Selasa, 13 Mei 2008

Jawapan Alih Bentuk Teks Laras Sastera Ujian OTI 1 Bahasa Melayu 2 STPM 2008

Meneliti jawapan pelajar untuk soalan alih bentuk teks (Bahagian C) Ujian OTI 1 2008 cukup menyebabkan hati saya sedih kerana pelajar-pelajar masih mengulang kesilapan yang sama. Tertanya-tanya saya, di manakah silapnya pengajaran saya? Masih tidak cukupkah latihan-latihan yang diberi, atau pengajaran saya kurang berkesan? Nampak gayanya aspek hukuman perlu saya laksanakan terhadap pelajar-pelajar ini.
Sebagai contoh:
Teks asal:
"Ke mana kaupergi, telah tiga hari tak pulang-pulang Yem?"
"Mencari kerja, mak. Dan sekarang saya pulang dengan membawa berita gembira," jawabnya sambil membuka bajunya yang basah
"Sudahkah dapat kerja?"
"Sudah mak, suatu kerja yang sangat menyenangkan. Kita akan senang, akan hidup mewah. Lihatlah duit dan pakaian ini, Yem bawa untuk kita".

Jawapan Pelajar 1:
Mak bertanya kepada Yem ke manakah dia telah pergi selama tiga hari dan tidak pulang ke rumah. Yem memberitahu maknya bahawa dia pergi mencari kerja dan dia membawa pulang berita gembira sambil membuka bajunya yang basah. Emaknya bertanya kepada Yem bahawa dia sudah mendapat kerja atau belum. Yem memberitahu maknya bahawa dia sudah mendapat kerja dan kerjanya adalah sangat senang. Yem juga memberitahu ibunya bahawa mereka akan hidup senang dan mewah sambil menunjukan wang dan baju dan berkata bahawa Yem membawakannya untuk mereka berdua.

Ulasan jawapan pelajar 1:
1. Pelajar ini masih mengekalkan kata tanya "ke mana"
2. Hanya menggunakan panggilan 'mak' untuk emak Yem.
3. Kesalahan ejaan bagi perkataan "menunjukkan"
4. Menggunakan kata hubung yang tidak tepat iaitu "bahawa" (Yang tepat ialah "sama ada")
5. Sebahagian besar jawapan alih bentuk teks tidak tepat dan tidak menggambarkan ciri-ciri wacana yang baik.

Contoh jawapan Pelajar 2:
Emak ingin tahu Yam pergi ke mana setelah tiga hari tidak pulang. Yem menyatakan bahawa dia mencari kerja, dan sekarang dia pulang dengan membawa berita gembira kepada emaknya sambil Yem membuka bajunya yang basah. Emak ingin tahu sama ada Yem sudah dapat kerja atau tidak. Yem memberitahu emaknya bahawa dia sudah dapat kerja dan kerja itu sangat menyenangkan. Tambah Yem lagi, kita akan senang dan akan hidup mewah. Yem meminta emaknya melihat duit dan pakaian yang dia bawa untuk dia dan emaknya.

Ulasan terhadap jawapan Pelajar 2:
1. Pelajar ini masih mengekalkan kata tanya iaitu 'ke mana"
2. Pelajar ini tidak menukarkan konsep masa iaitu 'sekarang' kepada "pada masa itu".
3. Penggunaan kata ganti nama yang tidak tepat iaitu "kita", sepatutnya "mereka".
4. Jawapan Pelajar 2 lebih baik daripada jawapan Pelajar 1.

Cadangan jawapan bagi soalan ini:

1. Emak Yem ingin tahu tempat Yem pergi setelah tidak pulang selama tiga hari.
2. Sambil membuka bajunya yang basah, Yem menyatakan bahawa dia pergi mencari pekerjaan dan pada masa itu dia pulang dengan membawa berita gembira.
3. Emak Yem ingin tahu sama ada Yem sudah mendapat pekerjaan atau tidak.
4. Yem menyatakan bahawa dia sudah mendapat pekerjaan, iaitu pekerjaan yang sangat menyenangkan mereka.
5. Menurutnya lagi, mereka akan senang dan akan hidup mewah. Yem kemudiannya menyuruh emaknya melihat wang dan pakaian yang dibawa untuk mereka.

Diharapkan pelajar-pelajar dapat membuat pembetulan terhadap semua kesilapan yang dilakukan.

Gunakan tanda sempang dengan betul, nanti kena lempang!

Saya dapati, belakangan ini terdapat ramai pengguna bahasa yang tidak menggunakan tanda baca dengan betul terutamanya tanda sempang (...