Selasa, 28 Februari 2017

Gunakan tanda sempang dengan betul, nanti kena lempang!

    Saya dapati, belakangan ini terdapat ramai pengguna bahasa yang tidak menggunakan tanda baca dengan betul terutamanya tanda sempang (-). Tanda sempang hendaklah digunakan untuk tujuan-tujuan tertentu, antaranya:

    1. Mengeja kata ganda (sama ada kata ganda penuh, kata ganda berimbuhan atau berentak)...
    Contoh: buku-buku, menari-nari, ipar-duai, remeh-temeh

    2. Merangkaikan imbuhan/ perkataan dengan kata nama khas, contohnya,
    se-Malaysia, anti-Amerika, pro-Malaysia, hamba-nya, rahmat-Nya

    3. Merangkaikan kata sendi nama ke dengan angka, contohnya, ke-21, ke-52

    4. Merangkaikan tahun dengan akhiran -an, contohnya 1960-an, tahun 90-an

    Jika menggunakan komputer, semasa menaip, tanda sempang tidak perlu dijarakkan (space bar) antara perkataan tersebut.

    Gunakanlah tanda sempang dengan betul. Kata yang tak perlu sempang, janganlah disempangkan pula, contohnya,
    kokurikulum (bukan ko-kurikulum),
    prauniversiti (bukan pra-universiti),
    antidadah (bukan anti-dadah)
    kokurikulum (bukan ko-kurikulum) dll.

     Nanti kang saya lempang je!

Antara, di antara, dalam, di dalam...

    TAZKIRAH BAHASA

    Antara "di antara" dengan "antara",
    antara "di dalam" dengan "dalam", dan
    antara "di atas" dengan "atas" apakah perbezaannya?

    "Antara", "dalam" dan "atas" mempunyai dua fungsi iaitu sebagai kata sendi nama dan sebagai kata arah. Jika sebagai kata arah, perkataan ini perlu didahului dengan kata sendi nama seperti "di" dan "ke".

    Contoh:

    1. Antara Cikgu Palija dan Cikgu N, siapakah yang lebih cantik? ("antara" sebagai kata sendi nama)
    2. Rumah pegawai pendidikan itu terletak tengah-tengah kampung, iaitu di antara surau dengan balai raya.
    ("antara" sebagai kata arah, perkataan "antara" mestilah berpasangan dengan kata sendi nama "dengan", bukan "dan")

    3. Mereka tinggal di dalam gua. ("dalam" sebagai kata arah)
    4. Pelancong Eropah itu boleh bertutur dalam bahasa Melayu ("dalam" sebagai kata sendi nama)

    5. Ahmad meletakkan buku itu di atas mejanya. ("atas" sebagai kata arah)
    6. Saya mengucapkan terima kasih atas kesudian rakan-rakan untuk membaca catatan ini. ("atas" sebagai kata sendi nama)

     Mudah je...

Ahad, 26 Februari 2017

Usahlah berlewah-lewah!

    Tazkirah bahasa sikit!

    Elakkanlah penggunaan bahasa secara lewah/ berlebih-lebihan.

    Contoh unsur lewah dalam bahasa Melayu:

    1. Sejak dari kecil dia selalu demam.
    (Sepatutnya sejak/ dari kecil)

    2. Mereka saling bersalam-salaman setelah selesai solat.
    (Sepatutnya: saling bersalam/ bersalam-salaman)

    3. Sebilangan besar pelajar-pelajar itu datang dari kampung seberang.
    (Sepatutnya: sebilangan besar pelajar)

    4. Mereka telah menggunakan kenderaan itu melebihi tempoh masa yang ditetapkan.
    (Sepatutnya: tempoh/ masa)

    5. Anak-anak Pak Sudin cantik-cantik belaka.
    (Sepatutnya: Anak-anak Pak Sudin cantik belaka)

    6. Semoga anda berbahagia hingga ke akhir hayat.
    (Sepatutnya: hingga akhir hayat)


     Ok, faham kan?

Antara "mengajar" dan "mengajarkan"

    Tazkirah Bahasa 4/ Februari 2017

    Antara "mengajar" dan "mengajarkan",
    antara "membaca" dan "membacakan",
    antara "memberi" dan "memberikan" apakah perbezaannya?

    Contoh ayat:
    1. Saya mengajar pelajar tingkatan 4 Cemerlang Bahasa Melayu.
    2. Saya mengajarkan Bahasa Melayu kepada pelajar 4 Cemerlang.
    3. Ibu membaca buku cerita itu kepada adik.
    4. Ibu membacakan adik buku cerita itu.
    5. Kakak memberi ayah sebatang pen.
    6. Kakak memberikan sebatang pen kepada ayah.

     Faham, kan?

Ejaan Klitik

    Apakah kata klitik?

     Kata klitik ialah kata ganti nama ringkas seperti ku-, -mu, kau- dan -nya iaitu singkatan daripada kata ganti nama aku, kamu, engkau dan dia.

    Bentuk klitik selalunya wujud dalam binaan ayat pasif dan ejaannya hendaklah dirangkaikan dengan kata yang wujud sebelum atau selepasnya.
    Contoh penggunaan:

    1. Kukikis-kikis kuku kakimu.
    (Daripada ayat: Aku mengikis-ngikis kuku kaki kamu.)
    Tak ada kerjalah tu sampai kuku kaki orang kaukikis-kikis ya!

     2. Kaukunci cincinku di dalam almarimu.
    (Daripada ayat aktif: Engkau mengunci cincinku di dalam almari kamu.)

     Bentuk penggunaan ejaan klitik yang salah:
    ku kikis-kikis,
    kaki mu,
    kau kunci,
    cincin ku,
    rumah mu

    Bagi ayat yang mengandungi kata kerja tak transitif, kata sendi nama atau kata adjektif, ejaannya tidak perlu dirapatkan/ dirangkaikan ejaannya.

     Contohnya:
    Kau insan terindah dalam hidup aku. (bukan kauinsan)
    Ku ingin pergi jauh. (bukan kuingin)

     Faham, kan?

Ayat pasif dan ayat songsang

    Perbezaan ayat pasif dan ayat songsang:

    AYAT PASIF:

    Ayat pasif ialah ayat yang mengalami proses pendepanan objek, iaitu objek atau kata nama yang hadir selepas kata kerja transitif dalam ayat aktif. Ayat pasif boleh dikenali melalui penggunaan imbuhan pasif di, ter, ke-...-an, ber-, kena, dan ayat pasif dengan ganti nama diri orang pertama dan kedua. 

    Contoh:
    Emak memasak nasi di dapur.
    (Nasi ialah objek yang hadir selepas kata kerja transitif memasak)
    Ayat pasif: Nasi dimasak oleh emak di dapur.

    Contoh lain:
    Saya telah membaca semua buku di rak itu.
    (Kata kerja transitif: membaca, objek: semua buku di rak itu)

     Ayat pasif:
    Semua buku di rak itu telah saya baca.
    Semua buku di rak itu telah dibaca oleh saya. (Salah)

    AYAT SONGSANG:

    Ayat songsang ialah ayat yang mengalami proses penyusunan semula. Dalam ayat biasa, SUBJEK berada pada bahagian hadapan manakala PREDIKAT berada pada bahagian kedua. Ayat songsang ada pelbagai bentuk; ada yang mengalami proses penyusunan keseluruhan predikat, ada yang hanya frasa keterangan sahaja yang dikedepankan, dan ada juga yang hanya sebahagian sahaja daripada unsur predikat yang dikedepankan.

    Ayat biasa: Emak memasak nasi di dapur.

     Contoh ayat susunan songsang:
    1. Memasak nasi di dapur emak.
    2. Memasak nasi emak di dapur.
    3. Di dapur emak memasak nasi.

     Contoh lain:
    Kami sekeluarga pergi ke tepi pantai pada waktu petang.

     Ayat songsang:
    1. Pergi ke tepi pantai pada waktu petang kami sekeluarga.
    2. Pergi ke tepi pantai kami sekeluarga pada waktu petang.
    3. Pada waktu petang, kami sekeluarga pergi ke tepi pantai.

     Ayat pasif bolehkah disongsangkan? Boleh!

     Contoh:
    Saya membaca buku itu. (Ayat aktif)
    Buku itu saya baca. (ayat pasif)
    Saya baca buku itu. (Ayat pasif songsang)
    Ok, harap-harap fahamlah ya.

Gunakan tanda sempang dengan betul, nanti kena lempang!

Saya dapati, belakangan ini terdapat ramai pengguna bahasa yang tidak menggunakan tanda baca dengan betul terutamanya tanda sempang (...