Selasa, 27 April 2010

Perjuangan Pertahankan BM Telah Dilakukan Sejak Kerajaan Melayu Melaka Lagi

Dicatat oleh Saifullizan Yahaya pada Selasa, April 27, 2010

Sebenarnya dalam proses memperjuangan bahasa Melayu (baca: mempertahankan BM) oleh orang-orang Melayu yang mencintai bahasanya, telah dilakukan sejak dahulu lagi. Ini dapat dilihat dalam catatan sejarah (sastera sejarah) yang dibuat oleh Tun Sri Lanang melalui bukunya Sejarah Melayu (SM).

Mungkin ramai para sarjana hanya melihat peristiwa Tun Mai Ulat Bulu menyindir kepelatan Makhdum Sadar Jahan menyebut beberapa patah perkataan dalam bahasa Melayu yang betul (baku) sebagai satu sindiran kosong sahaja atau unsur humor yang terdapat dalam SM.

Namun, kita harus sedar bahawa tujuan utama SM ditulis atau dibaiki oleh Tun Sri Lanang adalah atas titah Sultan yang berbunyi, " Bahawa beta minta perbuatkan hikayat pada Bendahara, peri peristiwa dan peraturan segala raja-raja Melayu dengan istiadatnya sekali, supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita, diingatkannya oleh mereka itu, syahdan beroleh faedahlah ia daripadanya."

Memang Tun Sri Lanang telah menunaikan titah tersebut dengan sempurna sekali apabila dalam SM, bendahara tersebut telah menulis peri hal peraturan dan susur galur raja-raja Melaka. Tetapi apa yang menarik kesempatan atas titah tersebut turut dilaksanakan dengan menjadikan SM bukan semata-mata sebagai buku maklumat atau data tetapi sebagai satu 'petunjuk' kepada pewarisnya, iaitu bangsa Melayu untuk menjadikan SM sebagai cermin pandang belakang kepada kita yang mewarisinya.

Di sini kita harus berhenti sejak dan berfikir dengan logik bahawa apa gunanya Tun Sri Lanang menulis satu peristiwa Tun Mai Ulat Bulu menyindir gurunya tentang beza lidah Melayu dengan lidah Arab hanya untuk berlucu sahaja, sedangkan buku SM ditulis atas titah kerajaan (Sultan) yang akan menjadi rujukan kepada orang-orang Melayu? Oleh itu, tentu ada tujuan tersirat yang hendak disampaikan kepada kita.

Kembali kepada peristiwa Tun Mai Ulat Bulu menyindir guru bahasa Arabnya (sekali gus guru agama) itu, sehingga menimbulkan kelucuan kepada kita sebagai pembacanya, sebenarnya adalah satu ingatan kepada bangsanya bahawa dalam perjuangan (baca: pertahankan) bahasa Melayu, orang-orang Melayu mesti berani dan tidak bertolak ansur dengan mudah kepada bahasa lain walaupun diakui bahawa bahasa tersebut penting sebagai saluran ilmu pengetahuan.

Kita sedar bahawa pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, bahasa Arab menjadi bahasa ilmu kerana pada waktu itu agama Islam sedang berkembang mekar di bumi Melaka dan Nusantara, dan banyak ilmu pengetahuan baru adalah dalam bahasa Arab. Oleh itu, keperluan mempelajari bahasa Arab sangat dititik beratkan oleh kerajaan Melaka kerana tanpa bahasa Arab, orang-orang Melaka tidak akan maju.

Justeru, untuk mengetahui pelbagai ilmu tersebut dan tidak dilihat ketinggalan zaman, pihak kerajaan Melaka telah menyuruh anak-anak pembesar mempelajari bahasa Arab kerana dengan mengetahui bahasa tersebut segala ilmu pengetahuan akan mudah didapati.

Mungkin inilah yang juga terjadi pada waktu kini, apabila bahasa Inggeris menjadi bahasa (penyalur sahaja sebenarnya) ilmu sehingga pihak kerajaan terpaksa memberi perhatian kepada pembelajaran dan pengajaran bahasa Inggeris dengan tanggapan tanpa mempelajari bahasa Inggeris, rakyat Malaysia akan ketinggalan dalam segala aspek ilmu.

Bukankah perkara yang berlaku dalam zaman kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka telah berulang kembali dalam zaman kegemilangan Kerajaan Malaysia. Harus diingat sewaktu terjadinya peristiwa Tun Mai Ulat Bulu dan gurunya itu, kerajaan Melayu Melaka sudah terkenal di sebelah barat sehingga Alfonso d'Albuquerque telah menghantar pegawainya (wazir) dari Goa, India untuk melaporkan peri hal kebesaran Melaka.

Maka itu, peristiwa Tun Mai Ulat Bulu yang tidak bersetuju dengan Makhdum Sadar Jahan adalah sebagai 'petunjuk' bahawa Tun Sri Lanang berpendapat peristiwa 'kecil' ini sebagai penting sehingga terpilih ditulis dalam SM.

Dalam melihat konteks yang lebih luas, Tun Mai Ulat Bulu sebenarnya tidaklah menentang pengajaran ilmu dalam bahasa Arab kepada orang Melayu pada waktu itu TETAPI apa yang penting pengajaran ilmu itu mestilah dibuat dalam bahasa bangsa itu supaya ilmu itu dapat dihayati bukan sahaja dengan fikiran tetapi dengan jiwa bangsa tersebut.

Tetapi apa yang menarik juga nama sebenar Tun Mai Ulat Bulu ialah Tun Muyiddin, anak Tun Zanul Abidin, cucu Bendahara Paduka Raja. Adakah ini juga satu peristiwa yang berulang apabila PPSMI dimaklumkan olehnya sebagai dimansuhkan?

Sabtu, 24 April 2010

Analisis Kesalahan Bahasa

Kenal pasti kesalahan bahasa yang terdapat dalam petikan di bawah ini.
Bagi setiap kesalahan, jelaskan sebab kesalahan dan kemudian buat pembetulan.


Golongan remaja seharusnya berusaha untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan. Hal ini demikian kerana merekalah yang akan mencorakkan negara ini pada masa akan datang. Walaupun begitu, penglibatan sesetengah remaja dalam gejala sosial amat membimbangkan kita. Penglibatan sesetengah remaja dalam penyalahgunaan dadah dan pelbagai jenayah sering dilaporkan. Antara langkah-langkah untuk menangani masalah ini, termasuklah mengadakan motivasi kepada mereka yang terlibat. Malangnya, usaha yang pihak kerajaan jalankan itu kurang bermakna. Untuk mempastikan remaja dapat melaksanakan tanggungjawab ini, kesedaran dan peranan semua pihak amatlah penting. Ertinya, bagi melahirkan remaja yang berkualiti perlu memberikan sumbangan mengikut keupayaan masing-masing.

CATATAN:
Boleh jawab melalui ruang komen, atau melalui e-mel, fnurbaya@yahoo.com.my
Tarikh akhir: 2 Mei 2010.
Untuk pelajar PUTRA, hanya jawapan dengan nama yang lengkap saja diterima. Nama timang-timangan tidak diterima.

Gunakan tanda sempang dengan betul, nanti kena lempang!

Saya dapati, belakangan ini terdapat ramai pengguna bahasa yang tidak menggunakan tanda baca dengan betul terutamanya tanda sempang (...