Rabu, 1 Ogos 2012

Jangan melepaskan batuk di tangga!

Tentu kalian pelajar-pelajar pernah mendengar perumpamaan ini bukan? Seperti melepaskan batuk di tangga - yang membawa maksud orang yang membuat kerja dengan tidak sempurna atau hanya mengambil syarat atau dengan kata lain, membuat kerja secara tidak bersungguh-sungguh. Perumpamaan ini boleh disamakan dengan perumpamaan "hangat-hangat tahi ayam",  dipegang panas dicium jangan.

Namun begitu, apakah yang terbayang di kepala anda saat menggunakan peribahasa ini? Semasa saya kecil dahulu, saya membayangkan bahawa, seseorang yang menaiki atau menuruni tangga yang kemudiannya melepaskan batuk di tengah tangga? Dan, pernah juga terbayang pada kotak fikir saya, kalau mahu batuk, mana boleh batuk di tangga, nanti jatuh. Ini yang terlintas di kepala lewat mengenali dan diajarkan peribahasa-peribahasa dalam bahasa ibunda tercinta ini sewaktu saya di sekolah rendah dahulu. Acap kali t
erasa seperti ada yang tidak kena antara bayangan di kepala dan maksud yang dibawa peribahasa tersebut. Semasa menjadi guru, ada juga pelajar nakal yang menukarkan perumpamaan ini kepada "seperti melepaskan kentut di tangga". Kata mereka, kalau selalu batuk, apa salahnya kadang-kadang kita berkentut pula. Haihh!!

Sebenarnya pelajar-pelajar, yang dimaksudkan dengan "batuk" itu bukanlah melepaskan batuk "uhuk..uhuk" tetapi melepaskan batok. "Batok" ialah kata pinjaman daripada bahasa Jawa yang membawa maksud "tempurung", iaitu pencedok air yang diperbuat daripada tempurung yang digunakan pada zaman dahulu kala di rumah datuk nenek kita untuk mencedok air di dalam tempayan buat membasuh kaki sebelum naik ke rumah. Perubahan ejaan jawi kepada rumi menyebabkan pengecualian pola keselarasan vokal yang terpakai pada "batok" turut bertukar kepada "batuk". Hal ini menjadikan ramai golongan muda tidak tahu apa sebenarnya batok yang dimaksudkan dalam perumpamaan ini.

Dalam peribahasa ini, sama ada membuat kerja secara tidak bersungguh-sungguh atau tidak boleh dilihat apabila kita menggunakan batok tersebut. Kita sepatutnya meletakkannya semula di dalam tempayan atau di atas penutup tempayan dan bukan hanya ditinggalkan di atas tangga begitu sahaja, atau dilemparkan sahaja dari atas tangga. Maksud jelasnya ialah kita tidak menyelesaikan kerja dengan habis sempurna. Begitulah..

Hasil pencarian Pakcik Google, saya menemukan beberapa keping gambar batok atau pencedok daripada tempurung kelapa.

Tetapi, perlukah kita menukarkannya kepada ejaan "batok"? Mengikut pakar bahasa, gunakanlah yang sedia ada, kekalkanlah penggunaan kata "batuk" sebab telah lazim digunakan. Yang penting kita tahu asal usul makna kata tersebut.

Wallahu 'alam...

Cikgu Za...