang fungsi sekolah sudah berubah. Sekolah merupakan pusat pembelajaran, penjagaan, pembinaan sahsiah diri, pemupukan bakat serta kepimpinan. Oleh sebab itu, apabila kita membicarakan soal pendidikan, masyarakat hanya meletakkan peranan ini kepada dua entiti, iaitu sekolah dan guru. Tanggapan ini disokong kuat oleh pelbagai prasarana yang disediakan oleh kerajaan, khususnya bangunan sekolah, keperluan pembelajaran, serta tenaga pengajar yang profesional. Nilai murni yang diterapkan oleh pihak sekolah menjadi pedoman kepada murid untuk membentuk sahsiah supaya mereka belajar tentang sifat saling menghormati dan bertanggungjawab.

Sebenarnya pendidikan bukan hanya berlaku di dalam bilik darjah, sebaliknya berlaku sepanjang masa. Oleh sebab itu, pendidikan merupakan hak setiap individu. Mereka berhak diberikan peluang untuk menimba seberapa banyak ilmu pengetahuan. Pada masa yang sama, segala bakat dan kreativiti mereka harus dipandu supaya mereka berada di landasan yang betul. Masyarakat harus bekerjasama dan memastikan bahawa mereka ialah contoh yang terbaik kepada anak-anak demi masa depan bangsa, agama, dan negara.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada
Dewan Masyarakat, Mei 2009)

Rabu, 9 Jun 2010

Cadangan Jawapan Alih Bentuk Teks

Teks asal:
Cikgu Din melangkah masuk ke dewan dengan senyuman.
“ Siapa di sini telefon bimbitnya paling canggih”? Tanya Cikgu Din.
Kami saling berpandangan. Pelik dengan soalan Cikgu Din.

Cadangan jawapan:
Cikgu Din melangkah masuk ke dewan dengan senyuman. Cikgu Din ingin tahu sesiapa yang ada di situ yang mempunyai telefon bimbit yang paling canggih. Mereka saling berpandangan. Mereka berasa pelik dengan pertanyaan Cikgu Din itu.

Teks asal:
“ Wai Kit Cikgu,” jawab Fakrul .
“Telefon kamu ada kamera Wai Kit?” Tanya Cikgu Din lagi.
“ Ya cikgu , dua belas megapixel! ” Jawab Wai Kit bangga.

Cadangan jawapan:
Fakrul memberitahu Cikgu Din bahawa Wai Kit yang mempunyai telefon yang canggih. Cikgu Din inginkan kepastian sama ada telefon Wai Kit mempunyai kamera atau tidak.
Dengan rasa bangga, Wai Kit mengeyakannya. Menurut Wai Kit telefonnya mempunyai dua belas megapixel.

Teks asal:
“Cikgu nak pinjam, nak ambil gambar dengan kamu semua. Hari ini hari terakhir cikgu di sekolah ini.” Jelas Cikgu Din.
“Cikgu... cikgu kena berhenti mengajar?” Tanya Marina sambil memandang ke arah Cikgu Din.
Cikgu Din menggeleng sambil tersenyum.

Cadangan jawapan:
Cikgu Din menjelaskan/menyatakan bahawa dia ingin meminjam telefon itu kerana dia hendak bergambar dengan mereka. Menurutnya lagi hari itu ialah hari yang terakhir dia di sekolah itu. Sambil memandang Cikgu Din, Marina ingin tahu sama ada Cikgu Din diberhentikan mengajar atau tidak. Sambil tersenyum, Cikgu Din menggeleng-gelengkan kepalanya.

Teks asal:
“Cikgu tak cakap cikgu kena berhenti mengajar. Cikgu akan terus mengajar, tapi bukan di sekolah ini!” Jelas Cikgu Din.
Semua terdiam. Sedih. Geram dan kesal. Cikgu Din meneliti wajah kami semua.

Cadangan jawapan:
Cikgu Din menyatakan bahawa dia tidak diberhentikan mengajar. Menurutnya lagi dia akan terus mengajar tetapi bukan di sekolah itu. Mereka semua terdiam, sedih, geram dan kesal. Cikgu Din memandang wajah mereka semua.

Teks asal:
Kemudian dia menambah... “Oh ya, cikgu akan mulakan tuisyen di rumah cikgu. Setiap hari Sabtu, jam 10 pagi hingga 1 tengah hari. Kalau berminat, nanti cikgu berikan alamat!” Jelas Cikgu Din.

Cadangan jawapan:
Kemudian Cikgu Din menyatakan bahawa dia akan memulakan tuisyen di rumahnya. Kelas tuisyen itu akan diadakan pada setiap hari Sabtu, pukul 10.00 pagi hingga pukul satu tengah hari. Menurut Cikgu Din lagi, sekiranya mereka berminat, dia akan memberikan alamat kepada mereka nanti.

Soalan Alih Bentuk Teks Ujian OTI1 Tingkatan 6 Atas, Jabatan Pelajaran Terengganu

Alih bentuk bahasa petikan di bawah ini kepada bentuk prosa biasa dengan memindahkan bentuk dialog ke dalam cakap pindah. Petikan yang terhasil mestilah memperlihatkan ciri-ciri keutuhan satu wacana. [15]


Cikgu Din melangkah masuk ke dewan dengan senyuman.

Siapa di sini telefon bimbitnya paling canggih”? Tanya Cikgu Din.

Kami saling berpandangan. Pelik dengan soalan Cikgu Din.

Wai Kit Cikgu,” jawab Fakrul .

Telefon kamu ada kamera Wai Kit?” Tanya Cikgu Din lagi.

Ya cikgu , dua belas megapixel! ” Jawab Wai Kit bangga.

Cikgu nak pinjam, nak ambil gambar dengan kamu semua. Hari ini hari terakhir cikgu di sekolah ini.” Jelas Cikgu Din.

Cikgu... cikgu kena berhenti mengajar?” Tanya Marina sambil memandang ke arah Cikgu Din.

Cikgu Din menggeleng sambil tersenyum.

Cikgu tak cakap cikgu kena berhenti mengajar. Cikgu akan terus mengajar, tapi bukan di sekolah ini!” Jelas Cikgu Din.

Semua terdiam. Sedih. Geram dan kesal. Cikgu Din meneliti wajah kami semua.

Kemudian dia menambah... “Oh ya, cikgu akan mulakan tuisyen di rumah cikgu. Setiap hari Sabtu, jam 10 pagi hingga 1 tengah hari. Kalau berminat, nanti cikgu berikan alamat!” Jelas Cikgu Din.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Berita Minggu, 21 Mac
2010, hal. 21)

Khamis, 6 Mei 2010

Alih Bentuk Teks Laras Bahasa Melayu Klasik

Alih bentuk bahasa prosa klasik di bawah ini kepada bentuk prosa biasa.

Pada ketika itu lalu ia membuat tapai dan dibubuhnya racun, lalu ditaruhnya di dalam dulang emas. Setelah sudah lalu disuruhnya persembahkan oleh dayang-dayangnya pada permaisuri. Dayang-dayang itu pergilah membawa persembahan yang ditaruh di dalam dulang yang amat majlis dan permai itu sehingga tiada tersangka, bahawa telah bercampur dengan racun.

Dayang-dayang itu pun berjalan menuju ke istana permaisuri. Setelah sampai dipersembahkannya persembahan itu dengan manis mukanya seraya berdatang sembah, katanya, “Inilah persembahan Paduka Liku yang tiada dengan sepertinya, yang diiringkan dengan sembah sujud, disuruh Paduka Liku persembahkan ke bawah duli tuanku.”

Permaisuri lalu menyambut dulang itu sambil memandang muka dayang-dayang yang tersenyum itu, serta disuruhnya dayang-dayangnya menyalin dulang itu. Lalu disalin dayang-dayanglah dulang itu. Setelah itu lalu kembalilah dayang-dayang itu dan dipersembahkannya apa-apa yang telah diperbuatnya itu.

Paduka Liku bersuka hati teramat sangat dan berfikir di dalam hatinya, “Pada hari inilah permaisuri itu akan mati dan akulah yang akan menggantikannya menjadi permaisuri. Jikalau Cendera Kirana yang memakan itu, nescaya ia pun akan mati juga dan anakku Galoh Ajeng akan aku jadikan tunangan Raden Inu Kartapati, supaya kerajaan negeri Daha dan Kuripan didudukinya semua, kerana patutlah ia menggantikan.”

Setelah yang demikian itu, lalu disuruhnya dayang-dayangnya keluar dan menutup pintu.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Hikayat Panji Semirang, 1961: Kuala Lumpur; Pustaka Antara: halaman 20)

Alih Bentuk Teks Laras Dialog

Salam. Pelajar-pelajar sekalian. Saya berharap agar beberapa soalan yang saya kemukakan di bawah ini dapat dimanfaatkan. Cubalah jawab soalansoalan ini dengan sehabis baik dengan menjawab pada bahagian komen atau melalui e-mel.

Alih bentuk petikan di bawah ini kepada bentuk prosa biasa dengan memindahkan bentuk dialog kepada bentuk biasa. Petikan yang terhasil mestilah memperlihatkan ciri-ciri keutuhan satu wacana.

Ishak : (Memasang paip) Jadi tak mahulah awak budak tu kerja di sini?

Cik Puan : Budak mentah dari kampung… cuma pandai tumbuk sambal belacan saja, nak buat apa?
Ishak : Baru-baru memang tak tahu, nanti lama-lama pandailah dia, asal awak tunjuk ajar.
Cik Puan : Ya, pasal perempuan tu muda, pasal dia janda, katalah nak tolong, katalah kasihan! Saya tahu awak suka budak Siti tu kerja di sini, senang awak menjamu mata!
Ishak : (Ketawa) Dah tua-tua ni cemburu juga dia. (Menghisap paipnya) Sudahlah, tak usah sebut lagi pasal budak tu. Si Rosnah…tak nampak, ke mana?

Cik Puan : Sejak berhenti sekolah ni, Rosnah jarang di rumah. Hari ni dia keluar…katanya nak cari kerja di Kementerian Luar Negeri, jadi steno.

Ishak : Salah awak juga, anak perempuan tak diajar ke dapur, habis bila tak ada orang gaji, hah makan di kedai!

Cik Puan : Heh, jangan pandai cakap saja. Rosnah pandai buat kek moden. Saya ajar dia.




P&P Berbantukan Komputer.

Alih Bentuk Teks Laras Dialog

Alih bentuk teks berikut kepada bentuk prosa biasa.


Puteri Bongsu : Wah! Aku dengar kau nak jadi orang Bendahara. Tak lama lagi datuklah kau.
Bakar : Saya belum terima kerja itu. Bendahara tidak pula memaksa.

Puteri Bongsu : Kenapa Bakar? Kenapa tak terima? Orang lain tak akan berlengah menerima kerja tu. Ada peluang nak jadi orang besar.Bakar : Bukan senang nak jadi orang besar itu, cik puan. Bukan cik puan tak tahu.

Puteri Bongsu : Kau ni suka sangat merendah diri. Mengapa? Kalau sudah jadi orang Bendahara, bolehlah kahwin dengan anak raja.

Bakar : Manakan boleh si enggang berkahwin dengan si pipit?Puteri Bongsu : (Naik berang kerana Bakar belum faham perasaannya) Amboi, pandai sungguh si bayan ni berkata-kata!

(Dipetik dan disesuaikan daripada Mohamed Zahir Ismail, Bukit Puteri, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1996, halaman 153-154)

ALIH BENTUK TEKS LARAS SASTERA KREATIF

Alih bentuk bahasa di bawah ini ke dalam bentuk prosa biasa dengan memindahkan bentuk dialog ke dalam cakap pindah. Petikan yang terhasil mestilah memperlihatkan ciri-ciri keutuhan satu wacana.
“Wah, nampaknya angin kota sudah merasuk ke dalam otak dan hati kau. Mentang-mentanglah kausudah berasa nikmat tinggal di bandar besar…”

“Bukan begitu maksud aku, Apai. Bukan aku dah lupa daratan tapi soal kemajuan…,” balas Bintang.

“Lagi-lagi kaucakap fasal kemajuan! Kemajuan apa kalau sudah seminggu aku tak dapat menyumpit seekor rusa pun?”

“Alah…itu perkara kecil saja. Kalau api dah masuk, kita boleh beli peti sejuk. Boleh simpan macam-macam daging sampai beberapa hari…”

“Aku cakap fasal lain, kaucakap fasal lain. Inilah anak kalau tak mendengar cakap orang tua. Baru belajar tinggi sikit dah besar kepala.”

“Kerajaan tak mau masyarakat kita terus-menerus hidup terpencil. Tak ada klinik atau hospital tempat untuk berubat.”

“Selama ini apa yang kerajaan tahu tentang kita?”

“Itulah sebabnya kerajaan hendak membela kita sekarang. Kita perlu mengejar kemajuan.”

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada cerpen Kemajuanku Bumiku Musuhku, Amin Minhad, Sayembara VII, DBP, hal. 58-59)

Selasa, 27 April 2010

Perjuangan Pertahankan BM Telah Dilakukan Sejak Kerajaan Melayu Melaka Lagi

Dicatat oleh Saifullizan Yahaya pada Selasa, April 27, 2010

Sebenarnya dalam proses memperjuangan bahasa Melayu (baca: mempertahankan BM) oleh orang-orang Melayu yang mencintai bahasanya, telah dilakukan sejak dahulu lagi. Ini dapat dilihat dalam catatan sejarah (sastera sejarah) yang dibuat oleh Tun Sri Lanang melalui bukunya Sejarah Melayu (SM).

Mungkin ramai para sarjana hanya melihat peristiwa Tun Mai Ulat Bulu menyindir kepelatan Makhdum Sadar Jahan menyebut beberapa patah perkataan dalam bahasa Melayu yang betul (baku) sebagai satu sindiran kosong sahaja atau unsur humor yang terdapat dalam SM.

Namun, kita harus sedar bahawa tujuan utama SM ditulis atau dibaiki oleh Tun Sri Lanang adalah atas titah Sultan yang berbunyi, " Bahawa beta minta perbuatkan hikayat pada Bendahara, peri peristiwa dan peraturan segala raja-raja Melayu dengan istiadatnya sekali, supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita, diingatkannya oleh mereka itu, syahdan beroleh faedahlah ia daripadanya."

Memang Tun Sri Lanang telah menunaikan titah tersebut dengan sempurna sekali apabila dalam SM, bendahara tersebut telah menulis peri hal peraturan dan susur galur raja-raja Melaka. Tetapi apa yang menarik kesempatan atas titah tersebut turut dilaksanakan dengan menjadikan SM bukan semata-mata sebagai buku maklumat atau data tetapi sebagai satu 'petunjuk' kepada pewarisnya, iaitu bangsa Melayu untuk menjadikan SM sebagai cermin pandang belakang kepada kita yang mewarisinya.

Di sini kita harus berhenti sejak dan berfikir dengan logik bahawa apa gunanya Tun Sri Lanang menulis satu peristiwa Tun Mai Ulat Bulu menyindir gurunya tentang beza lidah Melayu dengan lidah Arab hanya untuk berlucu sahaja, sedangkan buku SM ditulis atas titah kerajaan (Sultan) yang akan menjadi rujukan kepada orang-orang Melayu? Oleh itu, tentu ada tujuan tersirat yang hendak disampaikan kepada kita.

Kembali kepada peristiwa Tun Mai Ulat Bulu menyindir guru bahasa Arabnya (sekali gus guru agama) itu, sehingga menimbulkan kelucuan kepada kita sebagai pembacanya, sebenarnya adalah satu ingatan kepada bangsanya bahawa dalam perjuangan (baca: pertahankan) bahasa Melayu, orang-orang Melayu mesti berani dan tidak bertolak ansur dengan mudah kepada bahasa lain walaupun diakui bahawa bahasa tersebut penting sebagai saluran ilmu pengetahuan.

Kita sedar bahawa pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, bahasa Arab menjadi bahasa ilmu kerana pada waktu itu agama Islam sedang berkembang mekar di bumi Melaka dan Nusantara, dan banyak ilmu pengetahuan baru adalah dalam bahasa Arab. Oleh itu, keperluan mempelajari bahasa Arab sangat dititik beratkan oleh kerajaan Melaka kerana tanpa bahasa Arab, orang-orang Melaka tidak akan maju.

Justeru, untuk mengetahui pelbagai ilmu tersebut dan tidak dilihat ketinggalan zaman, pihak kerajaan Melaka telah menyuruh anak-anak pembesar mempelajari bahasa Arab kerana dengan mengetahui bahasa tersebut segala ilmu pengetahuan akan mudah didapati.

Mungkin inilah yang juga terjadi pada waktu kini, apabila bahasa Inggeris menjadi bahasa (penyalur sahaja sebenarnya) ilmu sehingga pihak kerajaan terpaksa memberi perhatian kepada pembelajaran dan pengajaran bahasa Inggeris dengan tanggapan tanpa mempelajari bahasa Inggeris, rakyat Malaysia akan ketinggalan dalam segala aspek ilmu.

Bukankah perkara yang berlaku dalam zaman kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka telah berulang kembali dalam zaman kegemilangan Kerajaan Malaysia. Harus diingat sewaktu terjadinya peristiwa Tun Mai Ulat Bulu dan gurunya itu, kerajaan Melayu Melaka sudah terkenal di sebelah barat sehingga Alfonso d'Albuquerque telah menghantar pegawainya (wazir) dari Goa, India untuk melaporkan peri hal kebesaran Melaka.

Maka itu, peristiwa Tun Mai Ulat Bulu yang tidak bersetuju dengan Makhdum Sadar Jahan adalah sebagai 'petunjuk' bahawa Tun Sri Lanang berpendapat peristiwa 'kecil' ini sebagai penting sehingga terpilih ditulis dalam SM.

Dalam melihat konteks yang lebih luas, Tun Mai Ulat Bulu sebenarnya tidaklah menentang pengajaran ilmu dalam bahasa Arab kepada orang Melayu pada waktu itu TETAPI apa yang penting pengajaran ilmu itu mestilah dibuat dalam bahasa bangsa itu supaya ilmu itu dapat dihayati bukan sahaja dengan fikiran tetapi dengan jiwa bangsa tersebut.

Tetapi apa yang menarik juga nama sebenar Tun Mai Ulat Bulu ialah Tun Muyiddin, anak Tun Zanul Abidin, cucu Bendahara Paduka Raja. Adakah ini juga satu peristiwa yang berulang apabila PPSMI dimaklumkan olehnya sebagai dimansuhkan?

Sabtu, 24 April 2010

Analisis Kesalahan Bahasa

Kenal pasti kesalahan bahasa yang terdapat dalam petikan di bawah ini.
Bagi setiap kesalahan, jelaskan sebab kesalahan dan kemudian buat pembetulan.


Golongan remaja seharusnya berusaha untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan. Hal ini demikian kerana merekalah yang akan mencorakkan negara ini pada masa akan datang. Walaupun begitu, penglibatan sesetengah remaja dalam gejala sosial amat membimbangkan kita. Penglibatan sesetengah remaja dalam penyalahgunaan dadah dan pelbagai jenayah sering dilaporkan. Antara langkah-langkah untuk menangani masalah ini, termasuklah mengadakan motivasi kepada mereka yang terlibat. Malangnya, usaha yang pihak kerajaan jalankan itu kurang bermakna. Untuk mempastikan remaja dapat melaksanakan tanggungjawab ini, kesedaran dan peranan semua pihak amatlah penting. Ertinya, bagi melahirkan remaja yang berkualiti perlu memberikan sumbangan mengikut keupayaan masing-masing.

CATATAN:
Boleh jawab melalui ruang komen, atau melalui e-mel, fnurbaya@yahoo.com.my
Tarikh akhir: 2 Mei 2010.
Untuk pelajar PUTRA, hanya jawapan dengan nama yang lengkap saja diterima. Nama timang-timangan tidak diterima.

Sabtu, 20 Februari 2010

KEKUATAN DAN KELEMAHAN JAWAPAN CALON BAHASA MELAYU KERTAS 2 UJIAN TOV 2010

BAHAGIAN B ( SOALAN RUMUSAN) – 20 MARKAH

Prestasi jawapan pelajar pada bahagian ini masih berada pada tahap sederhana dan tidak mencapai tahap yang dikehendaki. Terdapat perbezaan yang sangat ketara pencapaian markah antara pelajar kelas 6KPUA1 dan 6 KPUA2 yang menunjukkan pelajar 6KPUA1 mampu menjawab soalan lebih baik daripada pelajar 6KPUA2.

Kekuatan:

Pelajar yang dapat menjawab soalan ini dengan baik dapat mengenal pasti isi utama (IU) dengan tepat, mengemukakan 3 hingga 5 isi sampingan (IS), dan menulis kesimpulan dengan tepat. Susunan isi juga tersusun dengan baik seperti teks asal. Tidak terdapat kesalahan bahasa seperti kesalahan ejaan, kesalahan struktur ayat dan kesalahan imbuhan. Pelajar juga menulis rumusan dalam jumlah seperti yang telah ditetapkan dalam soalan iaitu antara 180 hingga 200 patah perkataan.

Kelemahan:

1.Kesalahan ejaan yang begitu ketara terutama dalam mengeja kata sendi nama yang masih dirangkaikan dengan kata nama (keliru dengan kata kerja pasif di-)
2.Mengabaikan aspek mekanis terutama tanda baca seperti noktah dan koma dan penulisan huruf besar dan huruf kecil. Ada tulisan pelajar yang sukar dibaca kerana terlalu kecil dan bentuk huruf yang tidak jelas.
3.Masih kedapatan pelajar yang masih terikut-ikut dengan cara menjawab soalan rumusan pada peringkat SPM dengan memulakan jawapan mereka dengan frasa “petikan membincangkan…
4.Ayat ditulis dengan panjang berjela-jela sehingga satu ayat ditulis dalam satu perenggan sahaja.
5. Dari aspek pemerengganan, kedapatan pelajar yang menulis lebih daripada 3 perenggan sedangkan soalan jelas menyatakan bahawa pelajar hendaklah menulis tidak lebih daripada 3 perenggan.
6. Jumlah perkataan yang melebihi jumlah yang telah ditetapkan menyebabkan ada pelajar yang bahagian kesimpulannya tidak dapat dinilai.
7. Tidak menulis jumlah bilangan perkataan pada akhir jawapan.
8. Menulis atau menyalin ayat daripada petikan secara bulat-bulat.
9. Membina ayat sendiri sehingga maksud ayat tersebut berbeza langsung dengan maksud asalnya.
10. Menulis Isi Utama (IU) dan kesimpulan (K) yang terlalu ringkas dan tidak lengkap.
11.Menyusun kedudukan isi sehingga bercampur aduk.
12.Menulis Isi Sampingan (IS) dalam perenggan pertama yang sepatutnya hanya diisi dengan Idea Utama (IU) sahaja.
13. Banyak melakukan kesalahan struktur ayat sama ada ayat tergantung (tiada subjek/ predikat) dan kesalahan struktur ayat pasif, contohnya:
-Dapat mempercepat pengeluaran secara besar-besaran dengan iklim dunia yang tidak menentu dalam jangka pendek. (Tiada subjek)
Seharusnya: Dalam jangka pendek, teknologi ini (subjek) dapat mempercepat pengeluaran makanan secara besar-besaran dalam keadaan iklim dunia yang tidak menentu.
-Kos penghasilannya yang rendah serta memberi keuntungan yang tinggi kepada pengeluar. (tiada predikat)
14.Melakukan kesalahan tatabahasa sama ada kesalahan frasa, imbuhan, kata pemeri mahupun kata sendi nama.
Contoh: mempercepatkan, …tidak menyedari tentang pengambilan makanan…, ..adalah makanan.., dan banyak lagi.
15.Memasukkan contoh-contoh sehingga rumusan menjadi terlalu panjang.
16.Tidak dapat membuat perbezaan antara fakta dan contoh.
17.Menggunakan penanda wacana seperti oleh yang demikian itu, namun begitu, kesimpulannya, tambahan pula, oleh sebab itu dan banyak lagi.

Jadi, pelajar-pelajar sekalian, elakkanlah daripada melakukan kesalahan-kesalahan di atas untuk ujian atau peperiksaan seterusnya.

Gunakan tanda sempang dengan betul, nanti kena lempang!

Saya dapati, belakangan ini terdapat ramai pengguna bahasa yang tidak menggunakan tanda baca dengan betul terutamanya tanda sempang (...