Khamis, 1 Mac 2007

Bersama Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim

PADA masa ini istilah 'bahasa Melayu' dan 'bahasa Malaysia' digunakan secara bertukar ganti. Hal ini mengelirukan beberapa pihak dan saya kerap ditanya tentang hal ini. Yang menjadi persoalan utama ialah apakah beza antara kedua-dua istilah ini, dan bolehkah istilah-istilah ini bertukar ganti.Dari sudut ilmu bahasa, istilah yang tepat ialah bahasa Melayu, yang memberi maksud bahasa ibunda kelompok manusia yang bergelar orang Melayu. Perkara ini sama dengan istilah bahasa Jepun, bahasa Perancis dan bahasa Inggeris. Dalam peredaran masa, istilah yang dikaitkan dengan kelompok manusia juga membawa pengertian bahasa kebangsaan sebuah bangsa, yakni sebuah entiti politik. Bahasa yang digunakan oleh orang Jepun menjadi bahasa kebangsaan negeri Jepun. Bahasa yang digunakan oleh orang Perancis menjadi bahasa kebangsaan negara Perancis. Dalam kedua-dua kes ini, istilah bahasa Jepun dan bahasa Perancis membawa dua pengertian, iaitu bahasa orang Jepun dan orang Perancis dan bahasa kebangsaan negara Jepun dan negara Perancis.Kadang-kadang orang dalam sesebuah negara tidak homogen atau sejenis sifatnya tetapi terdiri daripada kelompok etnik lain, misalnya di negara Perancis, selain orang Perancis terdapat juga orang-orang dari Timur Tengah yang menuturkan pelbagai jenis bahasa Timur Tengah seperti bahasa Arab, bahasa Maghribi dan bahasa Algeria. Mereka ini menjadi warganegara Perancis dan menerima serta menuturkan bahasa kebangsaan negara Perancis tanpa mengetepikan bahasa ibunda masing-masing. Namun bahasa Perancis kekal namanya, tidak diubah untuk disesuaikan dengan kelompok-kelompok manusia lain yang tinggal di Perancis.

Kes orang-orang Inggeris lagi menarik. Orang-orang Inggeris tinggal di sebuah negeri yang bernama England dan menuturkan bahasa Inggeris (English) yang juga menjadi bahasa kebangsaan negara tersebut. Sewaktu England bergabung dengan Scotland, Wales dan Ireland dan membentuk sebuah negara baharu yang bernama United Kingdom, bahasa Inggeris dipilih sebagai bahasa kebangsaan, tetapi orang-orang Scotland, Wales dan Ireland tetap menggunakan bahasa sendiri. Nama bahasa kebangsaan mereka tetap English dan tidak diubah menjadi 'the United Kingdom language' atau sebarang nama lain untuk menggambarkan negara baharu itu. Apabila kelompok manusia dari United Kingdom menjelajah ke kawasan-kawasan lain dan menubuhkan negara-negara baharu, iaitu di benua Amerika dan Australia, nama bahasa kebangsaan negara-negara baharu ini kekal sebagai English, walaupun nama negara masing-masing ialah Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan New Zealand. Mereka tidak terasa terdesak untuk menukar nama bahasa kebangsaan itu kepada 'the American language' atau 'the Canadian language' atau 'the Australian language' atau 'the New Zealand language.'Malaysia juga, pada mulanya, mempunyai pendirian yang sama.

Dari segi ilmiah dan sejarah, nama bahasa kita ialah bahasa Melayu (istilah Inggerisnya ialah Malay), yang merupakan juga nama bangsa kita. Itulah juga istilah yang digunakan dalam Perlembagaan kita. Tetapi, dalam pergolakan sosiopolitik, dalam proses pembangunan negara, terdapat keadaan beberapa kelompok manusia bergabung untuk menubuhkan sebuah negara. Kelompok masing-masing mempunyai bahasa ibundanya sendiri tetapi salah satu daripada bahasa kelompok yang bergabung ini dipilih sebagai bahasa kebangsaan. Bahasa-bahasa lain tetap kekal digunakan dalam kalangan kelompok masing-masing. Agar penerimaan bahasa kebangsaan menjadi lebih cepat, nama bahasa yang dipilih itu diubah, mengambil nama negara. Pembaharuan ini dilakukan untuk menjadikan bahasa itu diterima oleh semua rakyat sebagai bahasa mereka. Ini berlaku di Indonesia. Dari segi penduduk, penutur Jawa jauh lebih besar jumlahnya. Namun, bahasa Melayu yang dituturkan oleh kelompok manusia yang agak kecil telah dipilih sebagai bahasa kebangsaan negara baharu atas sebab-sebab tertentu. Bahasa Melayu diubah namanya menjadi 'bahasa Indonesia' supaya semua rakyat Indonesia menerimanya sebagai bahasa kebangsaan mereka dan perpaduan akan tercapai dalam masa yang lebih singkat. Pendekatan ini disebut pendekatan sosiopolitik, pendekatan yang memberi penekanan kepada aspek pembinaan unit politik atau kenegaraan, dan yang mengetepikan alasan ilmu.

Kepada persoalan yang manakah istilah yang lebih sesuai antara 'bahasa Melayu' atau 'bahasa Malaysia', jawapannya ialah: kedua-duanya tidak salah. Namun, sebagai ahli bahasa dan bercakap dalam konteks ilmu bahasa, yang lebih tepat ialah istilah 'bahasa Melayu', kerana istilah tersebut mempunyai asas ilmu dan sejarah. Amalan ini juga dipegang oleh kebanyakan negara maju yang lain, seperti bahasa Inggeris, bahasa Jepun, bahasa Arab, bahasa Perancis, bahasa Jerman dan lain-lain.

Tiada ulasan: