Jumaat, 17 Disember 2010

Analisis Soalan dan Cadangan Jawapan Soalan Morfologi Kertas 1 BM STPM 2010

Untuk tajuk Morfologi Bahasa Melayu, 10 soalan telah dikemukakan pada tahun ini (soalan nombor 33 - soalan 42). Perincian mengikut tajuk adalah seperti berikut:

1. Bentuk kata (kata tunggal, kata terbitan, kata ganda, kata majmuk) : 2 soalan
2. Golongan kata adjektif : 2 soalan
3. Golongan kata kerja : 3 soalan
4. Golongan kata tugas : 3 soalan

Cadangan jawapan:

Soalan 33 : Padanan yang betul antara contoh kata ganda dan kata terbitan:

Kata terbitan - Kata ganda
I Seruling - lelabi ( seruling - kata terbitan dengan imbuhan sisipan er, lelabi kata ganda separa)
II berdikari - jemari (berdikari ialah akronim/ kata tunggal, jemari kata terbitan imbuhan em)
III belantara - gerigi (belantara ialah kata tunggal, gerigi ialah kata terbitan imbuhan er)
IV gelanggang - sesiku (gelanggang ialah kata terbitan imbuhan sisipan el, sesiku kata ganda separa)

Jawapan untuk soalan nombor 33 : B (I dan II)

Soalan 34 : Kata hakis (daripada perkataan hapus kikis), halaju (daripada perkataan hal laju), dan ucaptama (daripada perkataan ucapan utama) merupakan kata tunggal dan akronim.

Jawapan : C (II dan IV)

Soalan 35: Yang manakah ayat yang menggunakan kata kerja aktif transitif berawalan teR-?

A Abang tersandar di tepi dinding. (kata kerja tak transitif tanpa pelengkap)
B Ayah tidak terbeli kereta mewah itu. (kata kerja transitif, kereta mewah itu ialah objek (kata nama) yang boleh dipasifkan)
C Kakak terduduk seketika setelah membaca surat itu. (kata kerja tak transitif tanpa unsur pelengkap)
D Saya tersenyum sendirian apabila mengingati peristiwa itu. (kata kerja transitif tanpa unsur pelengkap)

Jawapan: B (Ayat yang mengandungi kata kerja transitif boleh dipasifkan, iaitu mengedepankan objek. Ayat pasif : Kereta mewah itu tidak terbeli oleh ayah)

Soalan 36: Yang manakah ayat yang menggunakan kata penegas? Kata penegas atau partikel ialah sejumlah perkataan yang memberikan penekanan pada bahagian-bahagian tertentu dalam ayat, contohnya:
i. -kah, -tah, -lah (menegaskan hanya frasa predikat atau bahagiannya)
ii. juga, jua, pun, sahaja, lagi, memang

Pilihan jawapan:
I Peserta debat itu mengemukakan hujah dengan lantangnya. (kata pembenda)
II Abu seorang sahaja yang memiliki kemhairan membuat wau di kampungnya. (kata penegas)
III Pak Midun sejak awal-awal lagi tidak berkenan dengan pemuda yang merisik anaknya. (Kata penegas)
IV Pokok kelapa muda yang ditanam oleh ayah nampaknya akan mengeluarkan buah yang lebat. (kata penekan)

Jawapan: C (II dan III)


Soalan 37: Yang manakah ayat yang mempunyai pascakata yang berfungsi sebagai penekan? Kata penekan ialah bentuk yang memberikan penegasan kepada kata yang berhubung dengannya. Contoh; sesungguhnya, nampaknya, bahawasanya.

A Semua pelawat tidak dibenarkan masuk ke biliknya. (-nya ialah kata ganti nama diri ke-3)
B Pokok nangka madu itu nampaknya akan berbuah lagi. (kata penekan)
C pada kami, kejayaannya ialah hasil tunjuk ajar guru-guru. (-nya ialah kata ganti nama diri ke-3)
D Rumah neneknya terletak di antara sungai dengan kebun getah itu. (kata ganti nama diri ke-3)

Jawapan: B


Soalan 38: Contoh kata adjektif yang betul mengikut jenis kata adjektif.

Jawapan: B ( KA cara - deras, KA jarak - nyaris, KA bentuk - leper, KA ukuran - kerdil)


Soalan 39: Yang manakah ayat yang mempunyai kata kerja yang berapitan meN-...-kan yang membawa maksud membuat sesuatu?
I Encik Dolah memendekkan tempoh cutinya. (kausatif- menyebabkan jadi pendek)
II Kemalangan jalan raya itu sungguh mengerikan kami. (kausatif- menyebabkan jadi ngeri)
III Penduduk kampung itu bergotong-royong mendirikan balai raya. (membuat sesuatu)
IV Persatuan Nelayan Teluk Permai melaksanakan projek ternakan ikan secara berkelompok untuk ahli-ahlinya. (membuat sesuatu)

Jawapan: D (III dan IV)

Soalan 40: Kata yang berapitan beR-...-an yang mendukung makna berterusan ialah
I berlelehan (berterusan)
II berkibaran (berterusan)
III bertangisan (bersalingan)
IV bertempiaran (jumlah subjek yang banyak)

Jawapan: A (I dan II)

Soalan 41: Semenjak pulang dari Eropah, gaya hidupnya kebarat-baratan.

Kata yang berapitan ke-...-an dalam ayat di atas tergolong dalam

A kata nama
B kata kerja
C kata adjektif
D kata keterangan

Jawapan: C (Kata adjektif)

Soalan 42: Penggunaan kata sendi nama yang tepat:

Salam : Imran adalah di antara pelajar cemerlang sekolah itu. ( kesalahan kata sendi nama di)
Ramon: Dia baru pulang dari Jabatan Alam Sekitar.
Joseph: Daripada saat itu, mereka tidak lagi mengunjungi Tasik Biru. (kata sendi nama daripada tidak boleh hadir di hadapan kata nama yang menerangkan waktu)
Rusliza: Rumusan penyelidik tentang sikap penduduk desa itu adalah negatif.

Pelajar yang menggunakan kata sendi nama dengan betul dalam ayat di atas ialah

Jawapan: C (Ramon dan Rusliza)

Tiada ulasan:

Gunakan tanda sempang dengan betul, nanti kena lempang!

Saya dapati, belakangan ini terdapat ramai pengguna bahasa yang tidak menggunakan tanda baca dengan betul terutamanya tanda sempang (...