Isnin, 5 Mac 2007

BAHASA MELAYU KUNO

1. Asas kepada Bahasa Melayu Kuno ialah bahasa Sanskrit. BMK dapat dikaji kerana pada zaman inilah terdapatnya bukti konkrit pertama tentang bentuk dan sifat bahasa Melayu. Bukti ini diperolehi dari batu-batu bersurat yang dijumpai sejak tahun 683 M. Batu-batu bersurat ialah bukti catatan tertua tentang bahasa Melayu.

2. Perihal kewujudan kerajaan Sriwijaya dan hal ehwal yang berkaitan dengan kehidupan di bawah naungan kerajaan itu dibuktikan oleh penemuan batu-batu bersurat pada abad ke-7 di Sumatera, iaitu

i. Batu bersurat di Kedukan Bukit, Palembang (683 M)
ii. Batu bersurat di Talang Tuwo, Palembang (684 M)
iii. Batu bersurat di Kota Kapur, Pulau Bangka (686 M)
iv. Batu Bersurat di Karang Brahi, Meringin, Hulu Jambi (686M)

( Perkataan-perkataan yang digunakan bercampur di antara perkataan Melayu kuno dengan perkataan Sanskrit. Perkataan itu ditulis dalam huruf Palawa, sejenis tulisan India Selatan purba. )

3. Selain dari itu terdapat juga batu bersurat dan patung yang terhasil dalam zaman Sriwijaya ditemukan juga di tempat lain, seperti di
i. Gandasuli, Kedu, Jawa Tengah 832M
ii. Bangkahulu 1000M
iii. Padang Lawas, Tapanuli 1029M
iv. Padang Rocore, Batanghari

( Perkataan yang ditulis di permukaan prasasti, patung yang dijumpai di Padang Rocore juga masih dalam keadaan campur aduk antara Melayu kuno dan Sanskrit. Bahasa Melayu kuno pada batu bersurat di Gandasuli ditulis dalam huruf Nagiri, nama sebuah daerah di India Utara. )

4. Kajian ke atas batu-batu bersurat itu akhirnya membawa kepada rumusan ciri-ciri bahasa Melayu Kuno iaitu

1. Bahasa Melayu jelas memperlihatkan pengaruh bahasa Sanskrit, terutama dari segi kata-kata pinjaman. Hal ini terjadi kerana pada waktu itu bahasa Melayu tidak mempunyai kata-kata yang sesuai untuk memperkatakan perkara-perkara dan konsep-konsep baru yang dibawa dari kebudayaan asing. Oleh itu bahasa Melayu terpaksa meminjam daripada bahasa masyarakat yang membawa konsep-konsep baru itu.

2. Bahasa Melayu telah tersebar luas dan berfungsi sebagai lingua franca.

3. Bahasa Melayu itu kebanyakannya ditulis oleh raja. Oleh itu dapat dibuat kesimpulan bahawa bahasa Melayu kuno telah menjadi bahasa rasmi dan bahasa untuk urusan pemerintahan di istana.

4. Bahasa Melayu kuno bersifat kosmopolitan, menerima pengaruh dari luar terutama pengaruh bahasa Sanskrit.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Apakah betul masyarakat Terengganu masa dulu menyembah "Dewata Mulia Raya" seperti tertulis dalam Batu bersurat Terengganu?

http://ms.wikipedia.org/wiki/Batu_Bersurat_Terengganu

Gunakan tanda sempang dengan betul, nanti kena lempang!

Saya dapati, belakangan ini terdapat ramai pengguna bahasa yang tidak menggunakan tanda baca dengan betul terutamanya tanda sempang (...