Ahad, 26 Februari 2017

Ayat pasif dan ayat songsang

    Perbezaan ayat pasif dan ayat songsang:

    AYAT PASIF:

    Ayat pasif ialah ayat yang mengalami proses pendepanan objek, iaitu objek atau kata nama yang hadir selepas kata kerja transitif dalam ayat aktif. Ayat pasif boleh dikenali melalui penggunaan imbuhan pasif di, ter, ke-...-an, ber-, kena, dan ayat pasif dengan ganti nama diri orang pertama dan kedua. 

    Contoh:
    Emak memasak nasi di dapur.
    (Nasi ialah objek yang hadir selepas kata kerja transitif memasak)
    Ayat pasif: Nasi dimasak oleh emak di dapur.

    Contoh lain:
    Saya telah membaca semua buku di rak itu.
    (Kata kerja transitif: membaca, objek: semua buku di rak itu)

     Ayat pasif:
    Semua buku di rak itu telah saya baca.
    Semua buku di rak itu telah dibaca oleh saya. (Salah)

    AYAT SONGSANG:

    Ayat songsang ialah ayat yang mengalami proses penyusunan semula. Dalam ayat biasa, SUBJEK berada pada bahagian hadapan manakala PREDIKAT berada pada bahagian kedua. Ayat songsang ada pelbagai bentuk; ada yang mengalami proses penyusunan keseluruhan predikat, ada yang hanya frasa keterangan sahaja yang dikedepankan, dan ada juga yang hanya sebahagian sahaja daripada unsur predikat yang dikedepankan.

    Ayat biasa: Emak memasak nasi di dapur.

     Contoh ayat susunan songsang:
    1. Memasak nasi di dapur emak.
    2. Memasak nasi emak di dapur.
    3. Di dapur emak memasak nasi.

     Contoh lain:
    Kami sekeluarga pergi ke tepi pantai pada waktu petang.

     Ayat songsang:
    1. Pergi ke tepi pantai pada waktu petang kami sekeluarga.
    2. Pergi ke tepi pantai kami sekeluarga pada waktu petang.
    3. Pada waktu petang, kami sekeluarga pergi ke tepi pantai.

     Ayat pasif bolehkah disongsangkan? Boleh!

     Contoh:
    Saya membaca buku itu. (Ayat aktif)
    Buku itu saya baca. (ayat pasif)
    Saya baca buku itu. (Ayat pasif songsang)
    Ok, harap-harap fahamlah ya.

Tiada ulasan: