Isnin, 16 April 2007

Penulisan Karangan (Tugasan Untuk Pelajar)

Tugasan Kumpulan B

Tugasan 1
Siap selewat-lewatnya Khamis, 22/03/06, 10 malam

Arahan:
1. Baca dan analisis soalan di bawah
2. Bina pendahuluan karangan selengkapnya mengikut isi yang dicadangkan

Soalan
Sejak kebelakangan ini bilangan remaja yang terlibat dengan pelbagai gejala sosial semakin meningkat dan sekiranya langkah-langkah yang berkesan tidak diambil, hal ini boleh mendatangkan kesan negatif terhadap negara. Pada pendapat anda apakah punca sebenar berlakunya gejala ini dan cadangkan langkah-langkah untuk mengatasinya.
Garis Panduan
Pendahuluan ( idea utama )
• senario gejala sosial dalam kalangan remaja
• keadaan semakin meruncing

Tugasan 2
Siap selewat-lewatnya Selasa, 27/03/06, 5 petang

Arahan:
1. Baca dan analisis soalan karangan yang sama seperti tugasan 1
2. Pilih 3 ( tiga ) isi punca sebenar dan 3 ( tiga ) isi langkah-langkah mengatasi dan bina perenggan selengkapnya. Setiap satu isi mesti dibina di dalam satu perenggan.

Punca sebenar
• ibu bapa gagal berfungsi
• rakan sebaya membawa kemudaratan
• pengaruh negatif media massa
• Peranan sekolah terhad, tidak memainkan peranan sebenar
• keperihatinan masyarakat luntur

Langkah-langkah mengatasi
• Didikan agama yang berterusan
• Komitmen para guru dan PIBG
• Kawalan penggunaan internet
• Peranan guru disiplin di sekolah

Tugasan untuk Kumpulan A

Tugasan 1
Siap selewat-lewatnya Rabu, 17/05/06

Arahan
Baca soalan di bawah dengan teliti dan bina pendahuluan karangan selengkapnya

Usaha menyuburkan tabiat gemar membaca dalam kalangan kanak-kanak untuk meningkatkan budaya ilmu mesti dipergiat secara berterusan. Bincangkan langkah-langkah yang boleh diambil untuk menyemai minat membaca di kalangan mereka.

Tugasan 2
Siap selewat-lewatnya Khamis, 22/03/06

Arahan
Baca soalan karangan dalam tugasan 1 dan huraikan tiga isi dalam tiga perenggan berasingan

Tugasan tambahan ( jawab jika ada masa terluang)
Bina kesimpulan untuk tajuk karangan di atas.

Selasa, 10 April 2007

Ayat Pasif dan Ayat Aktif

Ayat pasif ialah ayat yang menekankan objek dan perbuatannya berbanding "ayat aktif" yang menekankan subjek atau si pelaku. Kedua-dua jenis ayat ini sebenarnya tidak mempunyai kelainan makna apa pun. Walau bagaimanapun, sasterawan dan penulis sering menggunakan ayat aktif dan ayat pasif secara sedar, bergantung kepada apa yang hendak ditekankan. Dalam hikayat-hikayat Melayu dan karya sastera Melayu lama lebih banyak menggunakan struktur ayat ayat pasif. Prof. St. Takdir Alisjahbana berpendapat bahawa kejadian itu disebabkan oleh cara hidup atau sikap pasif orang Melayu pada zaman silam. Walau agaimanapun, ahli bahasa Dr Awang Sariyan tidak bersetuju dengan pendapat itu, dan berasa bahawa pemilihan ayat pasif itu sebenarnya "mencerminkan budi dan peribadi orang Melayu yang tidak menekankan ego individu". Menurutnya, "barangkali dengan perubahan nilai hidup moden, penulis sekarang lebih banyak menggunakan ayat aktif yang menekankan pelaku".

Jenis-jenis Ayat pasif

1. Ayat pasif untuk pelaku pertama dan kedua

Proses membentuk ayat pasif diri pertama dan kedua adalah sama dan terdiri daripada dua langkah iaitu objek dipindahkan pada awal atau pangkal ayat, dan yang kedua ialah menggugurkan awalan meN. Sebagai contoh, Saya menghantar surat itu semalam (ayat aktif)
akan menjadi; Surat itu saya hantar semalam.

a. Kesalahan yang biasa berlaku ialah apabila pengguna bahasa menggunakan aturan ayat pasif bahasa Inggeris apabila mereka menukarkan ayat aktif tadi kepada ayat pasif yang bersifat keinggerisan. Misalnya:
Surat itu telah dihantar oleh saya semalam.
Borang itu mesti diisikan oleh anda dahulu.

Dalam bahasa Inggeris, ayat di atas memang boleh diterima:
That letter was sent by me yesterday.
The form must be filled by you first.


Sebenarnya, aturan di atas ini juga merupakan aturan ayat pasif untuk pelaku ketiga, umpamanya, ayat-ayat yang berikut adalah betul:
Surat itu telah dihantar oleh Ali semalam.
Borang itu mesti diisikan oleh pemohon dahulu.


Oleh itu, kesalahan ini juga boleh dianggap sebagai "kesalahan menggunakan aturan ayat pasif untuk pelaku ketiga".

b. Kesalahan tidak menggugurkan meN

Ayat aktif :Saya membeli kereta itu daripada Ali.
Ayat pasif : Kereta itu saya membeli daripada Ali. (salah)

Seharusnya: Kereta itu saya beli daripada Ali.
Anda mesti menjawab soalan-soalan itu. ( aktif) sering dipasifkan menjadi;
Soalan-soalan itu mesti anda menjawab.

Ayat pasif yang tepat: Soalan-soalan itu mesti anda jawab.

c. Kesalahan menyisipkan kata lain antara pelaku dengan kata kerja pasif

Frasa subjek dan kata kerja pasif merupakan satu ikatan yang tidak boleh dipisahkan. Oleh itu, jika anda menggunakan kata bantu atau kata nafi, kata itu tidak boleh disisipkan antara pelaku dengan kata kerja pasif.

Salah :Buku itu saya telah baca.
Betul : Buku itu telah saya baca.
Salah : Buku itu saya tidak baca.
Betul : Buku itu tidak saya baca.
Salah : Kerja itu kamu mesti siapkan hari ini.
Betul : Kerja itu mesti kamu siapkan hari ini.

2. Ayat pasif untuk pelaku ketiga

Oleh sebab aturan ayat pasif untuk pelaku ketiga sama saja dengan aturan ayat pasif bahasa Inggeris, kesalahan ayat pasif ini jarang dibuat oleh mereka yang menjadikan bahasa Inggris sebagai pegangan. Kesalahan ayat pasif ini dibuat oleh kalangan yang sepatutnya fasih dalam bahasa Melayu tetapi suka menggunakan bahasa dengan cara yang mudah. Memang ada baiknya menggunakan bahasa yang mudah supaya semua orang mudah faham, tetapi bahasa yang mudah mesti juga mematuhi aturan.

Kesalahan yang biasa berlaku
Ayat-ayat berikut yang salah lazim diucapkan orang sehingga dianggap betul.
Salah : Buku itu Ahmad baca.
Betul : Buku itu dibaca oleh Ahmad.
Salah : Surat itu abang hantar semalam.
Betul : Surat itu dihantar oleh abang semalam.
Salah : Kerja itu mereka mesti siapkan hari ini.
Betul : Kerja itu mesti disiapkan oleh mereka hari ini.

3. Ayat pasif dengan imbuhan "ber"

Selain daripada digunakan dalam ayat aktif, awalan "ber" kadang-kadang juga digunakan dalam ayat pasif selepas "belum" dan "sudah" sebagai ganti untuk awalan "di":
Penggunaan "ber" : Seluar saya belum berjahit.
Penggunaan "di" : Seluar saya belum dijahit.
Surat itu sudah bertaip.
Surat itu sudah ditaip.

Pintu rumah sudah berkunci.
Pintu rumah sudah dikunci.

Walau bagaimanapun, kedua-dua awalan membawa konotasi yang berlainan. Awalan "di" membawa tanggapan bahawa kata kerja pasif itu dihubungkan dengan pelaku ketiga, sedangkan awalan "ber" tidak ada penekanan pelaku sama sekali. Ini disebabkan oleh imbuhan pasif "di" sering diikuti oleh "oleh", umpamanya "Seluar saya belum dijahit oleh seseorang". Bagaimanapun, penggunaan "ber" dalam bentuk ini juga membayangkan kekayaan gaya bahasa Melayu yang menyebabkan bahasa ini hidup dan menarik.

4. Ayat pasif "ter"
Awalan "ter" dalam ayat pasif biasanya berkaitan dengan keupayaan dan tanda selesainya sesuatu perbuatan atau perbuatan yang sedia berlaku.
Menunjukkan keupayaan : Batu yang besar itu terangkat olehku.
Menunjukkan perbuatan yang siap : Kedai itu tertutup sejak tadi.

Projek yang rumit itu terlaksana juga oleh usahawan baru. (keupayaan)
Buku ini terkarang oleh Awang Sariyan. (perbuatan yang siap)
Cita-cita ibu yang besar itu tertunai juga olehnya.
Perabot di ruang tamu itu tersusun.

Dalam penggunaan bahasa sekarang, bentuk ayat pasif sedemikian untuk menunjukkan keupayaan amat kurang, tetapi masih sah.

5. Ayat pasif "ke-an"
Ayat pasif yang menggunakan imbuhan "ke-an" sebagai ganti untuk "mengalami keadaan" ialah ungkapan yang tetap bentuknya dan tidak dapat diubah-ubah lagi. Walau bagaimanapun, dengan berdasarkan pola yang sedia ada itu, banyak lagi ayat pasif "ke-an" dapat dibentukkan.
Penggunaan bentuk pasif "ke-an" : Kerana lewat bangun, saya ketinggalan bas.
Maksud : Kerana lewat bangun, saya mengalami keadaan "ditinggalkan bas".
Jiran saya kecurian malam tadi membawa maksud jiran saya mengalami keadaan "hartanya dicuri orang".
Orang itu baru kematian suami. Maksud: Orang itu mengalami keadaan "suaminya mati".

6. Ayat pasif "kena"

Ayat pasif yang menggunakan kata "kena" sebagai ganti untuk awalan "di" lebih banyak digunakan oleh orang dalam pertuturan. Walau bagaimanapun, bentuk pasif ini boleh juga digunakan untuk gaya bahasa sebagai pilihan lain.
Penggunaan "kena" : Pemandu itu kena saman.
Penggunaan "di" : Pemandu itu disaman.

Budak nakal itu kena pukul.
Budak nakal itu dipukul.

Pencuri itu kena tangkap.
Pencuri itu ditangkap.

Sabtu, 7 April 2007

PANDUAN RINGKAS ALIH BENTUK TEKS (BAHAGIAN C)

JENIS-JENIS LARAS
•Bahasa Melayu Klasik
•Dialog (laras sastera kreatif)
•Iklan
•Undang-undang
•Puisi (moden dan klasik)

Laras yang paling popular dan kerap digunakan dalam kertas soalan ialah laras sastera kreatif/ dialog dan laras bahasa Melayu klasik. Untuk tujuan mengalih bentuk teks sastera kreatif kepada bentuk laras biasa, pelajar hendaklah mengetahui asas-asas mengalih bentuk teks, antaranya ialah dengan menukarkan semua cakap ajuk kepada cakap pindah. Oleh itu, perkara-perkara di bawah hendaklah dititikberatkan oleh pelajar bagi menghasilkan alih bentuk teks yang tepat.

1. Semua kata tanya seperti apa, siapa, bila, di mana, ke mana, bagaimana, kenapa, dan mengapa hendaklah ditukarkan kepada:
menanyakan
ingin mengetahui
inginkan kepastian/ingin mendapat kepastian
ingin tahu sebab


2. Pelajar-pelajar juga boleh mempelbagaikan ayat dengan menggunakan frasa-frasa seperti
•Menyatakan bahawa
•Menjelaskan bahawa
•Tambahnya lagi
•Jelasnya lagi
•Menerangkan bahawa

3. Pelajar mestilah menggunakan perkataan penuh bagi kependekan kata seperti nak, tak, dah, tu, tapi dsb.

4. Kata-kata larangan seperti jangan, usahlah, tak tidak boleh dimasukkan dan digantikan dengan perkataan melarang, menafikan dsb.

5. Pelajar juga hnedaklah menukarkan konsep masa seperti:
•hari ini - hari tersebut/ itu
•masa ini / kini - masa itu
•Sekarang - pada masa itu
•Sini - di situ
•Begini - begitu/ demikian
•Semalam - pada malam sebelum itu
•kelmarin - pada hari sebelum itu

5. Jangan buat ulasan atau laporan.

6. Jangan sesekali menyusun isi dan menokok tambah cerita.

Sampai di sini dulu untuk hari ini. Sebagai latihan, cuba alih bentuk teks di bawah.

“Kau menangis Linda…?” tanya Lokman apabila melihat Linda.
“Aku terlalu gembira, Man. Kejayaan ini hadiah untuk keluargaku. Kau bagaimana Man?”
“Aku juga berjaya, tapi tak secemerlangmu.”“Tak mengapalah Man, yang pentingnya kita sama-sama berjaya. Man…! Aku terpaksa pulang segera.”
“Kau kelihatan cemas saja, Linda.” Lokman dapat membaca riak di wajah Linda.
“Aku harus pulang segera. Ada hal yang penting di rumah Man. Aku tak boleh lama.”
“Kau merahsiakan sesuatu dari aku, Linda?”
“Sebenarnya ayah aku sakit, Man,” ujar Linda.
“Ayahmu sakit, Linda?”
“Ya….! Dah sebulan dia sakit, semasa aku datang tadi keadaannya agak tenat sedikit.”
Lokman diam seketika.
“Lama….? Kenapa tak beritahu aku? Dah bawa ke hospital?”
“Tiga minggu ayahku di hospital. Tapi mak tak mampu untuk menampung perbelanjaan ayah di hospital. Sekarang ayah terlantar di rumah.”
“Kalaulah kau beritahu sejak dulu lagi, dapat juga aku membantumu.”
Lama mereka membisu. Tiada patah-patah kata yang terbit dari rekahan bibir kedua-duanya.

PANDUAN RINGKAS PENULISAN KARANGAN STPM

PENDAHULUAN

Sesebuah karangan di peringkat STPM ini seharusnya mengandungi tiga bahagian, iaitu:-

IU = Idea Utama (Pendahuluan)
IS = Isi Sokongan
K = Kesimpulan

IU merupakan perkara yang penting yang memperkatakan secara umum tentang tajuk. IS pula jangan terlalu banyak; lima atau enam IS sudah cukup. Hal ini kerana., karangan pada peringkat ini bukan mementingkan kuantiti IS tetapi mengutamakan kualitinya. K juga harus ditulis dengan baik, bukan sekadar tiga atau empat baris.

2 PERENGGAN KARANGAN

Ketiga-tiga bahagian di atas hendak disampaikan dalam perenggan secara tepat, menarik dan berkesan. Jika pelajar memutuskan untuk menulis enam IS, bererti karangan pelajar seharusnya mengandungi lapan perenggan, iaitu satu perenggan untuk IU, enam perenggan untuk IS, dan satu perenggan untuk K.

Perenggan 1 (IU) - 80 perkataan
Perenggan 2 (IS1) - 90 perkataan
Perenggan 3 (IS2) - 90 perkataan
Perenggan 4 (IS3) - 90 perkataan
Perenggan 5 (IS4) - 90 perkataan
Perenggan 6 (IS5) - 90 perkataan
Perenggan 7 (IS6) - 90 perkataan
Perenggan 8 (K) - 80 perkataan

3 PANJANG KARANGAN

Panjang karangan yang perlu ditulis oleh pelajar adalah antara 650 hingga 700 patah perkataan. Oleh itu pelajar janganlah menulis lebih daripada 700 patah perkataan kerana lebihan itu tidak lagi diambil kira. Sebagai contoh, jika pelajar menulis 800 patah perkataan, bererti bahagian K akan berada pada 100 patah perkataan yang terakhir, yang tidak lagi diambil kira (tidak dibaca dan diperiksa). Dengan demikian, karangan berkenaan dianggap tiada K dan sudah tentulah keberkesanannya turut terjejas.

4 SOALAN KARANGAN

Terdapat banyak soalan karangan yang berkehendakkan dua aspek IS, misalnya “faktor dan langkah mengatasi”, “sebab dan akibat”. “kebaikan dan keburukan” dan lain-lain. Untuk menjawab soalan seumpama ini, pelajar hendaklah mengemukakan IS secara seimbang dan dicadangkan tiga IS bagi setiap bahagian. Jika mengemukakan lima IS dicadangkan tiga IS bahagian pertama dan dua IS bahagian kedua.

5 BAHAN SOKONGAN

Bagi menghasilkan karangan yang bermutu, bahan-bahan sokongan, seperti contoh, bukti, pendapat, perangkaan/data, dan lain-lain yang relevan dengan perkara yang ditulis, haruslah dimasukkan. Perkara ini penting untuk menguatkan lagi idea yang diutarakan dan sekali gus dapat meyakinkan pembaca.

6 BAHASA DAN PENYAMPAIAN

Walau sebaik manapun idea yang ingin disampaikan tetapi keberkesanannya belum terjamin jika pelajar gagal menguasai aspek bahasa dengan baik. Perkara ini merupakan suatu kenyataan kerana bahasa merupakan wahana untuk menyampaikan buah fikiran seseorang. Oleh itu, pelajar seharusnya menguasai benar-benar pelbagai struktur ayat, tatabahasa, ejaan, aspek mekanis (tanda baca) dan aspek-aspek yang lain untuk menghasilkan karangan yang benar-benar menggambarkan kematangan.


KESIMPULAN

Tiada jalan mudah untuk memperoleh sesuatu yang cemerlang, melainkan dengan berusaha. Dalam hal ini, pelajar hendaklah tidak jemu-jemu berusaha membaca, merujuk, menyalin karangan terbaik dan membuat latihan karangan serta berbincang dengan rakan ataupun guru agar pelajar kurang menghadapi masalah apabila menduduki peperiksaan STPM yang akan menjelang. Ikhtiar terakhir ialah memohon doa ke hadrat Ilahi, agar segala usaha kita diberkati-Nya. Insya-Allah.

Gunakan tanda sempang dengan betul, nanti kena lempang!

Saya dapati, belakangan ini terdapat ramai pengguna bahasa yang tidak menggunakan tanda baca dengan betul terutamanya tanda sempang (...