Ahad, 4 November 2007

TUGASAN HUJUNG MINGGU 1-3 NOVEMBER 2007

Sekarang ini demam peperiksaan melanda pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM dan STPM. Kepada semua pelajar, pastikan anda berjaya. Tapi mengertilah, seperti yang selalu diingatkan, ilmu bukan hanya peperiksaan tetapi lebih daripada itu adalah untuk kehidupan. Jadilah manusia yang dapat memanfaatkan ilmu yang Tuhan berikan. Guru hanya menjadi penyampai sahaja. Sentiasalah bersyukur dan beringatlah supaya kita berada di landasan yang benar. Selamat menghadapi peperiksaan dunia yang akan menentukan kejayaan dunia dan akhirat. Jadilah seperti padi yang kian berisi kian tunduk bukan lalang yang terus berdiri meski kosong tak berisi.

Menghadapi peperiksaan penting seperti ini memerlukan persedian lebih daripada sekadar membaca semata-mata. Tanpa persediaan yang rapi maka ramai pelajar yang mendapat keputusan yang tidak setimpal dengan usahanya. Anda tidak perlu takut dengan peperiksaan sebab sama ada anda bersedia atau tidak, masa untuk berhadapan dengannya tetap akan tiba. Oleh itu lebih baik anda fokuskan kepada persediaan anda untuk berjuang terutama pada saat-saat akhir ini. Untuk cemerlang dalam peperiksaan pelajar perlu bersedia dari segala aspek, bukan setakat membaca dan mengulang kaji semata-mata. Persediaan yang rapi memupuk keyakinan yang tinggi untuk pelajar menghadapi peperiksaan mereka.

Sebagai tambahan daripada P&P di dalam kelas, ada baiknya pelajar-pelajar menjawab soalan latihan di bawah. Pelajar boleh menggunakan ruang komentar untuk menjawab soalan atau menghantar jawapan tersebut melalui e-mel kepada saya.

TUGASAN 1

Alih bentuk bahasa petikan di bawah ini ke dalam bentuk prosa biasa dengan memindahkan bentuk dialog ke dalam cakap pindah. Petikan yang terhasil mestilah memperlihatkan ciri-ciri keutuhan satu wacana. [15]

Encik Johan tersentak dari lamunannya. Dia beralih ke ruang dalam. Telefon terus berdering nyaring. Tergesa-gesa dia mengatur langkah. Gagang diangkat dengan wajah yang tidak sabar

“Hello”
“Ayah!”
“Ya….., itu Jafri?”
“Ya…., ayah.”
“Hmm…, kenapa?”
“Ayah masih marah?”
“Tak usah tanya itu!”
“Ayah sihat?”
“Tak perlu kautahu!”
“Maafkan saya ayah kerana saya tak telefon ayah!”
“Apa mustahaknya kautelefon aku?”
“Saya ingin beritahu ayah…”
“Apa masih ada yang perlu aku tahu?”
“Ya, ayah!”
“Saya harap ayah bertenang!”
“Apa perlunya aku bertenang!”
“Begini ayah…., saya nak beritahu ayah…., ibu sakit!”
“ Ibu ….Ibu kausakit?” Encik Johan terkejut.
“Ya ….ayah. Ibu tiba-tiba kena darah tinggi.”

Encik Johan membisu. Tangannya menggeletar.


LATIHAN 2
Alih bentuk bahasa petikan di bawah ini ke dalam bentuk prosa biasa dengan memindahkan bentuk dialog ke dalam cakap pindah. Petikan yang terhasil mestilah memperlihatkan ciri-ciri keutuhan satu wacana. [15]



SYUKUR : Anjang Aki nak minum?

AKI : Hem! (Bangun semula lalu bergerak ke pangkin. Sebelum dia duduk, dia meninjau-ninjau arah ke sebelah kiri sungai sambil menekap dahinya dengan tangan menghadang cahaya matahari) Heh! (Duduk di pangkin)

SYUKUR : (Membawa segelas air kepada Aki) Ini airnya Anjang. Anjang nak kuih apa?

AKI : Kuih jongkong atau lopeh!

SYUKUR : Kuih jongkong dah habis. Lopeh ada lagi. (Bergerak semula ke gerai lalu mengambil kuih yang dipinta. Lalu membawanya kepada Aki) Ha, ini dia.(Duduk di pangkin). Dua tiga hari ni, saya tengok Anjang lemah-lemah aje. Anjang sakit?

AKI : (Menggelengkan kepalanya. Angkuh). Sakit? Siapa sakit? Kamu ni risaukan aku tak tentu fasal. Aku tak sakit. Aku tak sakit.

SYUKUR : Anjang janganlah nak berdalih-dalih. Anjang memang dah tak sihat. semua orang kata begitu. Dari darat ke baruh Anjang berjalan, setiap hari, sejak tiga empat tahun lalu, semua orang nampak keadaan Anjang. Dari sehari ke sehari keadaan Anjang berubah-ubah.



LATIHAN 3
Alih bentuk bahasa petikan di bawah ini ke dalam bentuk prosa biasa dengan memindahkan bentuk dialog ke dalam cakap pindah. Petikan yang terhasil mestilah memperlihatkan ciri-ciri keutuhan satu wacana. [15]

Emak menyapu air mata di pelipis pipi kiri muka Mek Jarah dan membetulkan bantal bawah kepala Mek Jarah dan nampak jari tangan kanan Mek Jarah yang kosong di bawah bantal.

“Mana cincin kamu?” Emak bertanya.

Mek Jarah diam.

“ Kamu pecatkah? Jangan letak merata nanti hilang.”

Mek Jarah diam dan masih terlentang dan memejamkan mata. Emak cuba cari cincin bawah kain sarung Mek Jarah dan bawah bantal Mek Jarah.

“Kamu letak cincin di mana?”

Mek Jarah pusing belakang lalu mengiring menghadap dinding. Dan menangis teresak- esak.

“Cincin kamu….mana, Mek Jarah?”

“Hilang……”

“Hilang?? Waktu kamu di mananya hilang????”

“Jatuh dalam sungai…. Waktu mandi tadi!”

KATA-KATA HIKMAT
Kejayaan tidak datang kepada manusia yang leka. Charles Cahier