Ahad, 3 Jun 2007

PERANCANGAN BAHASA

Apabila disebut perancangan bahasa, ramai pelajar saya tersenyum dan tersipu-sipu. Kata mereka, apa yang mereka tahu ialah perancang keluarga, rupa-rupanya bahasa juga boleh dirancang. Iitulah kelebihan orang berilmu, kalau rajin belajar, banyaklah maklumat yang kita perolehi.
1. KONSEP PERANCANGAN BAHASA:
Perancangan bahasa bererti pembinaan bahasa secara sedar untuk memungkinkan sesuatu bahasa itu berupaya menangani fungsi-fungsi baru yang dikenakan ke atasnya. Bahasa melayu dirancang supaya dapat menjadi bahasa pentadbiran, bahasa undang-undang dan kehakiman, bahasa ilmu, dan bahasa seluruh sistem kehidupan moden.

2. Perancangan bahasa terbahagi kepada dua bahagian iaitu:
-Perancangan taraf
-Perancangan korpus
Perancangan yang pertama memberikan taraf tertentu kepada sesuatu bahasa, sementara perancangan jenis yang kedua membina bahan bahasa tersebut menjadi bahasa yang kemas sistemnya supaya dapat memenuhi taraf yang diberikan kepadanya.
3. Perancangan taraf bahasa Melayu melibatkan pemberian tiga taraf penting kepada bahasa Melayu. Masing-masing ialah taraf sebagai
· bahasa kebangsaan,
· bahasa rasmi, dan
· bahasa pendidikan.

Taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan amat besar ertinya, terutama sebagai lambang dan unsur penyatuan bangsa Malaysia. Tentu sukar diterima akal bahawa bahasa yang dinobatkan sebagai bahasa bagi 25 juta orang (dalam konteks Malaysia saja) tidak dapat menjadi wahana pemikiran moden, sedangkan transformasi budaya terus-menerus berlangsung. Oleh itu, taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan akan terus mengukuhkan potensi bahasa tersebut sebagai bahasa yang dapat berinteraksi dengan isu-isu dunia moden.
4. Taraf bahasa rasmi yang ditetapkan bagi bahasa Melayu pula menyediakan ruang yang cukup luas bagi bahasa Melayu berkembang dalam bidang-bidang profesional seperti pentadbiran, pengurusan, undang-undang, ekonomi, dan lain-lain. Hal ini demikian kerana menurut tafsiran Perlembagaan, istilah rasmi merujuk kepada segala urusan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, dan Pentadbiran Awam. Dengan tafsiran itu dan dengan andaian bahawa tafsiran itu berlaku sepenuh-penuhnya, maka tidak diragui bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa moden, iaitu bahasa yang dapat mengungkapkan konsep-konsep kehidupan moden. Dapat dikatakan bahawa seluruh konsep yang berkaitan dengan urusan rasmi kenegaraan mewakili kehidupan dunia moden. Yang menjadi soal ialah kemampuan dan kesediaan semua kalangan yang terlibat dalam pentadbiran negara menggunakan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi.

5. Taraf bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan atau bahasa ilmu menyediakan ruang yang cukup luas untuk kita memupuk bahasa tersebut sebagai bahasa moden. Hal ini demikian kerana asas kehidupan moden yang terpenting ialah ilmu. Bahasa yang mampu mengungkapkan hal ehwal ilmu dengan sendirinya adalah bahasa moden. Dengan potensinya yang telah terbukti pada zaman gemilang tamadun Melayu-Islam sebagai bahasa ilmu, dan dengan dibantu oleh adanya Dasar Bahasa Kebangsaan serta Dasar Pendidikan Kebangsaan, bahasa Melayu kini sedang ada di landasan menuju kesempurnaannya sebagi bahasa moden. Bahasa Melayu bukan saja dapat menjadi wahana penyebaran ilmu di peringkat persekolahan dan dalam bidang sains sosial, malah terbukti mampu menjangkau ke peringkat universiti dan masuk ke medan ilmu-ilmu di peringkat persekolahan dan dalam bidang sains sosial, malah terbukti mampu menjangkau ke peringkat universiti dan masuk ke medan ilmu-ilmu sains tabii dan bidang teknikal. Singkatnya, bahasa Melayu dapat dijadikan bahasa perantaraan untuk komunikasi ilmu sejagat.

6. Hubungan pembakuan bahasa dengan perancangan bahasa
Secara mudah, perancangan bahasa ialah "usaha, tindakan, atau proses merancang sesuatu bahasa yang tertentu secara sedar untuk memungkinkan bahasa itu mampu memenuhi fungsi-fungsi tertentu". Takrif yang dikemukakan itu dapat dihubungkan dengan tahap-tahap perancangan bahasa yang dikemukakan oleh Profesor St. Takdir Alisjahbana, iaitu:
1. pemilihan bahasa kebangsaan;
2. propaganda;
3. pembakuan;
4. peluasan penggunaannya
7. Pejuang dan pemimpin awal negara telah memilih bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan ketetapan itu diabadikan dalam Perlembagaan Negara yang menjadi undang-undang induk. Tahap propaganda untuk memungkinkan penerimaan bahasa yang dipilih itu telah berlangsung dengan jayanya pada tahun 1960-an melalui kempen Minggu dan Bulan Bahasa Kebangsaan di bawah teraju Panglima Bahasa Allahyarham Tun Syed Nasir Ismail yang ketika itu menjadi Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka. Tahap ketiga, iaitu pembakuan merupakan proses yang berterusan tetapi asasnya telah diletakkan. Tahap keempat, iaitu peluasan penggunaan bahasa tersebut berkaitan dengan fungsi yang diberikan kepada bahasa itu. Dalam konteks bahasa Melayu di Malaysia, tiga fungsi utama yang ditekankan ialah fungsi sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa ilmu. Fungsi pertama dan kedua ditetapkan dalam Perlembagaan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, manakala fungsi ketiga ditetapkan dalam Akta Pendidikan 1961.
8. Berdasarkan uraian ringkas di atas, teranglah bahawa pembakuan bahasa merupakan unsur dan proses yang penting dalam perancangan bahasa. Secara langsung pula, pembakuan bahasa mempunyai peranan yang penting dalam pembinaan negara, dengan mengingat bahawa perancangan bahasa merupakan salah satu prasyarat pembinaan Negara
9. Proses perancangan bahasa terbahagi kepada 3 peringkat iaitu;
-Peringkat membuat keputusan dasar
-Peringkat pelaksanaan
-Peringkat penilaian.

Peringkat membuat keputusan
Ialah pringkat membuat keputusan dasar dan kedudukan tentang bahasa yang hendak dirancang. Ini melibatkan bebeberapa unsur iaitu
-penyusunan strategi bagi melancarkan kegiatan-kegiatan perancangan bahasa
-meletakkan taraf bahasa Melayu
-dimulakan sejak DBP ditubuhkan sehingga selepas merdeka.

Peringkat Pelaksanaan
Peringkat ini melibatkan pelaksanaan rancangan-rancangan yang telah disusun. Peringkat ini dimulakan pada tahun 1970-an lagi dan melibatkan kegiatan pengekodan dan pemupukan bahasa Melayu secara intensif dijalankan.

10. Pengekodan bermaksud proses bagi menghasilkan satu variasi bahasa standard yang sempurna dan seragam dari aspek-aspek tatabahasa, ejaan, makna, dan sebutan. Tujuan pengekodan bahasa adalah untuk,
a. menghasilkan satu variasi bahasa yang lengkap dan sempurna, berkeupayaan memperketakan semua gejala dalam masyarakat kita, setanding tarafnya dengan bahasa-bahasa lain.
b.Membolehkan pengguna bahasa Melayu memantapkan penggunaan bahasanya supaya sesuai dan setaraf dengan bahasa lain.
c.Meletakkan taraf variasi bahasa yang dipilih itu, iaitu bahasa yang baku dan standard.
Mengikut Fishman et al (1971) proses pengekodan meliputi usaha-usaha ke arah “penyerapan variasi-variasi bahasa dari segi daerah dan sosial melalui penyediaan tatabahasa, kamus, panduan ejaan, dan sebagainya”.

11. Selain daripada pengekodan (atau kodifikasi), satu lagi proses yang berlaku pada peringkat pelaksanaan ini ialah pemupukan. Pemupukan bermaksud menumpukan perhatian pada usaha-usaha untuk mengembangkan bahasa supaya tercapai keadaan “saling terjemah” (inter-translatability) dengan beberapa bahasa moden lain. Ini dilaksanakan melalui pemupukan istilah-istilah baru, khususnya dalam bidang profesional dan teknikal.

12. Peringkat penilaian

Peringkat ini melibatkan penilaian dan peninjauan kembali terhadap hasil dan kesan kegiatan perancangan, yang bertujuan membantu perancangan selanjutnya. Peringkat ini dilakukan untuk mencapai tahap kematangan dan kemantapan penggunaan bahasa Melayu. Perkara ini perlu dilakukan untuk memastikan keberkesanan bahasa Melayu sebagai bahasa pendidikan dari peringkat rendah hinggalah ke universiti.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang perancangan bahasa klik http://ms.wikipedia.org/wiki/Perancangan_bahasa

7 ulasan:

ali allah ditta berkata...

Anda berkata,"Pejuang dan pemimpin awal negara telah memilih bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan ketetapan itu diabadikan dalam Perlembagaan Negara yang menjadi undang-undang induk."

....tapi sedar atau tidak Bahasa Melayu yang kita agung2kan sudah hilang taringnya. Nama Bahasa Melayu sudah pun diganti dengan Bahasa Malaysia oleh gomen kita atas nama bahasa untuk bangsa Malaysia. Tetapi..betulkah hujah ini atau semata2 gimik penyangak2 politik yang sanggup mengadai maruah bangsa demi menjaga periok nasi mereka saja?

Hari ini,lihat saja di kiri kanan anda,yang diagung2kan adalah bahasa Inggeris.Semua papan2 tanda hari tidak lagi memberi keutamaan kepada Bahasa Melayu.

Malah Bahasa Melayu yang dijadikan Bahasa Malaysia itu sudah dirojakkan macam yang terpapar dalam siaran2 TV & radio yang diucapkan oleh juruhebah2 Melayu kita sendiri,umpamanya,"Oh man,U all mesti datang ke show ini,
memang happening sangat." Saya nak tanya ungkapan itu Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia?. Bagi saya itulah bahasa Melayu yang telah dirogolkan.

Tapi kenapa pakar2 bahasa kita dan orang2 Melayu duduk diam tak berkata apa2?

Apabila kita nak gunakan B.Inggeris dalam mata pelajaran Maths & Sains,yang melompat dulu adalah orang2 Cina,mereka takut bahasa ibunda mereka tergugat.
Sedangkan bagi orang2 Melayu lebih rela melihat bahasa Melayunya dirogol oleh bangsa sendiri.Apa punya bangsa.

Fikir2lah.....

cheers.

Tanpa Nama berkata...

Memang betul pendapat saudara, orang Melayu sendiri yang sebenarnya "merogol" kesucian bahasa sendiri. Sejarah telah membuktikan bahawa bahasa Melayu pernah dipandang tinggi dan mencapai tahap lingua franca suatu waktu dahulu.

Bahasa melayu sudah mencapai tahap sempurna dalam pelbagai aspek seperti ejaan, tatabahasa, kosa kata dan sebagainya, tetapi keupayaan bahasa Melayu terjejas akibat dasar kerajaan sendiri.

Semenjak abad ke-14 lagi bahasa Melayu sudah menjadibahasa persuratan, bahasa ilmu, bahasa kerajaan, bahasa agama (Islam) yang sudah mempunyai sistem tulisan yang lengkap, iaitu tulisan Jawi, yang diperlukan pada zamannya sebagai alat bahasa untuk menulis karya-karya persuratan.

Bahasa ini juga sudah bertaraf lingua franca, bahasa supraetnik dan suprawilayah di seluruh rantau yang sekarang diliputi oleh kawasan Malaysia-Indonesia-Brunei, dan Patani.

Bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu pengetahuan dan bahasa pembangunan. tetapi malangnya ramai sangat manusia yang perasan bahawa hanya bahasa Inggeris sahajalah yang menjadi pengukur kemajuan bangsa. Melayu sendiri yang tidak yakin bahawa bahasa Melayu boleh menggantikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pembangunan atau bahasa kemajuan bangsa dan negara di Malaysia.

Inilah peranan yang mesti dimainkan oleh DBP dan kerajaan malangnya kerajaan sendiri nampaknya tidak memberikan perhatian yang serius terhadap usaha ini, bahkan pelbagai perubahan yang bertentangan dengan dasar bahasa dilakukan, menyebabkan bahasa Melayu di negara ini makin lama makin tercabar. Padahal hingga akhir tahun 1990-an usaha perancangan bahasa Melayu telah mencapai kejayaan yang besar dan luar biasa. Malangnya, kejayaan itu dimusnahkan mulai tahun 2000.

Jikalau kerajaan mahu menyelamatkan dasar bahasa yang sudah baik itu dan membangkitkan semula ‘martabat’ bahasa Melayu di negara ini, kita hendaklah memberikan tumpuan yang lebih serius, bersepadu dan terancang terhadap pokok dalam proses perancangan di negara ini, iaitu proses mengubah sikap dan tanggapan yang salah terhadap keupayaan bahasa ini supaya menjadi salah satu alat penting kemajuan bangsa dan negara dalam semua bidang. Segala usaha untuk memajukan dan meningkatkan nilai bahasa ini sebagai bahasa budaya tinggi, bahasa kemajuan bangsa dalam lapangan pendidikan, sebagai bahasa pembangunan ekonomi dan teknologi, tidak hanya sebagai bahasa urusan rasmi kerajaan yang rutin, akan terus terkendala selagi perubahan sikap dan persepsi itu tidak berlaku dalam kalangan pemimpin dan pegawai kerajaan, ahli akademik dan golongan profesional dalam sektor awam.

Semua pihak haruslah menggembleng tenaga dan semangat untuk melancarkan tahap kedua dalam strategi dan proses perancangan bahasa Melayu di negara ini, iaitu proses mengubah pandangan yang salah terhadap bahasa ini dan majukan isi dan nilai budaya bahasa Melayu. Kita tidak lagi menghadapi masalah korpus bahasa. Masalah ini sudah selesai. Namun kini, kita menghadapi masalah sikap budaya berbahasa. Tidak guna kita cuba ‘memartabatkan’ bahasa Melayu tetapi pada masa yang sama kita sendiri memusnahkan martabatnya sebagai wahana penyampaian ilmu-ilmu moden seperti sains, komputer dsb. CINTAILAH BAHASA KITA, KALAU TAK KITA NAK HARAPKAN SIAPA LAGIIIIIII?????

ali allah ditta berkata...

Anda berkata,"Inilah peranan yang mesti dimainkan oleh DBP dan kerajaan malangnya kerajaan sendiri nampaknya tidak memberikan perhatian yang serius terhadap usaha ini..."

DBP ketika ini ibarat gajah putih yang bernyawa2 ikan,hidup segan mati tak mau. Orang2 yang menerajui DBP adalah kroni2 gomen yang mau melihat DBP terkubur.

Fikirlah,sejak 1964 DBP memainkan peranan membentuk istilah sains dan matematik untuk digunakan oleh sekolah kebangsaan dan usaha telah mendapat perhatian seantero dunia dan gomen ketika itu belanja berbilion2 RM untuk projek tersebut.

Tiba2 tanpa ribut dan taufan gomen tukar P&P matematik dan sains ke dalam bahasa Inggeris...segala usaha dan wang rakyat yang dibelanjakan itu hanyut begitu saja. Konon2nya pelajar2 kita akan pandai berbahasa Inggeris kalu belajar Sains dan Maths dalam bahasa Inggeris.

Buatlah survey sama ada teori yang dipegang oleh gomen kita itu benar?
Bagi saya,yang menjadi mangsa adalah pelajar2 Melayu. Sedangkan dalam bahasa Melayu pun Maths & Sains dah teruk apatah lagi dalam bahasa England?

Katakan kepada saya apakah projek2 yang dibuat oleh gomen menguntungkan orang2 Melayu? Kalau ada beri contoh...

cheers.

Tanpa Nama berkata...

Suatu pandangan yang baik dan bernas. itulah bahananya melaksanakan sesuatu dasar semata-mata untuk memenuhkan tembolok dan kroni-kroni sendiri. yang jadi mangsa ialah anak-anak melayu yang semakin hari semakin ketinggalan dalam arus kemodenan. kaum-kaum lain terus maju, malangnya anak-anak melayu akan terus merempat di negara sendiri. selamatkanlah Malaysiaku nan tercinta ini.

Tanpa Nama berkata...

memang benar....

Tanpa Nama berkata...

Sejarah bukan untuk dibangga-banggakan. Zaman kegemilangan dahulu diangkat setinggi langit, apa tujuannya?

Tanpa Nama berkata...

Sejarah bukan untuk dibangga-banggakan. Zaman kegemilangan dahulu diangkat setinggi langit, apa tujuannya?