Cadangan Isi Langkah : melalui penguatkuasaan undang-undang
APA?
-Penguatkuasaan undang-undang
BAGAIMANA?
- buat pemantauan di sempadan.
- tangkap pendatang asing tanpa izin
- hantar mereka pulang
- kenakan hukuman berat kepada penduduk tempatan yang melindungi mereka
MENGAPA?
- ingatkan pekerja asing tentang kesukaran memasuki negara ini
- berikan kesedaran kepada rakyat negara ini tentang hukuman yang bakal dihadapi
APA KESAN SELANJUTNYA?
Jika penguatkuasaan undang-undang ini berkesan, kemasukan pekerja asing akan berkurang.
CONTOH PENULISAN ISI KARANGAN YANG LENGKAP:
Langkah mengatasi masalah kehadiran pendatang asing tanpa izin ini adalah melalui tindakan penguatkuasaan undang-undang.(Sebut isi) Sehubungan dengan itu, pihak berkuasa hendaklah membuat pemantauan yang berterusan di sempadan negara untuk menangkap mereka. Pendatang asing yang dapat ditangkap akan dihantar pulang dan dikenakan hukuman yang berat ke atas mereka. Hukuman yang berat juga wajar dikenakan kepada penduduk tempatan yang melindungi mereka Tindakan sebegini dapat mengingatkan pekerja asing tentang kesukaran memasuki negara ini dan turut memberikan kesedaran kepada rakyat negara ini tentang hukuman yang bakal dihadapi sekiranya mereka membantu pendatang tersebut. (Hurai isi) Jika penguatkuasaan undang-undang seperti ini berkesan, kemasukan pekerja asing sudah pasti akan berkurang. (Simpul isi) [100 patah perkataan]
INGAT!: Soalan berbentuk cadangan memerlukan huraian yang menggunakan perkataan hendaklah /sewajarnya/ perlulah/ mestilah/ haruslah dll
Contoh Isi Faktor: Punca remaja terjebak dalam gejala sosial: Kelalaian ibu bapa melaksanakan tanggungjawab mereka.
Punca utama masalah remaja terjebak dalam gejala sosial ialah kelalaian ibu bapa dalam melaksanakan tanggungjawab mereka. (Nyatakan isi) Kini, ibu bapa sibuk bekerja dan tiada masa untuk mendidik anak-anak dengan sempurna. Sejak kecil kebanyakan ibu bapa mengalihkan tanggungjawab menjaga anak-anak mereka kepada pengasuh. Waktu untuk ibu bapa berada di rumah bersama-sama keluarga yang terbatas menyebabkan kenakalan anak-anak tidak dapat dipantau oleh ibu bapa dengan sebaik-baiknya. Anak-anak pula berasa ibu bapa tidak menyayangi mereka, lantas melakukan sesuatu yang agresif untuk menarik perhatian ibu bapa mereka. (Hurai isi) Sekiranya kenakalan anak-anak tidak dipantau, kenakalan itu mungkin akan membenihkan gejala sosial yang lebih serius. (Simpul isi)
[97 patah]
Contoh Isi Kesan: Kesan kemasukan pekerja asing di negara ini: Budaya hidup masyarakat tempatan tercemar
Budaya hidup masyarakat tempatan turut tercemar akibat kemasukan pekerja asing di negara ini. (Sebut isi) Perkara ini berlaku kerana pekerja asing pasti akan mengamalkan budaya hidup mereka di negara ini, yang kebanyakannya bertentangan dengan budaya hidup masyarakat tempatan. Contohnya, budaya pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, tingkah laku yang kasar, dan berbagai-bagai perlakuan di luar batas susila ketimuran boleh mempengaruhi anak-anak muda tempatan untuk meniru gelagat mereka. Perkara ini bukan sahaja berlaku di kota-kota besar di negara kita, malah kini sudah menular ke kampung. (Hurai isi) Ini bererti, jika kemasukan pekerja asing dibiarkan berleluasa, tidak mustahil budaya sopan santun yang menjadi identiti masyarakat tempatan akan hilang. (Simpul isi)
[102 patah perkataan]
Contoh frasa yang boleh digunakan dalam penulisan isi karangan
1) Faktor ibu bapa yang sibuk menjadi punca utama….
2) Pelbagai punca yang dikenal pasti….
3) Punca utama masalah… ialah….
4) Pertambahan bilangan kenderaan juga menjadi faktor…
5) Terdapat pelbagai langkah yang dapat dijalankan…
6) Salah satu langkah yang paling berkesan ialah…
7) Selain itu, faktor…
8) Di samping itu, sikap remaja juga…
9) Selain itu, kerajaan juga…
10) Langkah lain yang boleh diambil termasuklah….
11) Penguatkuasaan undang-undang ialah langkah terbaik bagi menangani masalah pencemaran alam sekitar.
Frasa yang boleh digunakan dalam huraian isi karangan
1) Hal ini berlaku kerana…
2) Hal ini demikian kerana…
3) Hal ini disebabkan oleh…
4) Walaupun begitu,
5) Dengan kata lain,
6) Seharusnya kita sebagai…
7) Sehubungan dengan itu…
8) Namun demikian, perkara itu….
9) Namun begitu, hal ini….
10) Sungguhpun begitu hal ini…
Untuk Menyatakan Contoh dalam Karangan
1) Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh……..kes….
2) Masyarakat boleh membantu dalam usaha untuk mengatasi….ini,misalnya….
3) ……..kes terbaharu ialah….
4) Sebagai contoh….
PANDUAN MEMBUAT KESIMPULAN
Kesimpulan yang baik akan diberikan 3 markah. Antara perkara yang perlu diberikan pertimbangan semasa menulis kesimpulan adalah seperti yang berikut.
• Menyimpulkan perkara yang ditulis dan memberikan pandangan
• Masukkan peribahasa, cogan kata, statistik, pendapat tokoh yang berwibawa yang berkaitan
• Bebas daripada kesalahan bahasa
AYAT 1 : Sentuh semula isu (ayat lain)
AYAT 2-4 : Ulas sedikit isi
AYAT 5 : Beri pandangan( harapan/ cadangan/ amaran)
Bahan sokongan (pepatah/ cogan kata dll)
Contoh Kesimpulan:
Kepentingan penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum di sekolah.
Kesimpulannya, penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum dapat membantu pembentukan jati diri mereka. Melalui aktiviti tertentu, pengetahuan dan pengalaman pelajar akan bertambah. Selain itu, generasi muda yang berdisiplin dan bertanggungjawab dapat dilahirkan. Nilai-nilai tersebut amat penting untuk melahirkan modal insan yang dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara pada masa akan datang. Oleh sebab itu, Menteri Pelajaran Malaysia, pernah menyatakan bahawa penglibatan murid dalam aktiviti kokurikulum amat penting untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek, sekali gus bertepatan dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
[87 patah perkataan]
Selamat menulis karangan yang baik dan berkesan!
Van Linschotten (sarjana Belanda yang banyak menulis hal ehwal Kepulauan Melayu, pada abad ke-18); Bahasa Melayu pada masa itu, bukan sahaja amat harum namanya juga dianggap bahasa yang paling dihormati antara bahasa-bahasa timur, dan bahawa orang yang tidak tahu akan bahasa Melayu di Kepulauan Melayu dapatlah dibandingkan dengan orang yang tidak tahu akan bahasa Perancis di negeri Belanda pada zaman itu.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Gunakan tanda sempang dengan betul, nanti kena lempang!
Saya dapati, belakangan ini terdapat ramai pengguna bahasa yang tidak menggunakan tanda baca dengan betul terutamanya tanda sempang (...
-
Ciri-ciri khusus BMK ialah seperti berikut: 1. Aspek tatabahasa dan struktur ayat tidak dapat dikaji dengan jelas kerana batu bersurat itu m...
-
Perbezaan ayat pasif dan ayat songsang: AYAT PASIF: Ayat pasif ialah ayat yang mengalami proses pendepanan objek, iaitu objek atau ...
1 ulasan:
izinkan saya guna bahan cikgu utk P&P saya. Tq
Catat Ulasan