Jumaat, 1 Ogos 2008

Penggunaan Slanga Dalam Kalangan Remaja.

Hari ini saya mengajarkan tajuk Dinamika Bahasa Melayu iaitu Variasi Bahasa kepada pelajar-pelajar tingkatan 6 Bawah. Salah satu daripada jenis bahasa tak formal ialah bahasa slanga. Apabila diajukan pertanyaan kepada mereka apakah yang dimaksudkan dengan 'slanga', pelbagai jawapan diberikan. Ada yang menyatakan bahawa slanga ialah dialek, ada yang mengaitkan slanga dengan cara pertuturan (saya fikir pelajar itu merujuk kepada telor percakapan)dan ada juga yang menyatakan slanga sebagai bahasa mesra. Walaupun bentuk bahasa slanga termasuk dalam jenis bahasa bahasa tak formal yang digunakan untuk perbualan biasa, pengaruh bahasa slanga ini kepada remaja agak membimbangkan.

Sebenarnya slanga menurut Kamus Dewan, didefinisikan sebagai "kata-kata, ungkapan dan seumpamanya yang tidak tergolong dalam bahasa baku atau bahasa tinggi tetapi lazim digunakan dalam percakapan tidak rasmi". Menurut “The Oxford Companion to the English Language” oleh Tom McArthur (1996) istilah slanga ini berasal dari abad ke-18 yang bermaksud “origin uncertain” iaitu ketidaktentuan sebenarnya. Secara etimologi kata, slanga berasal dari kata “sling” iaitu sebahagian daripada ungkapan yang dihubungkaitkan dengan “beggar language and rogues language” iaitu bahasa kelompok pengemis dan anak jalanan. Slanga merupakan kosa kata yang tidak baku, tidak standard, sering kali berubah dan secara umum berbeda dengan kata kosa kata lainnya. Slanga sering digunakan oleh golongan remaja atau kelompok sosial tertentu untuk berkomunikasi sesama mereka dan hanya difahami oleh kelompok itu sahaja.

Golongan remaja yang mempopularkan bahasa slanga selalunya memanipulasikan ungkapan atau perkataan dengan memberi makna baharu kepada perkataan tersebut, contohnya mengancam, cun, cintan, balak, kacang, ayat, awek, pakwe, skima, jambu, sekodeng, member sound dsb

Penggunaan bahasa bahasa slanga bukanlah fenomena baru yang melanda bahasa Melayu. Semasa saya belajar di universiti lebih 20 tahun yang lalu, penggunaan bahasa slanga telahpun digunakan. Seingat saya, perkataan 'kacang je' (mudah sahaja), 'ayam' (gadis) dan 'jambu'(cantik) sudah menjadi mainan mulut para mahasiswa pada masa itu. Bahasa slanga juga turut dipopularkan oleh penyanyi rock. Ungkapan-ungkapan yang popular pada awal tahun 80-an ialah tangkap cintan, tangkap leleh, mengancam, tangkap nangis di samping penggunaan ganti nama 'lu' dan 'gua'.

Pada hari ni penggunaan bahasa slanga semakin popular terutama pada era teknologi maklumat dan juga melalui penggunaan SMS. Kadang-kadang pening juga kepala saya memikirkan maksud perkataan cikaro, usya, hampeh, kantoi, skema, meletup, poyo, cengkodok, dan banyak lagi. Dalam bentuk tulisan, bahasa slanga bukan saja digunakan dalam bahan bacaan ringan seperti komik, malah majalah hiburan turut mempopularkan bahasa slanga ini.

Melalui ruangan 'chatting' dalam internet pula pelbagai bentuk slanga terhasil, antaranya, slanga yang terbentuk daripada percantuman dua perkataan seperti pekabor (daripada apa khabar), askum (assalamualaikum), saya menjadi sayer, mana menjadi maner dan banyak lagi. Kalau memberi salam sudahpun salah, saya bimbang masyarakat kita pada hari ini tidak lagi sejahtera kerana diberi salam yang entah apa-apa maksudnya (askum ???)

Saya juga tersenyum apabila pelajar saya bertanya, "Mengapa cikgu guna bahasa skima sangat dalam blog dan friendster cikgu?" Jawapan saya, sebagai guru, saya perlu jadi model penggunaan bahasa yang baik dan tepat. Kalau guru sendiri yang turut menggunakan bentuk slanga, murid-muridnya apatah lagi. Kata pepatah, kalau guru kencing berdiri, murid-muridnya akan kencing berlari"

Pengaruh bahasa slanga yang semakin berkembang penggunaannya mendatangkan kerisauan bukan saja dalam kalangan pakar linguistik atau pejuang bahasa Melayu, malah ibu bapa juga tidak begitu setuju dengan pengaruh bahasa slanga ini. Pada saya, walaupun perkembangan bentuk slanga tidaklah begitu membimbangkan, saya khuatir penggunaannya akan menular daripada bentuk lisan kepada bentuk penulisan. Penggunaan bahasa slanga jika tidak dipantau dibimbangi akan merencatkan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu hari ini, lebih-lebih lagi dengan kedudukan bahasa kita yang seolah-olah makin tiada tempat lagi di negara sendiri.

Peranan kita para guru, kita perlu menjelaskan perkara ini kepada pelajar agar pelajar dapat membezakan penggunaannya dalam variasi formal dan tidak formal. Gunakanlah jenis bahasa yang betul pada tempat yang betul!

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

wah..sy baru je baca tentang isu ni...bagus jugak kupasan cekgu seku8lah ni..hebat2!bravo!

Tanpa Nama berkata...

terima kasih.....semoga banyak info lagi berkenaan bahasa ibunda kita yang makin dipinggir

Tanpa Nama berkata...

terima kasih atas perkongsian...

Tanpa Nama berkata...

boleh jadi bahan rujukan .. terima kasih atas pkongsian :)

Tanpa Nama berkata...

bahan rujukan yang bagus untuk pelajar.
teruskan usaha anda..

Gunakan tanda sempang dengan betul, nanti kena lempang!

Saya dapati, belakangan ini terdapat ramai pengguna bahasa yang tidak menggunakan tanda baca dengan betul terutamanya tanda sempang (...