Isnin, 25 April 2016

Kesalahan frasa kerja transitif

Kesalahan penggunaan frasa kerja transitif dalam ayat bahasa Melayu:
Contoh:
Mereka sedang membincangkan tentang perkara itu. (Salah)
Mereka sedang membincangkan perkara itu. (Betul)

Dia memberitahu kepada emak tentang hal itu. (Salah)
Dia memberitahu emak tentang hal itu. (Betul)

Wartawan itu melaporkan dari London berita itu. (Salah)
Wartawan itu melaporkan berita itu dari London. (Betul)

Contoh lain:

Kesalahan frasa kerja transitif:
    1. Ibu memandang kepada saya dengan penuh perasaan sayu. (Salah)
    Sepatutnya: ... memandang saya...

    2. Guru sedang menerangkan tentang perkara itu dengan bersungguh-sungguh. (Salah)
    Sepatutnya: ...menerangkan perkara itu...

    3. Bendahara memberitahu kepada Memanda Menteri tentang masalah negara. (Salah)
    Sepatutnya: ... memberitahu Memanda Menteri...

    Kata kerja transitif mestilah diikuti oleh objek yang terdiri daripada kata nama/ frasa nama. Kata kerja transitif tidak boleh diikuti oleh kata sendi nama.

Oleh sebab atau oleh kerana?

1. Oleh kerana dia demam, dia tidak datang ke sekolah. (Salah)
2. Oleh sebab dia demam, dia tidak datang ke sekolah. (Betul)


Huraian:
Perkataan 'kerana' ialah kata hubung, bukan kata nama, manakala kata 'sebab' mempunyai dua fungsi iaitu sebagai kata nama dan kata hubung.


Contoh:
1. Dia menyatakan sebab dia bertindak demikian. (kata 'sebab' sebagai kata nama)
2. Dia tidak dapat ke sekolah sebab demam. (kata 'sebab' sebagai kata hubung)


#panduanbahasa

Jumaat, 22 April 2016

Burung Pegar

Harapkan pagar, pagar makan padi.
Harapkan pegar, pegar makan padi.
PAGAR atau PEGAR?

Inilah burung pegar yang dikatakan amat menggemari padi itu. Kalau dah tahu burung ini suka makan padi, kenapa pula diberi kepercayaan dan dipilih untuk menjaga padi? Haaa.. pilihlah lagi!