Van Linschotten (sarjana Belanda yang banyak menulis hal ehwal Kepulauan Melayu, pada abad ke-18); Bahasa Melayu pada masa itu, bukan sahaja amat harum namanya juga dianggap bahasa yang paling dihormati antara bahasa-bahasa timur, dan bahawa orang yang tidak tahu akan bahasa Melayu di Kepulauan Melayu dapatlah dibandingkan dengan orang yang tidak tahu akan bahasa Perancis di negeri Belanda pada zaman itu.
Khamis, 16 Disember 2010
Analisis Soalan Dinamika Bahasa Melayu Kertas BM1 STPM 2010
1. Variasi bahasa - 1 soalan
2. Laras bahasa - 2 soalan
3. Wacana - 1 soalan
4. Retorik - 2 soalan
5. Kesantunan Berbahasa - 1 soalan
Analisis dan cadangan jawapan bagi soalan 18 hingga soalan 24:
Soalan 18: Padanan yang betul antara bahasa biasa dengan bahasa istana:
bahasa biasa - bahasa istana
pergi - berangkat
hadiah - persembahan
sakit - gering
Jawapan untuk soalan 18 - A (berangkat, hadiah, gering)
Soalan 19 : Faktor yang menentukan pemilihan sesuatu laras bahasa ialah konteks, kosa kata khusus, fokus atau tajuk perbincangan. Latar belakang penutur sama ada dia seorang yang kaya, miskin, berkedudukan dan sebagainya tidak menentukan pemilihan laras.
Jawapan : D (latar belakang penutur)
Soalan 20: Ciri-ciri laras iklan dan perbezaannya dengan laras akademik. Antara ciri laras iklan ialah menggunakan ayat yang ringkas dan terdapat penyimpangan dari aspek tatabahasa, manakala ciri laras akademik pula ialah laras ini menggunakan ayat yang lengkap dan betul susunan tatabahasanya. Laras akademik menggunakan bahasa baku.
Jawapan : C (II dan III)
Soalan 21: Yang manakah padanan yang betul antara fungsi penanda wacana dengan contohnya?
A. menunjukkan maksud pertentangan : malahan, sebaliknya, namun
B. menunjukkan maksud musabab: oleh sebab, dengan itu, bahkan
C. menunjukkan maksud waktu: ketika, sementara itu, lantas
D. menunjukkan maksud tambahan: di samping itu, selanjutnya, lebih-lebih lagi
Jawapan : D
(Catatan: perkataan yang berwarna merah ialah contoh penanda wacana yang tidak tepat)
Soalan 22: Nyatakan jenis retorik P yang mempunyai ciri-ciri berikut:
i. mempunyai takrifan dan huraian
ii. bertujuan untuk memindahkan idea atau maklumat daripada seseorang kepada seseorang
iii. terdapat contoh untuk menjelaskan maklumat
Jawapan: B (pendedahan)
Soalan 23: Petikan yang menggunakan retorik penghujahan ialah petikan di bawah:
Jawapan: D: Virus misteri radang paruparu akibat Sindrom Pernafasan Yang Teruk telah mengorbankan nyawa yang banyak (fakta). Sindrom ini menyebabkan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia. Oleh sebab itu, penyakit ini mudah berjangkit dan tiada penawarnya. Kerajaan mestilah mengambil tindakan tegas dengan mengkuarantinkan mereka yang baru pulang dari negara yang dilanda penyakit tersebut (hujah).
Soalan 24: Padanan yang betul antara rujukan kehormat dengan orang yang disapa;
Yang Teramat Mulia - Tengku Mahkota
Tuan Yang Terutama - Yang Dipertua Negeri
Yang Amat Berhormat - Ketua Menteri
Yang Berhormat - Pegawai Kewangan Negeri
Jawapan : A (Q, R, S, P)
Rabu, 15 Disember 2010
Cadangan jawapan soalan Bahasa Melayu Kertas 1 STPM Tahun 2010 (Asal Usul dan sejarah Perkembangan Bahasa Melayu)
1. Asal usul dan rumpun kekeluargaan BM - 2 soalan
2. Bahasa Melayu Kuno - 1 soalan
3. Bahasa Melayu Moden - 2 soalan
4. Perancangan Bahasa - 2 soalan
Cadangan jawapan:
Soalan 11 adalah tentang cabang bahasa Austris, iaitu bahasa Austroasia, Bahasa Austronesia dan Bahasa Tiber-Chino.
Jawapan untuk soalan 11 - D (Tibet-China)
Soalan 12 : Golongan bahasa Nusantara yang diwakili oleh golongan Sumatera, antaranya ialah Bahasa Nias, Batak, Lampung dan Orang Laut.
Jawapan : C (Sumatera)
Soalan 13: Susunan batu bersurat mengikut tarikh penemuan ialah Batu bersurat di Kedukan Bukit, Palembang, batu bersurat di Kota Kapur, Pulau Bangka, batu bersurat di Gandasuli, Jawa tengah, dan batu bersurat di Minye Tujuh, Acheh.
Jawapan : D (IV, III, II, I)
Soalan 14: Dalam perancangan bahasa melayu, penerbitan buku Tatabahasa Dewan, Kamus Dewan dan Daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia merupakan bukti kejayaan usaha pengekodan.
Jawapan : C
Soalan 15: Tujuan penubuhan organisasi X (Pejabat Karang Mengarang) ialah, menambah bahan bacaan umum, memperbanyak buku sekolah Melayu, mengadakan perkhidmatan perpustakaan bergerak ke kampung-kampung. Ketua Pengarang dan Penterjemah Kanan organisasi ini ialah Pendeta Za'ba (Zainal Abidin bin Ahmad)
Jawapan: C (Pejabat Karang Mengarang)
Soalan 16: Dalam perancangan bahasa, proses pengekodan merujuk kepada proses penghasilan satu variasi bahasa standard yang sempurna dari aspek sebutan, ejaan, tatabahasa, dan makna.
Jawapan : A (pengekodan)
Soalan 17: Susunan sistem ejaan bahasa Melayu yang betul mengikut kronologi:
Ejaan Wilkinson, Ejaan Za'ba, Ejaan Kongres, Sistem Ejaan Baharu Bahasa Malaysia.
Jawapan : B (II, IV, III, I)

Analisis Soalan Bahasa Melayu Kertas 1 STPM 2010
Analisis keseluruhan mengikut bahagian:
1. Pemahaman - 10 soalan (2 petikan, 1 carta alir)
2. Asal usul dan sejarah perkembangan BM - 7 soalan
3. Dinamika BM - 7 soalan
4. Sistem penyebutan dan pengejaan - 8 soalan
5. Morfologi - 10 soalan
6. Sintaksis - 15 soalan
7. Semantik - 3 soalan
JUMLAH - 60 soalan
sambungan.. cadangan jawapan untuk setiap bahagian.
Khamis, 10 Jun 2010
Cadangan Jawapan Soalan Rumusan Ujian OTI1 2010
Pendidikan bermula sejak kewujudan manusia. (1) Manusia membina kemajuan dalam hidup (2) yang menjadi nadi kehidupan mereka / manusia. (3) Pendidikan mencakupi aspek persekolahan, latihan dan pembentukan sahsiah (4) yang saling berkait. (5)
Isi Sokongan (IS):
IS1: Pendidikan melibatkan ’pendidik’ dan ’anak didik’ (1) melalui proses penyampaian dan penggunaan ilmu (2) secara langsung. (3)
IS2: Proses pengajaran juga diperoleh melalui pengamatan kejadian alam (1) pemikiran (2) dan pengalaman. (3)
IS3: Di sekolah rendah murid didedahkan dengan pengalaman awal (1) supaya mereka dapat membezakan perkara baik dan buruk. (2)
IS4: Dengan peredaran zaman, lama-kelamaan unsur negatif menjadi amalan hidup (1) kerana mereka sering mengejar kemewahan hidup (2)
IS5: Sekolah dan guru menerima tanggungjawab yang berat (1) untuk menyampaikan ilmu kepada murid (2) kerana funsgi sekolah telah berubah. (3) Setelah masyarakat meletakkan peranan ini kepada sekolah dan guru. (4)
IS6: Nilai murni yang diterapkan oleh pihak sekolah (1) menjadi panduan kepada murid (2) untuk membentuk sahsiah. (3)
Kesimpulan (K):
Setiap individu perlu diberi peluang menimba ilmu pengetahuan. (1) Bakat dan kreatiiviti mereka perlu dipandu (2) supaya mereka berada di landasan yang betul. (3)
Soalan Rumusan Bahasa Melayu Kertas 2 STPM Ujian OTI1 JPN Terengganu
Sejak kewujudan manusia, pendidikan sudah bermula. Melalui pendidikan, manusia membina tamadun, kemajuan, dan meningkatkan taraf hidup. Pendidikan menjadi nadi kehidupan manusia dari dahulu, sekarang, dan akan datang. Pengertian pendidikan tidak dilihat dari satu sudut semata-mata, tetapi mencakupi aspek persekolahan formal, latihan, dan proses pembentukan sahsiah. Pada masa yang sama, semua proses berkenaan saling berkait secara berterusan.
Secara umum, pendidikan melibatkan dua belah pihak, iaitu “pendidik” dan “anak didik”. Pendidik ialah kumpulan atau individu yang menyampaikan ilmu dan pengetahuan, manakala anak didik menerima ilmu yang disampaikan. Dalam bidang pendidikan berlaku proses penyampaian dan penggunaan ilmu pengetahuan secara langsung. Oleh sebab itu, segala bentuk ilmu yang melibatkan proses pengajaran dan pengajaran dikategorikan sebagai pendidikan. Proses pengajaran tidak hanya tertumpu kepada pendidik, tetapi boleh diperoleh melalui kejadian alam, pemikiran, perkongsian idea, serta hasil daripada pengamatan dan pengalaman.
Pendidikan bermula dari rumah hingga sekolah. Di sekolah rendah, murid itu didedahkan dengan pengalaman awal dan dididik untuk membezakan perkara yang buruk atau yang baik. Namun begitu, pada zaman kanak-kanak, seseorang itu belum mampu menimbangkan perkara baik dan buruk secara matang. Tanpa bimbingan, lama-kelamaan unsur negatif akan menjadi amalan hidup mereka. Peredaran zaman juga membawa perubahan hidup kepada manusia. Kemajuan dunia menyebabkan manusia bertambah maju dan mereka sering mengejar kemewahan hidup.
Akibat tuntutan hidup inilah, sekolah dan guru menerima tanggungjawab yang cukup berat. Jika dahulu, sekolah menjadi tempat guru menyampaikan ilmu dan pengetahuan kepada murid, namun sekarang fungsi sekolah sudah berubah. Sekolah merupakan pusat pembelajaran, penjagaan, pembinaan sahsiah diri, pemupukan bakat serta kepimpinan. Oleh sebab itu, apabila kita membicarakan soal pendidikan, masyarakat hanya meletakkan peranan ini kepada dua entiti, iaitu sekolah dan guru. Tanggapan ini disokong kuat oleh pelbagai prasarana yang disediakan oleh kerajaan, khususnya bangunan sekolah, keperluan pembelajaran, serta tenaga pengajar yang profesional. Nilai murni yang diterapkan oleh pihak sekolah menjadi pedoman kepada murid untuk membentuk sahsiah supaya mereka belajar tentang sifat saling menghormati dan bertanggungjawab.
Sebenarnya pendidikan bukan hanya berlaku di dalam bilik darjah, sebaliknya berlaku sepanjang masa. Oleh sebab itu, pendidikan merupakan hak setiap individu. Mereka berhak diberikan peluang untuk menimba seberapa banyak ilmu pengetahuan. Pada masa yang sama, segala bakat dan kreativiti mereka harus dipandu supaya mereka berada di landasan yang betul. Masyarakat harus bekerjasama dan memastikan bahawa mereka ialah contoh yang terbaik kepada anak-anak demi masa depan bangsa, agama, dan negara.
Dewan Masyarakat, Mei 2009)
Rabu, 9 Jun 2010
Cadangan Jawapan Alih Bentuk Teks
Cikgu Din melangkah masuk ke dewan dengan senyuman.
“ Siapa di sini telefon bimbitnya paling canggih”? Tanya Cikgu Din.
Kami saling berpandangan. Pelik dengan soalan Cikgu Din.
Cadangan jawapan:
Cikgu Din melangkah masuk ke dewan dengan senyuman. Cikgu Din ingin tahu sesiapa yang ada di situ yang mempunyai telefon bimbit yang paling canggih. Mereka saling berpandangan. Mereka berasa pelik dengan pertanyaan Cikgu Din itu.
Teks asal:
“ Wai Kit Cikgu,” jawab Fakrul .
“Telefon kamu ada kamera Wai Kit?” Tanya Cikgu Din lagi.
“ Ya cikgu , dua belas megapixel! ” Jawab Wai Kit bangga.
Cadangan jawapan:
Fakrul memberitahu Cikgu Din bahawa Wai Kit yang mempunyai telefon yang canggih. Cikgu Din inginkan kepastian sama ada telefon Wai Kit mempunyai kamera atau tidak.
Dengan rasa bangga, Wai Kit mengeyakannya. Menurut Wai Kit telefonnya mempunyai dua belas megapixel.
Teks asal:
“Cikgu nak pinjam, nak ambil gambar dengan kamu semua. Hari ini hari terakhir cikgu di sekolah ini.” Jelas Cikgu Din.
“Cikgu... cikgu kena berhenti mengajar?” Tanya Marina sambil memandang ke arah Cikgu Din.
Cikgu Din menggeleng sambil tersenyum.
Cadangan jawapan:
Cikgu Din menjelaskan/menyatakan bahawa dia ingin meminjam telefon itu kerana dia hendak bergambar dengan mereka. Menurutnya lagi hari itu ialah hari yang terakhir dia di sekolah itu. Sambil memandang Cikgu Din, Marina ingin tahu sama ada Cikgu Din diberhentikan mengajar atau tidak. Sambil tersenyum, Cikgu Din menggeleng-gelengkan kepalanya.
Teks asal:
“Cikgu tak cakap cikgu kena berhenti mengajar. Cikgu akan terus mengajar, tapi bukan di sekolah ini!” Jelas Cikgu Din.
Semua terdiam. Sedih. Geram dan kesal. Cikgu Din meneliti wajah kami semua.
Cadangan jawapan:
Cikgu Din menyatakan bahawa dia tidak diberhentikan mengajar. Menurutnya lagi dia akan terus mengajar tetapi bukan di sekolah itu. Mereka semua terdiam, sedih, geram dan kesal. Cikgu Din memandang wajah mereka semua.
Teks asal:
Kemudian dia menambah... “Oh ya, cikgu akan mulakan tuisyen di rumah cikgu. Setiap hari Sabtu, jam 10 pagi hingga 1 tengah hari. Kalau berminat, nanti cikgu berikan alamat!” Jelas Cikgu Din.
Cadangan jawapan:
Kemudian Cikgu Din menyatakan bahawa dia akan memulakan tuisyen di rumahnya. Kelas tuisyen itu akan diadakan pada setiap hari Sabtu, pukul 10.00 pagi hingga pukul satu tengah hari. Menurut Cikgu Din lagi, sekiranya mereka berminat, dia akan memberikan alamat kepada mereka nanti.
Soalan Alih Bentuk Teks Ujian OTI1 Tingkatan 6 Atas, Jabatan Pelajaran Terengganu
Cikgu Din melangkah masuk ke dewan dengan senyuman.
“ Siapa di sini telefon bimbitnya paling canggih”? Tanya Cikgu Din.
Kami saling berpandangan. Pelik dengan soalan Cikgu Din.
“ Wai Kit Cikgu,” jawab Fakrul .
“Telefon kamu ada kamera Wai Kit?” Tanya Cikgu Din lagi.
“ Ya cikgu , dua belas megapixel! ” Jawab Wai Kit bangga.
“Cikgu nak pinjam, nak ambil gambar dengan kamu semua. Hari ini hari terakhir cikgu di sekolah ini.” Jelas Cikgu Din.
“Cikgu... cikgu kena berhenti mengajar?” Tanya Marina sambil memandang ke arah Cikgu Din.
Cikgu Din menggeleng sambil tersenyum.
“Cikgu tak cakap cikgu kena berhenti mengajar. Cikgu akan terus mengajar, tapi bukan di sekolah ini!” Jelas Cikgu Din.
Semua terdiam. Sedih. Geram dan kesal. Cikgu Din meneliti wajah kami semua.
Kemudian dia menambah... “Oh ya, cikgu akan mulakan tuisyen di rumah cikgu. Setiap hari Sabtu, jam 10 pagi hingga 1 tengah hari. Kalau berminat, nanti cikgu berikan alamat!” Jelas Cikgu Din.
2010, hal. 21)
Khamis, 6 Mei 2010
Alih Bentuk Teks Laras Bahasa Melayu Klasik
Alih bentuk bahasa prosa klasik di bawah ini kepada bentuk prosa biasa.
Pada ketika itu lalu ia membuat tapai dan dibubuhnya racun, lalu ditaruhnya di dalam dulang emas. Setelah sudah lalu disuruhnya persembahkan oleh dayang-dayangnya pada permaisuri. Dayang-dayang itu pergilah membawa persembahan yang ditaruh di dalam dulang yang amat majlis dan permai itu sehingga tiada tersangka, bahawa telah bercampur dengan racun.
Dayang-dayang itu pun berjalan menuju ke istana permaisuri. Setelah sampai dipersembahkannya persembahan itu dengan manis mukanya seraya berdatang sembah, katanya, “Inilah persembahan Paduka Liku yang tiada dengan sepertinya, yang diiringkan dengan sembah sujud, disuruh Paduka Liku persembahkan ke bawah duli tuanku.”
Permaisuri lalu menyambut dulang itu sambil memandang muka dayang-dayang yang tersenyum itu, serta disuruhnya dayang-dayangnya menyalin dulang itu. Lalu disalin dayang-dayanglah dulang itu. Setelah itu lalu kembalilah dayang-dayang itu dan dipersembahkannya apa-apa yang telah diperbuatnya itu.
Paduka Liku bersuka hati teramat sangat dan berfikir di dalam hatinya, “Pada hari inilah permaisuri itu akan mati dan akulah yang akan menggantikannya menjadi permaisuri. Jikalau Cendera Kirana yang memakan itu, nescaya ia pun akan mati juga dan anakku Galoh Ajeng akan aku jadikan tunangan Raden Inu Kartapati, supaya kerajaan negeri Daha dan Kuripan didudukinya semua, kerana patutlah ia menggantikan.”
Setelah yang demikian itu, lalu disuruhnya dayang-dayangnya keluar dan menutup pintu.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Hikayat Panji Semirang, 1961: Kuala Lumpur; Pustaka Antara: halaman 20)
Alih Bentuk Teks Laras Dialog
Alih bentuk petikan di bawah ini kepada bentuk prosa biasa dengan memindahkan bentuk dialog kepada bentuk biasa. Petikan yang terhasil mestilah memperlihatkan ciri-ciri keutuhan satu wacana.
Ishak : (Memasang paip) Jadi tak mahulah awak budak tu kerja di sini?
Cik Puan : Budak mentah dari kampung… cuma pandai tumbuk sambal belacan saja, nak buat apa?
Ishak : Baru-baru memang tak tahu, nanti lama-lama pandailah dia, asal awak tunjuk ajar.
Cik Puan : Ya, pasal perempuan tu muda, pasal dia janda, katalah nak tolong, katalah kasihan! Saya tahu awak suka budak Siti tu kerja di sini, senang awak menjamu mata!
Ishak : (Ketawa) Dah tua-tua ni cemburu juga dia. (Menghisap paipnya) Sudahlah, tak usah sebut lagi pasal budak tu. Si Rosnah…tak nampak, ke mana?
Cik Puan : Sejak berhenti sekolah ni, Rosnah jarang di rumah. Hari ni dia keluar…katanya nak cari kerja di Kementerian Luar Negeri, jadi steno.
Ishak : Salah awak juga, anak perempuan tak diajar ke dapur, habis bila tak ada orang gaji, hah makan di kedai!
Cik Puan : Heh, jangan pandai cakap saja. Rosnah pandai buat kek moden. Saya ajar dia.
P&P Berbantukan Komputer.
Alih Bentuk Teks Laras Dialog
Puteri Bongsu : Wah! Aku dengar kau nak jadi orang Bendahara. Tak lama lagi datuklah kau.
Bakar : Saya belum terima kerja itu. Bendahara tidak pula memaksa.
Puteri Bongsu : Kenapa Bakar? Kenapa tak terima? Orang lain tak akan berlengah menerima kerja tu. Ada peluang nak jadi orang besar.Bakar : Bukan senang nak jadi orang besar itu, cik puan. Bukan cik puan tak tahu.
Puteri Bongsu : Kau ni suka sangat merendah diri. Mengapa? Kalau sudah jadi orang Bendahara, bolehlah kahwin dengan anak raja.
Bakar : Manakan boleh si enggang berkahwin dengan si pipit?Puteri Bongsu : (Naik berang kerana Bakar belum faham perasaannya) Amboi, pandai sungguh si bayan ni berkata-kata!
(Dipetik dan disesuaikan daripada Mohamed Zahir Ismail, Bukit Puteri, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1996, halaman 153-154)
ALIH BENTUK TEKS LARAS SASTERA KREATIF
“Wah, nampaknya angin kota sudah merasuk ke dalam otak dan hati kau. Mentang-mentanglah kausudah berasa nikmat tinggal di bandar besar…”
“Bukan begitu maksud aku, Apai. Bukan aku dah lupa daratan tapi soal kemajuan…,” balas Bintang.
“Lagi-lagi kaucakap fasal kemajuan! Kemajuan apa kalau sudah seminggu aku tak dapat menyumpit seekor rusa pun?”
“Alah…itu perkara kecil saja. Kalau api dah masuk, kita boleh beli peti sejuk. Boleh simpan macam-macam daging sampai beberapa hari…”
“Aku cakap fasal lain, kaucakap fasal lain. Inilah anak kalau tak mendengar cakap orang tua. Baru belajar tinggi sikit dah besar kepala.”
“Kerajaan tak mau masyarakat kita terus-menerus hidup terpencil. Tak ada klinik atau hospital tempat untuk berubat.”
“Selama ini apa yang kerajaan tahu tentang kita?”
“Itulah sebabnya kerajaan hendak membela kita sekarang. Kita perlu mengejar kemajuan.”
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada cerpen Kemajuanku Bumiku Musuhku, Amin Minhad, Sayembara VII, DBP, hal. 58-59)
Gunakan tanda sempang dengan betul, nanti kena lempang!
Saya dapati, belakangan ini terdapat ramai pengguna bahasa yang tidak menggunakan tanda baca dengan betul terutamanya tanda sempang (...
-
Perbezaan ayat pasif dan ayat songsang: AYAT PASIF: Ayat pasif ialah ayat yang mengalami proses pendepanan objek, iaitu objek atau ...
-
Ciri-ciri khusus BMK ialah seperti berikut: 1. Aspek tatabahasa dan struktur ayat tidak dapat dikaji dengan jelas kerana batu bersurat itu m...