Sabtu, 2 Februari 2008

PIPP dan Pengiktirafan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmiah

"Peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan juga asas perpaduan terus diberi penekanan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 yang dilancarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Ini diperlihatkan dalam fokus Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui teras kedua PIPP iaitu Membina Negara Bangsa.

Kesungguhan untuk melaksanakan fokus ini dijelaskan sebagai cabaran KPM adalah untuk memastikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan dan digunakan sebagai bahasa ilmu serta bahasa perpaduan. KPM berazam untuk memberikan penghormatan dan menyemarakkan penggunaan Bahasa Melayu untuk memperkasakan kedudukannya.[1] Pelan ini juga turut mengenal pasti punca-punca kemerosotan Bahasa Melayu terutama dari segi tahap dan mutu penggunaannya walaupun kedudukan Bahasa Melayu sudah terjamin sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pengantar pendidikan dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah ditubuhkan untuk tujuan-tujuan tersebut.[2]
Antara faktor-faktor yang menjurus kepada kemerosotan itu ialah kecenderungan dan kelaziman penggunaan bahasa rojak, bahasa dalam sistem pesanan ringkas (SMS) dan bahasa dalam sembang di internet, peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi seperti yang ditafsirkan dalam Perlembagaan masih belum dilaksanakan sepenuhnya, tanggapan bahawa penggunaan Bahasa Kebangsaan menyebabkan seseorang itu dianggap tidak terdidik atau kurang berketerampilan, penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam sektor swasta masih pada tahap minimum, jumlah penerbitan buku dalam Bahasa Kebangsaan yang secara relatifnya rendah, dan kadar penterjemahan karya daripada bahasa asing kepada Bahasa Kebangsaan yang secara relatifnya rendah dan lambat. Selain itu, masalah pencemaran dalam penggunaannya khususnya di tempat awam dan dalam media massa, peminggiran penggunaannya dalam urusan rasmi di sektor awam dan swasta serta kemerosotan penggunaannya sebagai bahasa ilmu, termasuk di institusi-institusi pendidikan tinggi juga merupakan faktor-faktor yang perlu diberi perhatian.

Berdasarkan perancangan dan usaha-usaha yang dipaparkan dalam PIPP ini, jelas usaha memartabatkan Bahasa Melayu tetap menjadi agenda utama. Hal ini kerana Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dan bahasa pengantar dalam pendidikan sewajarnya terus diperkasakan dan dimantapkan agar kedudukannya terus utuh dan peranannya sebagai alat perpaduan juga semakin berkesan. Rentetan ini dijelaskan oleh Dr. Awang Sariyan (2005) iaitu kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi diwartakan dalam Perlembagaan Persekutuan, sementara kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi secara khusus diwartakan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967 dan sebagai bahasa penghantar ilmu pula diwartakan dalam Akta Pendidikan 1961 dan kemudian dalam Akta Pendidikan 1996.

Hasil daripada pelaksanaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan telah terbukti apabila di akhir tahun 1980-an, dasar bahasa dalam sistem pendidikan negara mencapai tahap perkembangan yang boleh kita sebut mantap atau ‘stabil.’ Kemantapan ini dapat kita lihat berdasarkan kejayaan dasar itu melahirkan generasi, dari semua kaum, yang terdidik dalam atau melalui BM. Puluhan ribu pelajar kita, baik pelajar Melayu mahupun pelajar bukan Melayu, mampu memperoleh pendidikan peringkat tinggi dalam semua bidang, termasuk bidang sains dan matematik, dalam BM, bukan sahaja di peringkat Ijazah Pertama, tetapi juga di peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah.[3] Oleh yang demikian sewajarnyalah usaha pemerkasaan Bahasa Melayu diteruskan kerana sifat bahasa itu yang sentiasa berkembang selaras dengan perkembangan semasa.

Namun berdasarkan realiti dalam bidang pendidikan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah semakin tergugat sejak kebelakangan ini. Apatah lagi dengan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) dalam Bahasa Inggeris dan Dasar Bahasa di IPTA dan IPTS yang mula berubah. Kedudukan dan usaha untuk menyemarakkan penggunaan Bahasa Melayu menjadi tumpuan melalui pelbagai program yang dirangka tetapi aspek untuk memperkasakan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu tidak dinyatakan secara langsung. Sekiranya usaha-usaha ini dilakukan nescaya sekurang-kurangnya kelemahan-kelemahan dalam penggunaan bahasa dan sikap memandang rendah terhadap Bahasa Melayu dapat dibendung sejak peringkat sekolah lagi. Antara langkah awal yang boleh dilakukan ialah guru-guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu ditambah ilmu dan kepakaran mereka dalam bidang linguistik. Di samping itu guru-guru mata pelajaran lain juga turut diberi pendedahan dan pemantapan tentang Bahasa Melayu.

Pelaksanaan PPSMI di peringkat sekolah tidak dapat tidak telah menggugat kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa ilmu. Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa Sains dan Matematik terjejas dengan pelaksanaan dasar ini. Kesannya kelak semua mata pelajaran Sains dan Matematik dari peringkat pendidikan rendah hingga ke pendidikan tinggi akan diajarkan dalam Bahasa Inggeris sepenuhnya. Akibatnya, pelaksanaan dasar ini akan menjadikan peranan Bahasa Melayu selanjutnya dalam bidang ilmu Sains dan teknologi akan tersekat terus dan terbantut kecuali dalam bidang yang amat terhad, khususnya bagi pendidikan tinggi (era selepas SPM) sedangkan bahasa Melayu telahpun banyak meneroka bidang tersebut dengan lebih 800,000 istilah, 200,000 buah buku pelbagai judul, dan sebagainya. Segala usaha tersebut hanya perlu disempurnakan serta dibaiki dari semasa ke semasa.[4] Dalam konteks ini juga kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah juga semakin mengecil khususnya dalam bidang sains dan teknologi.

Selain itu, perubahan dasar bahasa di peringkat IPT juga telah menyebabkan berlakunya perbezaan yang ketara antara dasar Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan. Hal ini diperakui oleh Jawatankuasa Mengkaji, Menyemak dan Membuat Perakuan Tentang Perkembangan dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi Malaysia (2006) yang menjelaskan jawatankuasa mendapati bahawa walaupun Bahasa Melayu telah dijadikan bahasa pengantar di peringkat sekolah, keadaan di peringkat tinggi adalah berbeza. Selama lebih satu dekad telah wujud dua sistem yang berbeza dengan ketaranya di peringkat pendidikan tinggi: Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di IPTA dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di IPTS. Perkembangan ini berlaku selepas pelaksanaan Akta IPTS 1996, banyak IPTS telah diberi pengecualian daripada menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Bahasa Inggeris telah dijadikan bahasa pengantar kerana institusi-institusi ini kebanyakannya menawarkan kursus-kursus IPT luar Negara.

Namun begitu, dalam laporan yang sama jawatankuasa ini turut memperakukan supaya Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan digunakan sebagai bahasa rasmi digunakan dalam semua urusan rasmi dan Bahasa Inggeris hendaklah digunakan sebagai bahasa pengantar di IPT dalam semua mata pelajaran sains, matematik dan professional, manakala mata pelajaran lain hendaklah diajar dalam bahasa yang paling berkesan untuk menyampaikan ilmu yang terkandung di dalam mata pelajaran tersebut.[5] Natijahnya, kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar semakin terpinggir dan sudah pasti untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah juga semakin sukar apabila semakin dipinggirkan di dalam institusi ilmu. Kerisauan terhadap perkembangan ini turut dinyatakan oleh Datuk Dr. Hassan Ahmad (2004) iaitu dasar bahasa dalam sistem pendidikan negara berhubung dengan bahasa Inggeris jelas, iaitu bahasa ini hendaklah diajarkan sebagai bahasa kedua yang wajib di sekolah kebangsaan. Dasar ini tidak berkata bahawa bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua hendaklah dijadikan bahasa pengantar dalam apa jua mata pelajaran di sekolah.

Perakuan dan saranan agar penggunaan Bahasa Inggeris diperluaskan dalam bidang pendidikan ini juga seakan-akan berlawanan dengan pelaksanaan Dasar Buku Negara yang terkandung dalam PIPP. Buku teks dan buku-buku rujukan memainkan peranan penting di dalam pengajaran dan pembelajaran dan sudah sepatutnya usaha menambah bilangan penerbitan bahan-bahan tersebut dalam bahasa kebangsaan mendapat sokongan daripada pelbagai pihak. Namun jika dilihat dalam pelaksanaan dasar pendidikan kebelakangan ini dengan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) serta dasar penggunaan Bahasa Melayu di IPTA dan IPTS, keadaan sebaliknya yang berlaku; sedang satu pihak berusaha untuk menterjemah karya asing kepada Bahasa Melayu, satu pihak lagi beralih kepada buku-buku Bahasa Inggeris sebagai rujukan. Di sini menampakkan pembaharuan yang dikemukakan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan tidak sejajar dengan situasi yang berlaku terhadap pelaksanaan dasar bahasa dalam sistem pendidikan di peringkat Kementerian Pelajaran sendiri dan juga Kementerian pengajian Tinggi. Usaha untuk memperbanyakkan penerbitan buku-buku dalam Bahasa Melayu dan juga penterjemahan karya asing kepada Bahasa Melayu sepatutnya akan lebih terangsang dan bersemarak kerana adanya permintaan mendesak apabila bidang sains, matematik dan professional ini diajarkan dalam Bahasa Melayu. Keadaan inilah yang berlaku apabila Bahasa Melayu mula dijadikan Bahasa Pengantar sepenuhnya di IPTA pada awal 1980-an, dalam tahun 1980 hingga 1983, DBP telah mencetak sebanyak 47 buah senarai istilah yang boleh dikatakan dalam semua bidang kecuali bidang-bidang khusus[6]. Di samping itu usaha-usaha ini diperlengkap oleh masing-masing universiti mengikut keupayaan mereka untuk bidang-bidang yang lebih khusus dan tinggi sesuai dengan peringkat pengajian tinggi.
Keseluruhannya pelaksanaan yang terkandung dalam Pelan Induk Pembangunan Pndidikan dalam usaha memperkasakan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah sewajarnya diterjemahkan dalam bentuk yang lebih jelas kerana wujudnya kontra dengan pelaksanaan dasar bahasa yang berlaku di sekolah-sekolah dan juga di IPTA dan IPTS. Di peringkat pembelajaran, penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam mata pelajaran semakin mengecil jumlahnya apabila dilaksanakan pengajaran mata pelajaran sains, matematik dan professional menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Usaha-usaha untuk menyemarakkan penggunaan dan mengukuhkan kecintaan terhadap Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi sememangnya disokong tetapi untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah mestilah disokong kuat oleh penggunaan dan pemakaian Bahasa Melayu sepenuhnya dalam menyampaikan ilmu. Barulah Bahasa Melayu akan terus berkembang pesat dan usaha memperkayakan khazanah bahasa dalam bidang ejaan, peristilahan, kosa kata umum, tatabahasa, sebutan dan laras bahasa akan terus bercambah.

Pelaksanaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sepenuhnya menuntut agar langkah-langkah yang lebih gigih dilakukan terhadap persoalan-persoalan yang ditimbulkan. Di samping itu, usaha memperkembangkan Bahasa Melayu dan meningkatkan keupayaannya menjadi bahasa ilmiah bagi semua bidang ilmu perlu diselaraskan dengan perubahan dasar pendidikan dan pelaksanaannya di peringkat Kementerian Pelajaran dan juga Kementerian Pengajian Tinggi . Hakikatnya, usaha dan gelombang baru gerakan memperkasakan Bahasa Melayu yang termaktub dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan merupakan usaha-usaha untuk memperbaiki kekurangan dan memantapkan pelaksanaan perancangan sebelum ini. Walaupun pengiktirafan untuk memperkasakan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu/ilmiah disentuh tetapi dalam masa yang sama wujud ketidakseimbangan dari segi pelaksanaan dasar bahasa dalam sistem pendidikan.
[1] Kementerian Pelajaran Malaysia, 2006. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010, http://www.moe.gov.my/tayang.php?laman=lihat_info&info=pengumuman&id=292&bhs=my. Diakses pada 30 Januari 2007. Hlm. 41.
[2] Ibid. Hlm 41
[3] Dasar Bahasa dalam Sistem Pendidikan Negara: Satu Penilaian Semula dan Cabaran akan Datang. http://www.pkpim.net/modules/news/article.php?storyid=17.
Diakses pada 30 Januari 2007.
[4] Kesan Penggunaan Bahasa Inggeris dalam Pengajaran Sains & Matematik di Institusi Pendidikan di Malaysia.
http://www.kongresbahasa.org/wp-content/uploads/2006/11/062.pdf.
[5] Laporan Jawatankuasa Mengkaji, Menyemak dan Membuat Perakuan Tentang Perkembangan dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi Malaysia.
http://www.mohe.gov.my/buku.php .
[6] Ucapan Khas Bahasa Malaysia di Institusi Pengajian Tinggi.

1 ulasan:

Alan berkata...

Adakah artikel ini hasil sendiri ataupun ditulis oleh/dari sumber yang lain?

Gunakan tanda sempang dengan betul, nanti kena lempang!

Saya dapati, belakangan ini terdapat ramai pengguna bahasa yang tidak menggunakan tanda baca dengan betul terutamanya tanda sempang (...