Isnin, 5 Mac 2007

Asal Usul Bahasa Melayu

1. Bahasa Melayu merupakan ahli keluarga/ subkeluarga bahasa Indonesia/Sumatera, manakala keluarga bahasa Indonesia/Sumatera pula ialah keluarga bahasa di bawah rumpun bahasa Austronesia. Keluarga bahasa yang lain di bawah rumpun Austronesia ialah Melanesia, Mikronesia dan Polinesia.

2. Rumpun bahasa Austronesia pula ialah rumpun bahasa yang berada di bawah filum Austris. Terdapat beberapa filum bahasa yang lain yang melahirkan jurai rumpun, keluarga dan subkeluarga yang lain pula.

3. Bahasa Melayu tergolong ke dalam keluarga Nusantara dan di bawah rumpun Bahasa Austronesia. Keluarga Nusantara ini mempunyai kira-kira 200 - 300 bahasa yang menjadi subkeluarga. Bahasa Melayu pula berada dalam subkeluarga Sumatera. Bahasa-bahasa di bawah subkeluarga Sumatera ialah

Kumpulan Bahasa Sumatera / Indonesia

1. Aceh
2. Gayo
3. Batak (Karo, Toba, Angkola-Mendailing, Sumalungun)
4. Minangkabau
5. Melayu (Riau, Melayu, Jakarta, Kubu, Moluku )
6. Nias
7. Lampung
8. Orang Laut
9. Simalur
10. Nias
11. Rejang
12. Enggano
13. Mentawai
14. Loncong
15. Lain-lain

4. Menurut catatan sarjana yang bernama M. Sylvain Levl, pada tahun 1931, bahasa Melayu telah dikenal pasti oleh orang Cina sebagai bahasa Kun Lun dan oleh orang India sebagai bahasa Dwipantara sejak abad pertama Masihi lagi. Pada abad ke-4, bahasa Melayu sudah digunakan sebagai bahasa catatan sejarah sebagaimana yang tertera pada batu bersurat atau prasasti di Campa, iaitu sebuah kerajaan Melayu di Indocina. Sejak abad itu juga bahasa Melayu menjadi wahana penyampaian ajaran moral dan agama dan hal ini dapat dikesan pada batu bersurat Dong Yen Cau di Teluk Tourane, Vietnam Selatan (ketika itu Campa).

5. Antara bahasa yang banyak di dalam keluarga Sumatera/Indonesia, bahasa Melayulah yang paling pesat berkembang berbanding dengan bahasa-bahasa lain. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan hal ini, iaitu

a. Sifat kesederhanaan bahasa Melayu itu sendiri dan mudah menerima pengaruh luar.
b. Sifat bahasa Melayu yang mudah lentur.
c. Tidak terikat kepada perbezaan susun lapis masyarakat
d. Mempunyai sistem yang lebih mudah berbanding dengan bahasa Jawa.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih dengan bahan yang telah disediakan. Bahan ini amat berguna pada saya untuk disampaikan pada anak murid saya.