Selasa, 20 Mac 2007

Dari Wikipedia Bahasa Melayu Diperolehi daripada "http://ms.wikipedia.org/wiki/Bahasa_Melayu_Kuno"

Sebelum kedatangan pedagang India ke Kepulauan Melayu, bahasa yang digunakan oleh masyarakat setempat dikenali sebagai Bahasa Melayu Purba. Bahasa ini kemudiannya dinamakan Bahasa Melayu Kuno setelah mendapat pengaruh India. Bahasa Melayu Kuno mencapai kegemilangannya dari abad ke-7 hingga abad ke-13 pada zaman kerajaan Sriwijaya sebagai lingua franca dan bahasa pentadbiran. Mereka yang bertutur bahasa Melayu Kuno merangkumi Semenanjung Tanah Melayu (Kini Semenanjung Malaysia), Kepulauan Riau dan Sumatera. Bahasa Melayu Kuno diterima ramai kerana:
· Bersifat sederhana dan mudah menerima pengaruh luar.
· Tidak terikat kepada perbezaan susun lapis masyarakat
· Mempunyai sistem yang lebih mudah berbanding bahasa Jawa.

Pengaruh Sanskrit dan Hindu

Bahasa Melayu Kuno banyak dipengaruhi oleh sistem bahasa Sanskrit. Ini kerana kebanyakan masyarakat Melayu ketika itu beragama Hindu dan Bahasa Sanskrit telah menjadi bahasa bangsawan dan mempunyai hierarki yang tinggi. Selain itu, sifat bahasa Melayu yang mudah dilentur mengikut keadaan juga antara penyebab bahasa asing seperti sanskrit diterima. Ini boleh dibuktikan daripada pengaruh tulisan atau aksara Pallava dan Devanagari yang datang dari India, kata-kata pinjaman daripada bahasa Sanskrit, rangkai-rangkai kata pinjaman daripada bahasa Sanskrit, dan fonem-fonem Sanskrit. Kesan daripada bahasa sanskrit ini menyebabkan penambahan kosa kata Bahasa Melayu Kuno. Contoh contoh perkataan yang diambil daripada Bahasa Sanskrit adalah seperti syukasyitta, athava, karana, tatakala dan sebagainya. Bahasa Melayu Kuno tidak mempunyai pengaruh Parsi atau Arab.
Perkaitan antara Bahasa Melayu Kuno dan Bahasa Melayu Moden dapat dilihat daripada perkataan perkataan yang kekal daripada dulu sehingga sekarang seperti curi, makan, tanam, air dan sebagainya, serta perkataan yang mempunyai bentuk atau format yang serupa seperti dalam jadual jadual di bawah:
Bahasa Melayu Kuno Bahasa Melayu Moden
vulan bulan
nasyik asyik
mangalap mengambil
mamava membawa
saribu seribu
dangan dengan
vanakna banyaknya
sukhacitta sukacita
ko ke

Awalan ni- menjadi di-
Penggunaan awalan di- dalam Bahasa Melayu Moden sama dengan awalan ni- dalam Bahasa Melayu Kuno dan awalan diper- sama seperti nipar-.
Bahasa Melayu Kuno
nimakan - dimakan
niminumna - diminumnya
niparvuat- diperbuat

Awalan mar- menjadi ber-
Awalan ber- dalam Bahasa Melayu moden hampir sama dengan awalan mar- dalam Bahasa Melayu Kuno.
marvanum -berbangun
marvuat -berbuat
Akhiran -na menjadi -nya
Akhiran -na yang digunakan dalam Bahasa Melayu Kuno sama dengan -nya pada masa kini.
vinina - bininya
vuahna - buahnya
Secara ringkasnya berikut merupakan ciri ciri Bahasa Melayu Kuno
· Penuh dengan kata-kata pinjaman Sanskrit seperti tatkala, air dan sebagainya
· Bunyi b ialah v dalam Bahasa Melayu Kuno. Contohnya bulan ialah vulan
· Bunyi e pepet tidak wujud. Contoh: dengan - dngan atau dangan
· Awalan ber- ialah mar- dalam Bahasa Melayu Kuno (contoh: berlepas-marlapas)
· Awalan di- ialah ni- dalam Bahasa Melayu Kuno (Contoh: diperbuat - niparvuat)
· Ada bunyi konsonan yang diaspirasikan seperti bh, th, ph, dh, kh, h (Contoh: sukhatshitta)
· Huruf h hilang dalam bahasa moden (Contoh: semua - samuha; saya - sahaya)
Batu bersurat dan candi
Salah satu bukti sejarah bahasa Melayu yang penting ialah batu bersurat. Beberapa batu telah ditemui di sekitar Sumatera dan Jawa yang memperlihatkan penggunaan Bahasa Melayu kuno pada abad ke-7. Tulisan yang digunakan ialah aksara (alphabet) Pallawa iaitu sejenis tulisan yanb berasal dari selatan India. Berikut adalah antara batu bersurat yang ditemui.

· Batu Bersurat Kedukan Bukit (Palembang), bertarikh 605 Tahun Saka, bersamaan dengan 683 M. Tulisan yang terdapat pada Batu Bersurat ini menggunakan huruf Palava.
· Batu Bersurat Talang Tuwo (Palembang), bertarikh 606 Tahun Saka, bersamaan dengan 684 M. Batu
· Batu Bersurat Kota Kapur (Bangka), bertarikh 608 Tahun Saka, bersamaan dengan 686 M.
· Batu Bersurat Karang Brahi (Jambi), bertarikh 614 Tahun Saka, bersamaan dengan 692 M.
· Batu bersurat di Gandasuli, Jawa Tengah (832 M) ditulis dalam huruf Nagiri.
Batu Bersurat Pagar Ruyung (1356 M)
Pengaruh agama Hindu dan Buddha cukup kuat dalam bahasa dan budaya pada zaman bahasa Melayu kuno. Bahkan banyak candi yang dibina di Alam Melayu yang dipengaruhi oleh budaya Hindu dan Buddha dari India, seperti candi-candi di Lembah Bujang, Muara Takus dan Pagarruyung di Sumatera, dan candi Borobodur dan Prambanan di Pulau Jawa.
Bahasa Melayu Kuno dan Kerajaan Melayu
Bahasa Melayu juga merupakan bahasa yang diguna pakai dalam kerajaan Melayu kuno. Kerajaan-kerajaan Melayu kuno yang diketahui adalah (tidak menurut sebarang susunan) ialah
· Oc-eo
· Lembah Bujang
· Ko-ying
· Kerajaan Funan
· Srivijaya
· Kerajaan Angkor
· Majapahit
· Kedah Tua
· Melaka

Isnin, 5 Mac 2007

BATU BERSURAT KEDUKAN BUKIT (683M)


Teks di bawah ialah bentuk bahasa Melayu yang terdapat pada batu bersurat abad ketujuh, iaitu batu yang tertua yang dijumpai di Kedukan Bukit, Palembang.
Swasti Shri
Shakawarsatita 605 ekadashi
Shuklapaksa wulan Waishakha dapunta
Hiyang naik disambau mengalap siddhayatra
Di Saptami Shuklapaksa Wulan
Jyestha dapunta hiyang marlapas dari Minanga Tamwan (Tamvar?)
mawawa jang bala dua laksa
dangan ... dua ratus
tsyara disambau dangan jalan
Saribu tlu ratus sapuloh
dua banyaknya. Datang
di Matajap (Mataya?)
sukhatshitta.
Di pantshami shuklapaksa Wulan
...laghu mudik datang
marwuat manua... Syriwijaya
jayasiddhayatra subhiksa.
CATATAN:
i. Yang berhuruf condong ialah perkataa-perkataan Melayu.
ii. Bahasa lain, Sanskrit.
iii. Tanda .... ialah bahagian yang tidak dapat dibaca
iv. Perkataan (nama-nama tempat) yang ditulis dalam kurungan disertai tanda tanya (?) ialah alternatif nama tempat yang sama.
TUGASAN: terjemahkan teks di atas!

CIRI-CIRI BAHASA MELAYU KUNO

Ciri-ciri khusus BMK ialah seperti berikut:

1. Aspek tatabahasa dan struktur ayat tidak dapat dikaji dengan jelas kerana batu bersurat itu merupakan catatan pendek dan ringkas, bukan ayat-ayat penuh. Ini disebabkan ada di antara batu-batu bersurat itu yang telah terpecah bahagian-bahagiannya.

2. Perkataan yang digunakan bercampur aduk dengan perkataan Sanskrit

3. Terdapat keselarasan vokal pada perkataan-perkataan bahasa Melayu, seperti a - a, u - u dan i - u, misalnya bala, marga, laksa, mudik, tuwi, niminumnya.

4. Terdapat beberapa kata yang tidak wujud lagi dan tidak ditemui langsung dalam bahasa Melayu klasik seperti tuvi - dengan, inan - itu, tamwal - sirih, talu - rosak/siksa, tlu - tiga, wela - batas, sarak - pisah.

5. Kesejajaran bunyi-bunyi yang terdapat dalam kata-kata bahasa Melayu kuno dengan bahasa Melayu sekarang, iaitu /w/ ( bunyi separuh vokal bibir) dengan /b/ (bunyi plosif/letupan dua bibir ) contohnya wunuh - bunuh, tuwa - tuba, wuat - buat, wuah - buah, wuluh - buluh.

6. Sesetengah kata dalam bahasa Melayu kuno telah mengalami perubahan makna sekarang contohnya, kita - kamu ( pengertian singular ), kamu - kamu ( pengertian jamak) tmu/temu - mendapat, sapuluh dua - dua belas.

7. Awalan ni yang digunakan sebagai kata kerja pasif dalam BMK, contohnya niwunuh - dibunuh, nikenai - dikenai.

8. Awalan kata kerja ma, mem atau mang dalam BMK dihubungkan dengan meN, contohnya, mamava - membawa, mangujari - menghubungi, manghidupi - menghidupkan.

9. Awalam mar dalam BMK membawa maksud ber , misalnya marvuat - berbuat, marlapas - berlepas, marsarak - berpisah.

10. Bahasa Melayu kuno mempunyai empat vokal iaitu vokal depan sempit /i/, vokal belakang sempit / u/ , vokal depan separuh sempit / e / dan vokal depan luas / a /. Tidak kedapatan vokal tengah corak pendek. Vokal ini digugurkan atau digantikan dengan vokal /a /, contohnya lapas - lepas, sapuloh - sepuluh, ngan/dangan - dengan.

11. Dalam BMK terdapat rangkap gugus konsonan atau dipanggil juga gugusan konsonan contohnya, mw samwua - semua, ti tlu - tiga, dng dngan - dengan.

12. Banyak terdapat konsonan yang diaspirasikan dalam bahasa Melayu kuno disebabkan pengaruh daripada bahasa Sanskrit, contohnya dh - siddhayatra, kh - sukhatshitta, sh -shuklapaksa, th - jyestha, gh - laghu

13. Dalam bahasa Melayu kuno terdapat kata-kata pasif dan aktif, kata aktif ditandai oleh awalan ma, mang dan mem sedangkan kata-kata pasif ditandai dengan awalan ni.

BAHASA MELAYU KUNO

1. Asas kepada Bahasa Melayu Kuno ialah bahasa Sanskrit. BMK dapat dikaji kerana pada zaman inilah terdapatnya bukti konkrit pertama tentang bentuk dan sifat bahasa Melayu. Bukti ini diperolehi dari batu-batu bersurat yang dijumpai sejak tahun 683 M. Batu-batu bersurat ialah bukti catatan tertua tentang bahasa Melayu.

2. Perihal kewujudan kerajaan Sriwijaya dan hal ehwal yang berkaitan dengan kehidupan di bawah naungan kerajaan itu dibuktikan oleh penemuan batu-batu bersurat pada abad ke-7 di Sumatera, iaitu

i. Batu bersurat di Kedukan Bukit, Palembang (683 M)
ii. Batu bersurat di Talang Tuwo, Palembang (684 M)
iii. Batu bersurat di Kota Kapur, Pulau Bangka (686 M)
iv. Batu Bersurat di Karang Brahi, Meringin, Hulu Jambi (686M)

( Perkataan-perkataan yang digunakan bercampur di antara perkataan Melayu kuno dengan perkataan Sanskrit. Perkataan itu ditulis dalam huruf Palawa, sejenis tulisan India Selatan purba. )

3. Selain dari itu terdapat juga batu bersurat dan patung yang terhasil dalam zaman Sriwijaya ditemukan juga di tempat lain, seperti di
i. Gandasuli, Kedu, Jawa Tengah 832M
ii. Bangkahulu 1000M
iii. Padang Lawas, Tapanuli 1029M
iv. Padang Rocore, Batanghari

( Perkataan yang ditulis di permukaan prasasti, patung yang dijumpai di Padang Rocore juga masih dalam keadaan campur aduk antara Melayu kuno dan Sanskrit. Bahasa Melayu kuno pada batu bersurat di Gandasuli ditulis dalam huruf Nagiri, nama sebuah daerah di India Utara. )

4. Kajian ke atas batu-batu bersurat itu akhirnya membawa kepada rumusan ciri-ciri bahasa Melayu Kuno iaitu

1. Bahasa Melayu jelas memperlihatkan pengaruh bahasa Sanskrit, terutama dari segi kata-kata pinjaman. Hal ini terjadi kerana pada waktu itu bahasa Melayu tidak mempunyai kata-kata yang sesuai untuk memperkatakan perkara-perkara dan konsep-konsep baru yang dibawa dari kebudayaan asing. Oleh itu bahasa Melayu terpaksa meminjam daripada bahasa masyarakat yang membawa konsep-konsep baru itu.

2. Bahasa Melayu telah tersebar luas dan berfungsi sebagai lingua franca.

3. Bahasa Melayu itu kebanyakannya ditulis oleh raja. Oleh itu dapat dibuat kesimpulan bahawa bahasa Melayu kuno telah menjadi bahasa rasmi dan bahasa untuk urusan pemerintahan di istana.

4. Bahasa Melayu kuno bersifat kosmopolitan, menerima pengaruh dari luar terutama pengaruh bahasa Sanskrit.

Asal Usul Bahasa Melayu

1. Bahasa Melayu merupakan ahli keluarga/ subkeluarga bahasa Indonesia/Sumatera, manakala keluarga bahasa Indonesia/Sumatera pula ialah keluarga bahasa di bawah rumpun bahasa Austronesia. Keluarga bahasa yang lain di bawah rumpun Austronesia ialah Melanesia, Mikronesia dan Polinesia.

2. Rumpun bahasa Austronesia pula ialah rumpun bahasa yang berada di bawah filum Austris. Terdapat beberapa filum bahasa yang lain yang melahirkan jurai rumpun, keluarga dan subkeluarga yang lain pula.

3. Bahasa Melayu tergolong ke dalam keluarga Nusantara dan di bawah rumpun Bahasa Austronesia. Keluarga Nusantara ini mempunyai kira-kira 200 - 300 bahasa yang menjadi subkeluarga. Bahasa Melayu pula berada dalam subkeluarga Sumatera. Bahasa-bahasa di bawah subkeluarga Sumatera ialah

Kumpulan Bahasa Sumatera / Indonesia

1. Aceh
2. Gayo
3. Batak (Karo, Toba, Angkola-Mendailing, Sumalungun)
4. Minangkabau
5. Melayu (Riau, Melayu, Jakarta, Kubu, Moluku )
6. Nias
7. Lampung
8. Orang Laut
9. Simalur
10. Nias
11. Rejang
12. Enggano
13. Mentawai
14. Loncong
15. Lain-lain

4. Menurut catatan sarjana yang bernama M. Sylvain Levl, pada tahun 1931, bahasa Melayu telah dikenal pasti oleh orang Cina sebagai bahasa Kun Lun dan oleh orang India sebagai bahasa Dwipantara sejak abad pertama Masihi lagi. Pada abad ke-4, bahasa Melayu sudah digunakan sebagai bahasa catatan sejarah sebagaimana yang tertera pada batu bersurat atau prasasti di Campa, iaitu sebuah kerajaan Melayu di Indocina. Sejak abad itu juga bahasa Melayu menjadi wahana penyampaian ajaran moral dan agama dan hal ini dapat dikesan pada batu bersurat Dong Yen Cau di Teluk Tourane, Vietnam Selatan (ketika itu Campa).

5. Antara bahasa yang banyak di dalam keluarga Sumatera/Indonesia, bahasa Melayulah yang paling pesat berkembang berbanding dengan bahasa-bahasa lain. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan hal ini, iaitu

a. Sifat kesederhanaan bahasa Melayu itu sendiri dan mudah menerima pengaruh luar.
b. Sifat bahasa Melayu yang mudah lentur.
c. Tidak terikat kepada perbezaan susun lapis masyarakat
d. Mempunyai sistem yang lebih mudah berbanding dengan bahasa Jawa.

Khamis, 1 Mac 2007

Bersama Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim

PADA masa ini istilah 'bahasa Melayu' dan 'bahasa Malaysia' digunakan secara bertukar ganti. Hal ini mengelirukan beberapa pihak dan saya kerap ditanya tentang hal ini. Yang menjadi persoalan utama ialah apakah beza antara kedua-dua istilah ini, dan bolehkah istilah-istilah ini bertukar ganti.Dari sudut ilmu bahasa, istilah yang tepat ialah bahasa Melayu, yang memberi maksud bahasa ibunda kelompok manusia yang bergelar orang Melayu. Perkara ini sama dengan istilah bahasa Jepun, bahasa Perancis dan bahasa Inggeris. Dalam peredaran masa, istilah yang dikaitkan dengan kelompok manusia juga membawa pengertian bahasa kebangsaan sebuah bangsa, yakni sebuah entiti politik. Bahasa yang digunakan oleh orang Jepun menjadi bahasa kebangsaan negeri Jepun. Bahasa yang digunakan oleh orang Perancis menjadi bahasa kebangsaan negara Perancis. Dalam kedua-dua kes ini, istilah bahasa Jepun dan bahasa Perancis membawa dua pengertian, iaitu bahasa orang Jepun dan orang Perancis dan bahasa kebangsaan negara Jepun dan negara Perancis.Kadang-kadang orang dalam sesebuah negara tidak homogen atau sejenis sifatnya tetapi terdiri daripada kelompok etnik lain, misalnya di negara Perancis, selain orang Perancis terdapat juga orang-orang dari Timur Tengah yang menuturkan pelbagai jenis bahasa Timur Tengah seperti bahasa Arab, bahasa Maghribi dan bahasa Algeria. Mereka ini menjadi warganegara Perancis dan menerima serta menuturkan bahasa kebangsaan negara Perancis tanpa mengetepikan bahasa ibunda masing-masing. Namun bahasa Perancis kekal namanya, tidak diubah untuk disesuaikan dengan kelompok-kelompok manusia lain yang tinggal di Perancis.

Kes orang-orang Inggeris lagi menarik. Orang-orang Inggeris tinggal di sebuah negeri yang bernama England dan menuturkan bahasa Inggeris (English) yang juga menjadi bahasa kebangsaan negara tersebut. Sewaktu England bergabung dengan Scotland, Wales dan Ireland dan membentuk sebuah negara baharu yang bernama United Kingdom, bahasa Inggeris dipilih sebagai bahasa kebangsaan, tetapi orang-orang Scotland, Wales dan Ireland tetap menggunakan bahasa sendiri. Nama bahasa kebangsaan mereka tetap English dan tidak diubah menjadi 'the United Kingdom language' atau sebarang nama lain untuk menggambarkan negara baharu itu. Apabila kelompok manusia dari United Kingdom menjelajah ke kawasan-kawasan lain dan menubuhkan negara-negara baharu, iaitu di benua Amerika dan Australia, nama bahasa kebangsaan negara-negara baharu ini kekal sebagai English, walaupun nama negara masing-masing ialah Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan New Zealand. Mereka tidak terasa terdesak untuk menukar nama bahasa kebangsaan itu kepada 'the American language' atau 'the Canadian language' atau 'the Australian language' atau 'the New Zealand language.'Malaysia juga, pada mulanya, mempunyai pendirian yang sama.

Dari segi ilmiah dan sejarah, nama bahasa kita ialah bahasa Melayu (istilah Inggerisnya ialah Malay), yang merupakan juga nama bangsa kita. Itulah juga istilah yang digunakan dalam Perlembagaan kita. Tetapi, dalam pergolakan sosiopolitik, dalam proses pembangunan negara, terdapat keadaan beberapa kelompok manusia bergabung untuk menubuhkan sebuah negara. Kelompok masing-masing mempunyai bahasa ibundanya sendiri tetapi salah satu daripada bahasa kelompok yang bergabung ini dipilih sebagai bahasa kebangsaan. Bahasa-bahasa lain tetap kekal digunakan dalam kalangan kelompok masing-masing. Agar penerimaan bahasa kebangsaan menjadi lebih cepat, nama bahasa yang dipilih itu diubah, mengambil nama negara. Pembaharuan ini dilakukan untuk menjadikan bahasa itu diterima oleh semua rakyat sebagai bahasa mereka. Ini berlaku di Indonesia. Dari segi penduduk, penutur Jawa jauh lebih besar jumlahnya. Namun, bahasa Melayu yang dituturkan oleh kelompok manusia yang agak kecil telah dipilih sebagai bahasa kebangsaan negara baharu atas sebab-sebab tertentu. Bahasa Melayu diubah namanya menjadi 'bahasa Indonesia' supaya semua rakyat Indonesia menerimanya sebagai bahasa kebangsaan mereka dan perpaduan akan tercapai dalam masa yang lebih singkat. Pendekatan ini disebut pendekatan sosiopolitik, pendekatan yang memberi penekanan kepada aspek pembinaan unit politik atau kenegaraan, dan yang mengetepikan alasan ilmu.

Kepada persoalan yang manakah istilah yang lebih sesuai antara 'bahasa Melayu' atau 'bahasa Malaysia', jawapannya ialah: kedua-duanya tidak salah. Namun, sebagai ahli bahasa dan bercakap dalam konteks ilmu bahasa, yang lebih tepat ialah istilah 'bahasa Melayu', kerana istilah tersebut mempunyai asas ilmu dan sejarah. Amalan ini juga dipegang oleh kebanyakan negara maju yang lain, seperti bahasa Inggeris, bahasa Jepun, bahasa Arab, bahasa Perancis, bahasa Jerman dan lain-lain.

Cintailah bahasa Kita, Kalau Tak Kita Siapa Lagi.

Selamat datang dan selamat berkunjung ke BLOG BAHASA MELAYU STPM, iaitu satu blog yang akan membincangkan masalah-masalah pengajaran dan pemelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Sebenarnya blog ini pada awalnya saya cipta khusus untuk menyelesaikan masalah P & P yang berlaku kepada pelajar-pelajar saya tetapi rupa-rupanya jga mendapat kunjungan dan maklum balas yang positif daripada guru-guru dan pelajar-pelajar sekolah lain. Semoga blog ini mampu menarik minat pelajar-pelajar mempelajari Bahasa Melayu dan seterusnya membentuk satu bentuk media interaksi yang berkesan antara guru dan guru, guru dan pelajar, juga antara pelajar dengan pelajar.

Kertas Bahasa Melayu STPM (910) adalah antara kertas yang paling diminati dan diambil oleh ramai calon STPM. Kertas ini terbahagi kepada 2 bahagian ialatu Kertas 1 dan Kertas 2. Bagi Kertas 1 iaitu kertas aneka pilihan, terdiri daripada 60 soalan aneka pilihan yang merangkumi pemahaman (linear dan bukan linear) beserta 10, dan 50 soalan lagi merangkumi tajuk-tajuk Sejarah Asal Usul dan Perkembangan Bahasa Melayu (6 soalan), Dinamika Bahasa Melayu (8 soalan), Pengetahuan Sistem Bahasa Melayu (33 soalan) dan Semantik (4 soalan).

Kertas 2 (Kecekapan Berbahasa) terbahagi kepada 4 bahagian iaitu Bahagian A (Karangan), Bahagian B (Rumusan), Bahagian C (Alih Bentuk teks) dan Bahagian D (Analisis Kesalahan Bahasa).

Mungkin bahan-bahan yang terdapat dalam blog ini tidak disusun mengikut sukatan, tetapi saya mengharapkan bahan-bahan ini dapat digunakan dengan baik oleh pelajar-pelajar dan guru-guru. Jumpa lagi!

Gunakan tanda sempang dengan betul, nanti kena lempang!

Saya dapati, belakangan ini terdapat ramai pengguna bahasa yang tidak menggunakan tanda baca dengan betul terutamanya tanda sempang (...