Khamis, 28 Jun 2007

Konsep Melayu dan Hipotesis Asal Usul Bahasa Melayu

1. Asal Usul Bahasa Melayu

1. Perkataan Melayu dikatakan muncul pertama kalinya dalam tulisan Cina antara tahun 644 – 645 M, iaitu disebutkan bahawa orang Mo-lo-yeu mengirimkan utusan ke negara Cina untuk mempersembahkan hasil-hasil bumi kepada raja Cina.

2. Kerajaan Melayu merupakan sebuah kerajaan yang besar dan luas pengaruhnya di Pulau Sumatera, iaitu zaman sebelum kerajaan Sriwijaya.

3. Perkataan Melayu juga dikatakan berasal daripada perkataan “Himalaya” yang bermaksud tempat bersalji.

4. Dalam bahasa Jawa Kuno, perkataan “Mlayu” bermaksud berlari atau mengembara yang merujuk kepada orang Indo-Melayu atau Austronesia yang bergerak dari Yunan.

5. Istilah Melayu dapat diberi dua pengertian, iaitu
- pengertian yang luas
- pengertian yang sempit
1.1 Pengertian yang luas
Istilah Melayu merujuk kepada bangsa-bangsa Austronesia yang terdapat di Semenanjung Tanah Melayu dan kawasan-kawasan gugusan kepulauan Melayu. Berdasarkan “The Malay Culture Study Project” (1972), konsep Melayu merujuk kepada suku bangsa di Semenanjung Tanah Melayu, termasuklah orang-orang Melayu di Thailand, Indonesia, Filipina dan Madagaskar.

Secara umumnya dapatlah dikatakan bahawa pengertian Melayu merujuk kepada bangsa yang berbahasa Melayu yang mendiami Semenanjung Tanah Melayu, pantai Timur Sumatera dan beberapa tempat lain di Nusantara.

1.2 Pengertian yang sempit
Pengertian yang sempit ialah seperti yang terdapat dalam Perlembagaan Malaysia, iaitu Perkara 153 mengatakan bahawa seseorang itu dapat ditakrifkan sebagai Melayu apabila memiliki ciri-ciri seperti:
- lazimnya berbahasa Melayu
- berkebudayaan Melayu
- beragama Islam ( yang murtad, tukar kewarganegaraan : taraf Melayu - hilang )

1.3 Tafsiran Melayu mengikut pengertian suku bangsa lebih berdasarkan etnik (keturunan biologi)Walaupun begitu, syarat berbahasa Melayu dan kebudayaan Melayu masih diperlukan. Walau bagaimanapun, mereka tidaklah semestinya beragama Islam. Untuk maksud ini, orang-orang Melayu ialah
- orang-orang Melayu seperti yang terdapat dalam Perlembagaan Malaysia.
-orang-orang Melayu yang mendiami kawasan Selatan Thai, Pesisir Sumatera (utara Medan, Deli, Serdang, Palembang, Riau, Lingga )
- ada beragama Budha, Kristian
- orang-orang Melayu di bahagian pertama Sarawak
- ada beragama Kristian
- orang-orang Melayu di Brunei dan Sabah
-tiada agama, lain-lain agama

1.4 Tafsiran Melayu mengikut pengertian Ras merangkumi penduduk Seluruh Nusantara. Berdasarkan kajian Geldern dan Kern, kumpulan bangsa Melayu berasal dari utara ke selatan. Mereka berasal dari satu kelompok bangsa kemudian tersebar ke seluruh Nusantara. Pengertian mengikut Ras ini lebih tertumpu kepada suatu rumpun bangsa yang besar dan berkaitan.


2.Salasilah bahasa Melayu dan hipotesis tempat asal bahasa Melayu.

Huraian salasilah bahasa bahasa Melayu dalam rumpun Austronesia menggunakan skema perkembangan bahasa Melayu daripada filum Austris kepada bahasa Melayu moden. Terdapat beberapa teori tentang perkembangan bangsa dan bahasa Melayu. Teori tersebut belum selesai dibuktikan tetapi alasan-alasan yang dikemukakan bolehlah dibuat pegangan.

3. Von Heine Geldern berpendapat bahawa Kebudayaan Dong Son ( kebudayaan orang-orang darat Mon-Khmer ) bertanggungjawab terhadap pengembangan bahasa-bahasa kepulauan Melayu. Tempat lahirnya kebudayaan ini ialah di daerah-daerah Champa, Cochin-Cina dan Kampuchea. Geldern juga berpendapat bahawa asal kebudayaan Dong Son ini ialah di daerah Yunan, Selatan China. Kebudayaan ini dinamakan Kebudayaan Dongson kerana mengambil sempena tempat penemuan yang pertama yang bernama Dong Son di Annam Utara.
4. Lojik teori ini ialah terjumpanya kapak beliung segi panjang (rectangular axe) mengikut jaluran perjalanan iaitu di lembah Hoang-Ho, Yangtse, Mekong, Salween, Irrawaddy dan seluruh kepulauan Melayu. Ini menunjukkan arah pergerakan orang-orang kuno tersebut.

5. Orang-orang dari Yunan telah mengembara ke selatan pada tahun 2,500 Sebelum Masehi. Ini ialah puak/kumpulan pertama daripada kumpulan manusia yang dinamakan Indo-Melayu atau Austronesia. Mereka telah menjadi asas penduduk Asia Tenggara ketika itu. Puak mereka ini diberi nama Melayu Proto.
6. Kira-kira 1500 Sebelum Masehi, bergerak pula puak/kumpulan kedua yang lebih besar. Mereka menduduki kawasan-kawasan subur di pesisir pantai dan menghalau puak yang pertama lari ke dalam hutan. Meraka diberi nama Melayu Deutro. Kumpulan mereka sangat mahir dalam kerja-kerja pelayaran, ilmu bintang dan firasat.

7. Golongan Melayu Proto yang dihalau tadi dipisahkan oleh faktor-faktor goegrafi sehingga akhirnya mereka hidup terpisah-pisah. Keturunan-keturunan mereka dikenali sebagai Semang, Jakun, Jahut, Senoi, Negrito dan banyak lagi yang dikenali sebagai orang asli.

8. Golongan Melayu Deutro pula yang pandai dalam ilmu pelayaran telah mengembara dan membuka penempatan-penempatan baru di seluruh kepulauan Nusantara dan luar Nusantara. Mereka juga terpisah oleh faktor-faktor geografi antara satu sama lain. Ini menyebabkan bangsa dan bahasa mereka terpisah dan berkembang mengikut perkembangan penuturnya. Perkembangan secara terasing inilah akhirnya mewujudkan bahasa-bahasa dan dialek-dialek yang berlainan seperti bahasa Iban, Tagalog, Minangkabau, Jawa, Formosa, Batan, Bisaya dan banyak lagi yang pada asalnya bahasa-bahasa tersebut dari rumpun yang sama

9. Bahasa-bahasa tersebut mempunyai kata-kata dan sistem bunyi yang agak berlainan tetapi jika dibuat penyelidikan yang mendalam kita akan mendapati banyak persamaan yang menunjukkan bahawa bahasa-bahasa itu asalnya serumpun. Bahasa asal itu sebenarnya dinamakan bahasa Melayu Kuno atau bahasa Melayu Proto.

10. Teori yang mengatakan asal usul orang Melayu dan bahasa Melayu dari Asia Tengah ( teori yang dinyatakan di atas ) didokong kuat oleh Geldern H. R. Walau bagaimanapun teori beliau ini didapati lemah kerana alasan kapak beliung segi tiga tidak kukuh kerana kapak jenis yang sama juga dijumpai di Amerika dan Eropah.

11. Teori kedua yang lebih tepat dan menolak teori pertama tadi ialah teori yang dikemukakan oleh Gorys Geraf. Geraf mengatakan bahawa bangsa Melayu sudah sedia ada di Kepulauan Melayu dan mereka menuturkan bahasa keluarga Nusantara. Menurut Geraf negeri asal orang Melayu ialah daerah Indonesia dan Filipina.

12. Sarjana tempatan, Asmah Hj. Omar pula mengatakan Kepulauan Melayu atau Nusantara memang mempunyai penduduk aslinya sendiri. Mereka sudah menetap di Nusantara sejak 8000 SM.
13. Sutan Takdir Alisjahbana pula mengatakan bahawa bangsa Melayu terdiri daripada bangsa-bangsa yang hidup di Asia Tenggara, iaitu di negara Thai Selatan, Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei dan Filipina Selatan. Bangsa-bangsa ini mempunyai ciri-ciri tubuh badan yang berlainan daripada bangsa-bangsa Cina di Asia Utara dan bangsa-bangsa India di Asia Barat.

Konsep Keluarga
Bahasa yang memperlihatkan penyimpangan yang agak sedikit disebut sebagai bahasa yang sekeluarga iaitu bahasa yang tergolong dalam satu keluarga yang sama. Jadi, sesuatu keluarga bahasa itu terdiri daripada beberapa bahasa yang dipanggil subkeluarga/subkelompok.

Bermula dari ibu bahasa yang diberi nama bahasa-bahasa Austris ( satu cabang penting daripada filum bahasa dunia ), berpecahlah kepada tiga rumpun besar yang menguasai lebih separuh daripada benua Asia iaitu Bahasa-bahasa Austro-Asia, Bahasa-bahasa Tibeto-Cina dan Bahasa-bahasa Austronesia. Rumpun Bahasa Austronesia terbahagi kepada empat cabang utama iaitu Nusantara, Polinesia, Melanesia dan Mikronesia.

Dalam perbendaharaan kata, bahasa-bahasa itu sendiri banyak mempunyai persamaan yang menarik perhatian dan membutikan bahawa bahasa-bahasa ini serumpun dan berasal daripada satu, iaitu daripada bahasa Melayu Kuno dan Bahasa Melayu Proto.

Bahasa Melayu merupakan subkeluarga bagi keluarga Indonesia atau Sumatera. Subkeluarga merupakan bahasa yang berada di bawah golongan keluarga sesuatu bahasa. Keluarga bahasa pula merupakan unsur yang berada di dalam rumpun bahasa yang lebih besar. Manakala rumpun bahasa pula berada di bawah satu filum bahasa. Secara istilahnya, maksudnya adalah seperti berikut:

1. Filum : Kelompok bahasa yang lama waktunya 5,000 tahun
2. Rumpun : Sekumpulan bahasa yang mempunyai usia antara 2,500 hingga 5, 000 tahun.
3. Keluarga : Sekumpulan bahasa yang usianya kurang daripada 2,500 tahun

Profesor Nik Safiah Karim menerangkan bahawa bahasa Austronesia ialah satu rumpun bahasa dalam filum bahasa Austris bersama-sama dengan rumpun bahasa Austroasia dan Tibet-China (rujuk carta alir di bawah)
Bahasa Melayu termasuk dalam bahasa-bahasa Golongan Sumatera bersama-sama dengan bahasa-bahasa Acheh, Batak, Minangkabau, Nias, Lampung dan Orang Laut.

Contoh Soalan:
1. Bahasa Melayu yang termasuk dalam rumpun bahasa Austronesia adalah daripada keluarga
A. Polinesia
B. Melanesia
C. Nusantara
D. Austroasia
(Soalan 17, STPM 2000)

2. Antara yang berikut, yang manakah bahasa yang termasuk dalam kategori “keluarga” dalam kajian asal usul bahasa berdasarkan usia?
I Formosa
II Polinesia
III Melanesia
IV Austronesia
A I dan II
B I dan IV
C II dan III
D III dan IV
(Soalan STPM 2005, No. 11)
Bahasa Melayu merupakan ahli keluarga/ subkeluarga bahasa Indonesia/Sumatera, manakala keluarga bahasa Indonesia/Sumatera pula ialah keluarga bahasa di bawah rumpun bahasa Austronesia. Keluarga bahasa yang lain di bawah rumpun Austronesia ialah Melanesia, Mikronesia dan Polinesia.

Rumpun bahasa Austronesia pula ialah rumpun bahasa yang berada di bawah Filum Austris. Terdapat beberapa Filum bahasa yang lain yang melahirkan jurai rumpun, keluarga dan subkeluarga yang lain pula.

Bahasa Melayu tergolong ke dalam keluarga Nusantara dan di bawah rumpun Bahasa Austronesia. Keluarga Nusantara ini mempunyai kira-kira 200 - 300 bahasa yang menjadi subkeluarga. Bahasa Melayu pula berada dalam subkeluarga Sumatera.

Rabu, 20 Jun 2007

Peminjaman Kosa Kata Asing Dalam Bahasa Melayu

1. Terdapat tiga bahasa yang sangat besar pengaruhnya dalam proses peminjaman kosa kata kepada bahasa Melayu iaitu bahasa Sanskrit, bahasa Arab dan bahasa Inggeris. Walau bagaimanapun, bahasa-bahasa Cina, Tamil, Siam, Belanda, Portugis, Parsi, Hindustan dan Jawa ada juga memberi sumbangan dalam bentuk peminjaman kosa kata kepada bahasa Melayu.
2. Unsur-unsur Sanskrit dalam bahasa Melayu. Bahasa Sanskrit banyak memperkayakan bahasa Melayu sejak dari zaman dahulu lagi. Bukan sahaja bahasa Melayu, tetapi mana-mana bahasa yang mempunyai hubungan dengan India akan sedikit sebanyak menerima pengaruh bahasa Sanskrit. Bahasa Sanskrit masuk ke dalam bahasa Melayu melalui proses perdagangan iaitu apabila kerajaan-kerajaan Melayu zaman dahulu membuat hubungan perdagangan dengan India. Pedagang-pedagang India yang datang berdagang dengan Tanah Melayu menggunakan bahasa Sanskrit. Paling utama ialah golongan pengembang agama buddha yang datang untuk mengembangkan agama Buddha di rantau Asia Tenggara ini. Mereka akan menggunakan bahasa Sanskrit.

3. Kajian telah menunjukkan bahawa dalam bahasa Melayu terdapat sebanyak 677 patah perkataan yang berasal daripada bahasa Sanskrit. Kata-kata itu merangkumi pelbagai bidang kehidupan seperti bidang agama, falsafah, alam semula jadi, kenegaraan, hubungan kekerabatan, haiwan dan mergastua, bunga dan tumbuh-tumbuhan, bahagian-bahagian tubuh badan, penyakit, perdagangan dan perniagaan, barangan dagangan, bahasa, pembelajaran dan kesusasteraan, angka-angka, tanda masa dan arah, sifat dan keadaan, kata-kata kerja, keterangan ganti nama, penghubung dan seru, unsur-unsur awalan dan akhiran dan kata majmuk. Contoh kata pinjaman daripada bahasa Sanskrit:

a. Agama dan falsafah b. Bunga dan Tumbuh-tumbuhan

- Syurga
- agama -amra
- bidadari -angsana
- budi -cempa
- dewa -cempaka
- dewi -melati
- dewata -penaga
- puasa
- sakti
- sengsara

c. Istilah Abstrak d. Hubungan dan kekeluargaan
- Asmara -bangsa
- bencana -belia
- cinta -dara
- cedera -dirgahayu
- dusta -isteri
- gembira -suami
- guna -janda
- jasa -saudari
- sentosa -saudara
- usaha -seteru

d. Alam semula jadi e. bahagian tubuh badan

- angkasa/udara -anggota
- bumi -bahu
- bayu -badan
- gua -kepala
- tanah -muka
- samudera -nadi
- ombak -sendi
- suria
- cahaya
- nyala

f. Kenegaraan dan g. penyakit
hubungan kekerabatan


- desa -selesema
- kota -demam
- pengawal -kusta
- raja
- maharaja
- permaisuri
- putera
- puteri
- mulia
- menteri


h Haiwan dan Margastua i. perdagangan dan barangan

- angsa -arak
- gajah -gangsa
- ketam -curiga
- serigala -bahara
- singa -kunci
- unta -biaya
- jelawat -warna
-berat

PENYERAPAN UNSUR-UNSUR ASING DALAM BAHASA MELAYU

1. Untuk menjadi bahasa moden, bahasa Melayu seperti juga mana-mana bahasa besar dunia menerima pengaruh menerima unsur-unsur asing terutama dalam aspek kosa kata atau perbendaharaan kata. Pengaruh paling awal ialah pengaruh bahasa Sanskrit. Pengaruh bahasa Sanskrit sungguh berkesan dan sangat besar sumbangannya terhadap bahasa Melayu secara keseluruhan.

2. Faktor yang mendorong sesuatu bahasa itu termasuklah bahasa Melayu untuk mengambil unsur-unsur asing ( proses peminjaman) ialah :

i. Keperluan dalam dunia baru terutama dalam hal untuk memberi nama-nama baru atau istilah-istilah baru yang menepati kehendak pengisian masa dan keadaan waktu itu.
ii. Perkembangan dalam urusan perniagaan dan perdagangan.
iii. Faktor psikologi masyarakat peminjam. Masyarakat penutur akan meminjam daripada bahasa yang dianggap lebih tinggi tarafnya daripada bahasa ibundanya sendiri.
iv. Untuk memantapkan lagi struktur sesuatu bahasa itu. Proses peminjaman sebenarnya boleh mendatangkan pengukuhan kepada bahasa yang meminjam. Seterusnya bahasa tersebut akan terus berkembang dan hidup dalam sebarang masa dan keadaan.

3. Terdapat 6 unsur yang boleh dipinjam daripada sesuatu bahasa luar dan bahasa Melayu telah meminjam kesemua unsur ini untuk memantapkan lagi strukturnya. Unsur-unsur itu ialah:

4. Unsur perkataan (kosa kata/ perbendaharaan kata)
i. Bentuk huruf dan sistem tulisan
ii. Sistem bunyi
iii. Imbuhan
iv. Idiom

5. Proses peminjaman ialah satu proses yang mendorong bahasa penerima meminjam unsur-unsur yang terdapat dalam bahasa-bahasa asing melalui suatu cara/kaedah yang berperaturan dan sistematik.

6. Unsur-unsur asing masuk ke dalam bahasa Melayu melalui pertembungan antara penutur-penutur bahasa yang berkenaan. Pertembungan antara penutur boleh berlaku dalam hal-hal seperti di bawah:

i. Melalui proses peperangan dan penjajahan politik
ii. Proses perniagaan dan urusan perdagangan.
iii Melalui hubungan penjiranan dan persahabatan.
iv. Melalui aspek pendidikan dan penyebaran agama.

7. Unsur-unsur asing masuk ke dalam bahasa Melayu melalui keempat-empat proses di atas. Aspek peperangan dan penjajahan politik telah membawa masuk perkataan-perkataan daripada bahasa Portugis, Belanda dan Inggeris. Manakala aspek perniagaan, urusan berjual-beli dan pendidikan serta penyebaran agama Islam. Perkataan-perkataan yang dibawa masuk termasuklah melalui peminjaman daripada bahasa Sanskrit, dan Arab.

8. Penjiranan dan persahabatan pula telah membawa masuk perkataan-perkataan daripada bahasa Cina, Tamil, dan dialek Indonesia.

9. Jenis-jenis peminjaman
i. Peminjaman tulen
ii. Peminjaman maksud
iii. Peminjaman kacukan
iv. Peminjaman pemerian
v. Peminjaman berpindah
vi. Peminjaman dialek
vii. Peminjaman kuno

10. Kesan-kesan peminjaman kepada sesuatu bahasa boleh dilihat apabila berlaku penyesuaian dan perubahan terhadap kosa kata bahasa peminjam. Peminjaman perlu dikawal kerana peminjaman yang berlebih-lebihan akan mengakibatkan keaslian bahasa peminjam itu sendiri, campur aduk struktur akan berlaku.

11. Pertembungan sesuatu bahasa dengan bahasa yang lain akan mengakibatkan perubahan bunyi atau fonologi, bentuk kata atau morfologi dan bentuk ayat atau sintaksis. Dalam bahasa Melayu perubahan fonologi berlaku apabila bahasa Melayu bertembung dengan bahasa Arab dan Inggeris.

Ahad, 3 Jun 2007

PERANCANGAN BAHASA

Apabila disebut perancangan bahasa, ramai pelajar saya tersenyum dan tersipu-sipu. Kata mereka, apa yang mereka tahu ialah perancang keluarga, rupa-rupanya bahasa juga boleh dirancang. Iitulah kelebihan orang berilmu, kalau rajin belajar, banyaklah maklumat yang kita perolehi.
1. KONSEP PERANCANGAN BAHASA:
Perancangan bahasa bererti pembinaan bahasa secara sedar untuk memungkinkan sesuatu bahasa itu berupaya menangani fungsi-fungsi baru yang dikenakan ke atasnya. Bahasa melayu dirancang supaya dapat menjadi bahasa pentadbiran, bahasa undang-undang dan kehakiman, bahasa ilmu, dan bahasa seluruh sistem kehidupan moden.

2. Perancangan bahasa terbahagi kepada dua bahagian iaitu:
-Perancangan taraf
-Perancangan korpus
Perancangan yang pertama memberikan taraf tertentu kepada sesuatu bahasa, sementara perancangan jenis yang kedua membina bahan bahasa tersebut menjadi bahasa yang kemas sistemnya supaya dapat memenuhi taraf yang diberikan kepadanya.
3. Perancangan taraf bahasa Melayu melibatkan pemberian tiga taraf penting kepada bahasa Melayu. Masing-masing ialah taraf sebagai
· bahasa kebangsaan,
· bahasa rasmi, dan
· bahasa pendidikan.

Taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan amat besar ertinya, terutama sebagai lambang dan unsur penyatuan bangsa Malaysia. Tentu sukar diterima akal bahawa bahasa yang dinobatkan sebagai bahasa bagi 25 juta orang (dalam konteks Malaysia saja) tidak dapat menjadi wahana pemikiran moden, sedangkan transformasi budaya terus-menerus berlangsung. Oleh itu, taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan akan terus mengukuhkan potensi bahasa tersebut sebagai bahasa yang dapat berinteraksi dengan isu-isu dunia moden.
4. Taraf bahasa rasmi yang ditetapkan bagi bahasa Melayu pula menyediakan ruang yang cukup luas bagi bahasa Melayu berkembang dalam bidang-bidang profesional seperti pentadbiran, pengurusan, undang-undang, ekonomi, dan lain-lain. Hal ini demikian kerana menurut tafsiran Perlembagaan, istilah rasmi merujuk kepada segala urusan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, dan Pentadbiran Awam. Dengan tafsiran itu dan dengan andaian bahawa tafsiran itu berlaku sepenuh-penuhnya, maka tidak diragui bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa moden, iaitu bahasa yang dapat mengungkapkan konsep-konsep kehidupan moden. Dapat dikatakan bahawa seluruh konsep yang berkaitan dengan urusan rasmi kenegaraan mewakili kehidupan dunia moden. Yang menjadi soal ialah kemampuan dan kesediaan semua kalangan yang terlibat dalam pentadbiran negara menggunakan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi.

5. Taraf bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan atau bahasa ilmu menyediakan ruang yang cukup luas untuk kita memupuk bahasa tersebut sebagai bahasa moden. Hal ini demikian kerana asas kehidupan moden yang terpenting ialah ilmu. Bahasa yang mampu mengungkapkan hal ehwal ilmu dengan sendirinya adalah bahasa moden. Dengan potensinya yang telah terbukti pada zaman gemilang tamadun Melayu-Islam sebagai bahasa ilmu, dan dengan dibantu oleh adanya Dasar Bahasa Kebangsaan serta Dasar Pendidikan Kebangsaan, bahasa Melayu kini sedang ada di landasan menuju kesempurnaannya sebagi bahasa moden. Bahasa Melayu bukan saja dapat menjadi wahana penyebaran ilmu di peringkat persekolahan dan dalam bidang sains sosial, malah terbukti mampu menjangkau ke peringkat universiti dan masuk ke medan ilmu-ilmu di peringkat persekolahan dan dalam bidang sains sosial, malah terbukti mampu menjangkau ke peringkat universiti dan masuk ke medan ilmu-ilmu sains tabii dan bidang teknikal. Singkatnya, bahasa Melayu dapat dijadikan bahasa perantaraan untuk komunikasi ilmu sejagat.

6. Hubungan pembakuan bahasa dengan perancangan bahasa
Secara mudah, perancangan bahasa ialah "usaha, tindakan, atau proses merancang sesuatu bahasa yang tertentu secara sedar untuk memungkinkan bahasa itu mampu memenuhi fungsi-fungsi tertentu". Takrif yang dikemukakan itu dapat dihubungkan dengan tahap-tahap perancangan bahasa yang dikemukakan oleh Profesor St. Takdir Alisjahbana, iaitu:
1. pemilihan bahasa kebangsaan;
2. propaganda;
3. pembakuan;
4. peluasan penggunaannya
7. Pejuang dan pemimpin awal negara telah memilih bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan ketetapan itu diabadikan dalam Perlembagaan Negara yang menjadi undang-undang induk. Tahap propaganda untuk memungkinkan penerimaan bahasa yang dipilih itu telah berlangsung dengan jayanya pada tahun 1960-an melalui kempen Minggu dan Bulan Bahasa Kebangsaan di bawah teraju Panglima Bahasa Allahyarham Tun Syed Nasir Ismail yang ketika itu menjadi Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka. Tahap ketiga, iaitu pembakuan merupakan proses yang berterusan tetapi asasnya telah diletakkan. Tahap keempat, iaitu peluasan penggunaan bahasa tersebut berkaitan dengan fungsi yang diberikan kepada bahasa itu. Dalam konteks bahasa Melayu di Malaysia, tiga fungsi utama yang ditekankan ialah fungsi sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa ilmu. Fungsi pertama dan kedua ditetapkan dalam Perlembagaan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, manakala fungsi ketiga ditetapkan dalam Akta Pendidikan 1961.
8. Berdasarkan uraian ringkas di atas, teranglah bahawa pembakuan bahasa merupakan unsur dan proses yang penting dalam perancangan bahasa. Secara langsung pula, pembakuan bahasa mempunyai peranan yang penting dalam pembinaan negara, dengan mengingat bahawa perancangan bahasa merupakan salah satu prasyarat pembinaan Negara
9. Proses perancangan bahasa terbahagi kepada 3 peringkat iaitu;
-Peringkat membuat keputusan dasar
-Peringkat pelaksanaan
-Peringkat penilaian.

Peringkat membuat keputusan
Ialah pringkat membuat keputusan dasar dan kedudukan tentang bahasa yang hendak dirancang. Ini melibatkan bebeberapa unsur iaitu
-penyusunan strategi bagi melancarkan kegiatan-kegiatan perancangan bahasa
-meletakkan taraf bahasa Melayu
-dimulakan sejak DBP ditubuhkan sehingga selepas merdeka.

Peringkat Pelaksanaan
Peringkat ini melibatkan pelaksanaan rancangan-rancangan yang telah disusun. Peringkat ini dimulakan pada tahun 1970-an lagi dan melibatkan kegiatan pengekodan dan pemupukan bahasa Melayu secara intensif dijalankan.

10. Pengekodan bermaksud proses bagi menghasilkan satu variasi bahasa standard yang sempurna dan seragam dari aspek-aspek tatabahasa, ejaan, makna, dan sebutan. Tujuan pengekodan bahasa adalah untuk,
a. menghasilkan satu variasi bahasa yang lengkap dan sempurna, berkeupayaan memperketakan semua gejala dalam masyarakat kita, setanding tarafnya dengan bahasa-bahasa lain.
b.Membolehkan pengguna bahasa Melayu memantapkan penggunaan bahasanya supaya sesuai dan setaraf dengan bahasa lain.
c.Meletakkan taraf variasi bahasa yang dipilih itu, iaitu bahasa yang baku dan standard.
Mengikut Fishman et al (1971) proses pengekodan meliputi usaha-usaha ke arah “penyerapan variasi-variasi bahasa dari segi daerah dan sosial melalui penyediaan tatabahasa, kamus, panduan ejaan, dan sebagainya”.

11. Selain daripada pengekodan (atau kodifikasi), satu lagi proses yang berlaku pada peringkat pelaksanaan ini ialah pemupukan. Pemupukan bermaksud menumpukan perhatian pada usaha-usaha untuk mengembangkan bahasa supaya tercapai keadaan “saling terjemah” (inter-translatability) dengan beberapa bahasa moden lain. Ini dilaksanakan melalui pemupukan istilah-istilah baru, khususnya dalam bidang profesional dan teknikal.

12. Peringkat penilaian

Peringkat ini melibatkan penilaian dan peninjauan kembali terhadap hasil dan kesan kegiatan perancangan, yang bertujuan membantu perancangan selanjutnya. Peringkat ini dilakukan untuk mencapai tahap kematangan dan kemantapan penggunaan bahasa Melayu. Perkara ini perlu dilakukan untuk memastikan keberkesanan bahasa Melayu sebagai bahasa pendidikan dari peringkat rendah hinggalah ke universiti.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang perancangan bahasa klik http://ms.wikipedia.org/wiki/Perancangan_bahasa

Gunakan tanda sempang dengan betul, nanti kena lempang!

Saya dapati, belakangan ini terdapat ramai pengguna bahasa yang tidak menggunakan tanda baca dengan betul terutamanya tanda sempang (...