Rabu, 23 November 2011

Cadangan Jawapan Soalan Bahagian D (Alih Bentuk Teks) Bahasa Melayu Kertas 2 STPM 2011

Syukurlah, peperiksaan untuk Bahasa Melayu Kertas 2 STPM (910/2) telah selesai petang tadi. Soalan yang dikemukakan bukanlah soalan yang asing bagi pelajar-pelajar saya, juga calon-calon STPM yang lain.

Soalan Bahagian D misalnya, iaitu soalan Analisis Kesalahan Bahasa yang memerlukan calon mengenal pasti kesalahan bahasa yang terdapat dalam petikan dan menjelaskan sebab kesalahan serta membuat pembetulan, mengemukakan kesalahan-kesalahan biasa yang sering ditanya dalam peperiksaan sebelum ini. Tidaklah menjadi suatu yang mustahil untuk calon memperoleh markah yang tinggi (cemerlang) untuk bahagian ini, iaitu antara 12 hingga 15 markah. Markah yang diperuntukkan untuk bahagian ini ialah 15 markah.

Petikan yang dikemukakan:

Bidang kurikulum dan kokurikulum saling berkait rapat antara satu dengan yang lain. Selain bidang kurikulum, kokurikulum juga penting sebagai agen pengimbang yang dapat mengenengahkan potensi, bakat, kepemimpinan, dan minat pelajar. Kokurikulum adalah merupakan wadah yang paling berkesan untuk merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, terutamanya dalam usaha untuk melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, rohani, intelek, dan emosi. Dengan adanya aktiviti sukan, aktiviti persatuan, dan aktiviti badan beruniform, kemahiran berkomunikasi, daya kepemimpinan, dan penjanaan idea dapat ditingkatkan. Aktiviti kokurikulum juga dapat menjanakan kreativiti dan memupuk kemahiran pelajar. Dengan itu, dapat menimba pelbagai ilmu tambahan. Oleh sebab itu, Kementerian Pelajaran Malaysia sentiasa memikirkan cara untuk memajukan lagi bidang kokurikulum kerana didapati semua kegiatan ini memberikan manfaat kepada pelajar selain menjadi syarat untuk ke universiti.

Saya telah mengesan 5 kesalahan yang terdapat dalam petikan, sebagai mana frasa/ perkataan yang berhuruf condong dan ditebalkan di bawah;

Bidang kurikulum dan kokurikulum saling berkait rapat antara satu dengan yang lain. Selain bidang kurikulum, kokurikulum juga penting sebagai agen pengimbang yang dapat mengenengahkan potensi, bakat, kepemimpinan, dan minat pelajar. Kokurikulum adalah merupakan wadah yang paling berkesan untuk merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, terutamanya dalam usaha untuk melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, rohani, intelek, dan emosi. Dengan adanya aktiviti sukan, aktiviti persatuan, dan aktiviti badan beruniform, kemahiran berkomunikasi, daya kepemimpinan, dan penjanaan idea dapat ditingkatkan. Aktiviti kokurikulum juga dapat menjanakan kreativiti dan memupuk kemahiran pelajar. Dengan itu, dapat menimba pelbagai ilmu tambahan. Oleh sebab itu, Kementerian Pelajaran Malaysia sentiasa memikirkan cara untuk memajukan lagi bidang kokurikulum kerana didapati semua kegiatan ini memberikan manfaat kepada pelajar selain menjadi syarat untuk ke universiti.

Antara kesalahan yang telah dikenal pasti:

1. ...saling berkait rapat...
2. ...yang dapat mengenengahkan potensi...
3. ...adalah merupakan wadah...
4. Dengan itu, dapat menimba pelbagai ilmu tambahan -
5. ...memajukan lagi bidang kokurikulum...

Analisis sebab kesalahan:
1. ...saling berkait rapat...
Jenis kesalahan: unsur lewah, frasa "berkait rapat" sudah membawa maksud bersalingan, tidak perlu menggunakan perkataan "saling".

Cadangan jawapan: saling berkait/ berkait rapat

2. ...yang dapat mengenengahkan potensi...
Jenis kesalahan: Kesalahan imbuhan. Kata dasar bagi perkataan "mengetengahkan" ialah "ke tengah", bukan "ke nengah". Jikapun berlaku perubahan pada huruf awal kata dasar yang bermula dengan huruf p, t, k dan s dalam proses pengimbuhan, yang berubah hanyalah bunyi pertama sahaja.

Cadangan jawapan: mengetengahkan

3. ...adalah merupakan...
Jenis kesalahan: kesalahan kata pemeri. Kata pemeri "adalah" hanya boleh digunakan sebelum kata sendi nama dan kata adjektif sahaja, bukan kata kerja.

Cadangan jawapan: ... kokurikulum merupakan wadah...

4. Dengan itu, dapat menimba pelbagai ilmu tambahan -

Jenis kesalahan: kesalahan struktur ayat/ ayat tergantung/ ayat yang tidak mempunyai subjek.

Cadangan jawapan: Dengan itu, pelajar dapat menimba pelbagai ilmu tambahan.

5. ...memajukan lagi bidang kokurikulum...

Jenis kesalahan: kesalahan frasa kerja transitif. Kata kerja "memajukan" ialah kata kerja transitif yang perlu diikuti oleh objek (kata nama), bukan kata sendi nama.

Cadangan jawapan: ...memajukan bidang kokurikulum lagi...

Catatan:
Semua jawapan di atas hanyalah jawapan dari kaca mata saya, bukan jawapan yang dikeluarkan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia.

Gunakan tanda sempang dengan betul, nanti kena lempang!

Saya dapati, belakangan ini terdapat ramai pengguna bahasa yang tidak menggunakan tanda baca dengan betul terutamanya tanda sempang (...