Sabtu, 7 April 2007

PANDUAN RINGKAS PENULISAN KARANGAN STPM

PENDAHULUAN

Sesebuah karangan di peringkat STPM ini seharusnya mengandungi tiga bahagian, iaitu:-

IU = Idea Utama (Pendahuluan)
IS = Isi Sokongan
K = Kesimpulan

IU merupakan perkara yang penting yang memperkatakan secara umum tentang tajuk. IS pula jangan terlalu banyak; lima atau enam IS sudah cukup. Hal ini kerana., karangan pada peringkat ini bukan mementingkan kuantiti IS tetapi mengutamakan kualitinya. K juga harus ditulis dengan baik, bukan sekadar tiga atau empat baris.

2 PERENGGAN KARANGAN

Ketiga-tiga bahagian di atas hendak disampaikan dalam perenggan secara tepat, menarik dan berkesan. Jika pelajar memutuskan untuk menulis enam IS, bererti karangan pelajar seharusnya mengandungi lapan perenggan, iaitu satu perenggan untuk IU, enam perenggan untuk IS, dan satu perenggan untuk K.

Perenggan 1 (IU) - 80 perkataan
Perenggan 2 (IS1) - 90 perkataan
Perenggan 3 (IS2) - 90 perkataan
Perenggan 4 (IS3) - 90 perkataan
Perenggan 5 (IS4) - 90 perkataan
Perenggan 6 (IS5) - 90 perkataan
Perenggan 7 (IS6) - 90 perkataan
Perenggan 8 (K) - 80 perkataan

3 PANJANG KARANGAN

Panjang karangan yang perlu ditulis oleh pelajar adalah antara 650 hingga 700 patah perkataan. Oleh itu pelajar janganlah menulis lebih daripada 700 patah perkataan kerana lebihan itu tidak lagi diambil kira. Sebagai contoh, jika pelajar menulis 800 patah perkataan, bererti bahagian K akan berada pada 100 patah perkataan yang terakhir, yang tidak lagi diambil kira (tidak dibaca dan diperiksa). Dengan demikian, karangan berkenaan dianggap tiada K dan sudah tentulah keberkesanannya turut terjejas.

4 SOALAN KARANGAN

Terdapat banyak soalan karangan yang berkehendakkan dua aspek IS, misalnya “faktor dan langkah mengatasi”, “sebab dan akibat”. “kebaikan dan keburukan” dan lain-lain. Untuk menjawab soalan seumpama ini, pelajar hendaklah mengemukakan IS secara seimbang dan dicadangkan tiga IS bagi setiap bahagian. Jika mengemukakan lima IS dicadangkan tiga IS bahagian pertama dan dua IS bahagian kedua.

5 BAHAN SOKONGAN

Bagi menghasilkan karangan yang bermutu, bahan-bahan sokongan, seperti contoh, bukti, pendapat, perangkaan/data, dan lain-lain yang relevan dengan perkara yang ditulis, haruslah dimasukkan. Perkara ini penting untuk menguatkan lagi idea yang diutarakan dan sekali gus dapat meyakinkan pembaca.

6 BAHASA DAN PENYAMPAIAN

Walau sebaik manapun idea yang ingin disampaikan tetapi keberkesanannya belum terjamin jika pelajar gagal menguasai aspek bahasa dengan baik. Perkara ini merupakan suatu kenyataan kerana bahasa merupakan wahana untuk menyampaikan buah fikiran seseorang. Oleh itu, pelajar seharusnya menguasai benar-benar pelbagai struktur ayat, tatabahasa, ejaan, aspek mekanis (tanda baca) dan aspek-aspek yang lain untuk menghasilkan karangan yang benar-benar menggambarkan kematangan.


KESIMPULAN

Tiada jalan mudah untuk memperoleh sesuatu yang cemerlang, melainkan dengan berusaha. Dalam hal ini, pelajar hendaklah tidak jemu-jemu berusaha membaca, merujuk, menyalin karangan terbaik dan membuat latihan karangan serta berbincang dengan rakan ataupun guru agar pelajar kurang menghadapi masalah apabila menduduki peperiksaan STPM yang akan menjelang. Ikhtiar terakhir ialah memohon doa ke hadrat Ilahi, agar segala usaha kita diberkati-Nya. Insya-Allah.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

terima kasih kerana berkongsi info...
saya cikgu BM ting 6..tapi masih baru...bolehkah kita berkongsi maklumat??

cikgu RPS

Tanpa Nama berkata...

saya budak ting 6 yang nak blajar cara menulis karangan dengan betul.... boleh beritahu dengan lengkap caranya....

Tanpa Nama berkata...

kenapa ilahi di belakangkan.. sbelum buat ap2 tindakan @ pekerjaan mstilah di mulakan dgn tawakkal kepada ilahi.. bukan selepas da berusaha baru berserah.. tu aku tidak setuju.. sebab kita seola2 membelakangkan tuhan(Allah)..

Tanpa Nama berkata...

Bolehkan terangkan lagi agar senang saya menghasilkan karangn yg bgoz

Gunakan tanda sempang dengan betul, nanti kena lempang!

Saya dapati, belakangan ini terdapat ramai pengguna bahasa yang tidak menggunakan tanda baca dengan betul terutamanya tanda sempang (...